?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Carilah cahaya melapangkan jiwa

KETIKA lampu terpadam, manusia yang hebat terus menjadi lemah. Segala anggota badan boleh hilang fungsi tanpa cahaya yang membantu retina mata menangkap sebarang objek. Itulah hakikat manusia yang sangat lemah. Allah menyinggung perihal nikmat cahaya agar manusia berfikir dalam firman-Nya:

“Katakanlah: Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan malam kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; tuhan yang manakah selain Allah, yang dapat membawakan cahaya yang menerangi kepada kamu? Maka mengapa kamu tidak mahu mendengar? (Secara memahami dan menerima kebenaran),” (al-Qasas[28:71]).

Elak celik mata zahir tapi gelap mata hati

AL-QURAN tidak sekadar membicarakan mengenai cahaya fizikal sahaja tetapi turut menyentuh cahaya yang lebih utama iaitu cahaya keimanan. - GAMBAR HIASAN

Maha Suci Allah! Luas sekali bicara al-Quran tentang cahaya. Ia tidak terhenti hanya pada cahaya fizikal, tetapi turut menyentuh cahaya yang lebih utama dan penting iaitu cahaya iman. Apabila ia bersinar dalam jiwa seseorang, hidupnya akan terurus berkat suluhan cahaya ini. Apa yang pasti cahaya ini adalah anugerah Allah kepada hamba-Nya yang berpegang teguh pada Islam.

“Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu dia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) daripada tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata,” (al-Zumar [39:22]).

Ia diulang sebut dalam firman lain:

“Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah dia membezakan antara yang benar dan salah dan dapatlah) dia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat),” (al-An’am [6:122]).

Menurut para ulama Tafsir, ayat 122 surah al-An’am ini diturunkan setelah pengislaman Sayidina Umar al-Khattab (Tafsir al-Tabari). Jika Umar adalah individu yang dikaitkan dengan ayat ini, bererti beliau dianugerahkan “cahaya untuk berjalan” dan membimbing masyarakat. Saya setuju dengan kenyataan ini kerana beliau dipuji khusus oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis sebagai orang yang benar firasatnya:

“Sesungguhnya dalam kalangan umat lampau daripada Bani Israel ada orang yang berbicara dengan (firasat yang) benar walaupun mereka itu bukan para nabi. Jika ada yang memiliki sifat sedemikian dalam kalangan umatku, maka dia adalah Umar,” (Sahih al-Bukhari).

RAHSIA MENJADI 
UMAT HEBAT

Kita mungkin terfikir, bagaimana manusia seperti Umar, orang soleh atau para ulama sejak zaman berzaman mampu memiliki cahaya yang begitu eksklusif ini? Pandangan mereka seakan tembus mencecah yang rumit dan tidak mampu dilihat oleh manusia biasa. Apa rahsia mereka? Apa amalan zikir atau doa mereka? Apa makanan mereka? Adakah mereka mengamalkan air jampi atau makanan sunah? Setelah diteliti, petua utama yang mereka amalkan adalah menghayati Islam dengan sepenuh jiwa. Keikhlasan inilah membuahkan cahaya iman yang terang benderang bak sinar mentari di tengah hari. Firman Allah:

“Wahai orang yang beriman! bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian daripada rahmat-Nya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (di dunia dan pada hari kiamat kelak), serta diampunkan dosa kamu; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani,” (al-Hadid [57:28]).

Bukan setakat itu, Rasulullah SAW sendiri mengajarkan kita semua agar dianugerahi “cahaya” ini dalam setiap penjuru hidup. Ibnu Abbas yang ketika kecilnya pernah tidur bersama baginda melaporkan bagaimana baginda bangun solat malam sebanyak 13 rakaat dan berdoa dengan doa ini:

“Ya Allah! Jadikan dalam hatiku, penglihatanku dan pendengaranku cahaya. Jadikan juga dari kananku, kiriku, atasku, bawahku, depanku dan belakangku cahaya. Dan besarkan cahaya ini pada diriku,” - Sahih Bukhari dan Muslim.

Ayuhlah kita berusaha dan berdoa agar cahaya ini menjadi milik kita. Jangan jadi seperti ramai manusia yang celik mata zahirnya tapi kelabu atau gelap mata hatinya sehingga tidak mampu melihat sinaran cahaya ini yang sudah sekian lama terpamer di depan mata. Jadikan ayat ini sebagai penanda aras sejauh mana cahaya ini sudah menyirami dan melapangkan jiwa kita:

“Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah dia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang yang tidak beriman,” (al-An’am [6:125]).

Jika mesej Islam berjaya menarik minat dan melapangkan jiwa kita, itu petanda baik cahaya ini sudah menyirami jiwa kita. Sebaliknya jika hati kita menjadi sesak, resah dan cemuh mendengar mesej Islam, awas! cahaya ini masih jauh daripada kita. Jika ia berlaku, segeralah cuci kanta mata hati kita sebelum ia semakin kelam dan gelap. Mohon dijauhkan Allah!

Tags:

Latest Month

June 2019
S M T W T F S
      1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
30      

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow