“Sekitar pukul 1 pagi saya melarikan diri ke dalam hutan berdekatan Batu Tiga, Shah Alam, namun tidak bernasib baik apabila terjatuh ke dalam kolam. Mahu tidak mahu saya terpaksa meredah paya hingga ke stesen kereta api Batu Tiga. Bagaimanapun saya tidak dapat naik ke jalan raya kerana kawasan itu dikawal polis. Saya juga terpaksa merangkak di atas landasan kereta api kerana helikopter polis berlegar-legar di udara. Suasana malam itu seperti medan perang dan tembakan gas pemedih mata pula seperti pertunjukan bunga api.”
Itulah yang dicatatkan oleh bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dalam bukunya, Perjuangan Tanpa Noktah bagi memaparkan suasana pada 22 April 1974 berikutan tercetusnya demonstrasi pelajar Institut Teknologi Mara (ITM), kini Universiti Teknologi Mara (UiTM)- bagi menuntut institut tersebut dinaik taraf menjadi universiti.
Ibrahim Ali berucap di sudut pidato ITM, Shah Alam pada 1974 bagi membangkitkan semangat pelajar untuk menuntut ITM menjadi universiti. |
Ibrahim yang ketika itu menjadi Presiden Kesatuan Siswa ITM (KSITM) adalah watak penting yang mencetuskan gelombang kebangkitan pelajar institut itu bagi tujuan tersebut.
Tetapi persoalannya, berapa ramaikah bekas pelajar ITM atau UiTM mengetahui betapa besarnya jasa anak kelahiran Kelantan itu? Walaupun demonstrasi berkenaan berakhir dengan kerajaan yang ketika itu dipimpin oleh Tun Abdul Razak Hussein hanya memberikan pengiktirafan beberapa diploma ITM setaraf dengan ijazah, namun impian Ibrahim untuk melihat institut tersebut menjadi universiti tidak pernah padam.
Berikutan itulah saban tahun, biarpun apa juga jawatan yang beliau sandang, di mana juga forum beliau berucap perjuangan untuk menjadikan ITM sebagai universiti sentiasa sahaja meniti di bibirnya. Ini termasuklah bagaimana setiap tahun bermula 1982 hingga 1987 dalam Mesyuarat Agung Pergerakan Pemuda UMNO Pasir Mas yang dipimpin oleh beliau, mereka meluluskan usul mendesak kerajaan menaiktaraf ITM menjadi universiti.
Dalam memastikan usahanya berjaya, Ibrahim tidak gentar untuk berhujah dengan Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila kedua-dua pemimpin itu menyatakan ITM tidak boleh menjadi universiti kerana institut itu tidak terletak di bawah Akta Universiti.
“Saya berhujah undang-undang ini buatan manusia dan kalau hendak bagi seribu daya, kalau tidak hendak bagi, seribu dalih. Maknanya kerajaan boleh susun semula atau pinda peraturan.” Catat Ibrahim lagi dalam buku tersebut.
Akhirnya perjuangan Ibrahim selesai pada 26 Ogos 1999, apabila Dr. Mahathir yang ketika menjadi Perdana Menteri melancarkan pengisytiharan ITM menjadi universiti di Stadium Malawati, Shah Alam.
Kejayaan itu adalah hasil usaha Ibrahim yang tidak pernah mengenal erti putus asa dalam perjuangan beliau bagi meningkatkan mutu pendidikan anak bangsa. Segalanya hasil penganjuran Perhimpunan Siswazah ITM di stadium tersebut pada tahun berkenaan. Perasaan sayang Ibrahim kepada UiTM (ITM) tidak berakhir di situ sahaja, malah beliau turut memainkan peranan penting bagi mewujudkan Fakulti Perubatan dan penubuhan Yayasan Budiman bagi memberikan sumbangan kepada alumni dan pelajar-pelajar Melayu di UiTM.
Tetapi soalnya, setelah berjuang selama 25 tahun untuk membolehkan ITM menjadi universiti dan kini ratusan ribu graduan dilahirkan sejak 1999, adakah Ibrahim menerima pengiktirafan sewajarnya?
Mahu tidak mahu sesiapa juga harus mengakui berdasarkan rentetan peristiwa sejak demonstrasi pelajar pada 1974, Ibrahim sudah selayaknya menerima penghargaan tertinggi daripada UiTM kerana perjuangannya. Tidak ada janggalnya kalau beliau dipertimbangkan untuk menerima anugerah doktor kehormat daripada universiti itu. Kalaulah tokoh lain yang sumbangan mereka tiada kaitan dengan kejayaan menaiktaraf ITM menjadi universiti mendapat anugerah tersebut, kenapa Ibrahim tidak boleh?
UiTM juga sepatutnya berasa bangga kerana mampu melahirkan seorang pelajar seperti Ibrahim yang jiwa perjuangan untuk bangsanya tidak pernah luntur sehingga sanggup ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebanyak dua kali iaitu pada 1974 dan 1987.
Mungkin atas semangat itu juga dalam bukunya Ibrahim mencatatkan, “Kalau dibandingkan dengan apa juga pencapaian saya, perjuangan menaiktaraf ITM menjadi universiti adalah satu kejayaan yang tiada tolok bandingnya. Ia bukan kerana saya tetapi demi masa depan pendidikan anak-anak Melayu dan bumiputera.”
Oleh itu, adalah wajar kepemimpinan UiTM merenung kembali jasa besar Ibrahim kepada institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut. Ibrahim mungkin tidak pernah merayu atau meminta beliau diberi anugerah kerana perjuangan berkenaan tetapi sebagai IPT yang kini semakin terkenal kerana keupayaan melahirkan tokoh yang hebat-hebat, tidak ada salah secebis penghargaan seperti anugerah doktor kehormat diberikan kepada Ibrahim.
Dalam membuat keputusan tersebut adalah penting mana-mana juga individu dalam UiTM mengenepikan sebarang sentimen tidak berasas terhadap Ibrahim yang kini Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa). Ini memandangkan penulis difahamkan suatu ketika dahulu ada cadangan beliau diberi anugerah berkenaan namun hasrat itu terbantut apabila ada yang iri hati.
Apa yang penting untuk ditegaskan, kalau bukan kerana insan bernama Ibrahim Ali belum tentu ITM menjadi universiti pada 1999. Oleh itu fikir-fikirkanlah. Penulis yakin kepemimpinan UiTM berjiwa besar dan bijak menilai jasa seseorang terutamanya bekas pelajar seperti Ibrahim.