RENCANA saudara Zulkiflee Bakar (Utusan 25 Julai 2016) yang mencadangkan supaya Datuk Ibrahim Ali dianugerahi ijazah Doktor Kehormat UiTM wajar dipandang serius oleh pihak Senat UiTM yang selama ini terlepas pandang akan jasa besar tokoh alumni ITM itu dalam perjuangan menaiktaraf status ITM kepada sebuah universiti.
Sebagai seorang alumni ITM (1975 - 78) saya sendiri dan saya percaya ramai lagi alumni ITM rasa kesal dan terkilan bagaimana jasa besar Ibrahim selaku bekas Presiden Kesatuan Siswa ITM (KSITM) yang telah berjuang bersungguh-sungguh untuk memartabatkan ITM diangkat sebagai sebuah universiti dipandang ringan oleh pihak pentadbiran UITM.
GRADUAN UITM tidak harus melupakan jasa Ibrahim Ali yang telah berjaya memperjuangkan agar status ITM dinaik taraf kepada sebuah universiti. GAMBAR HIASAN/UTUSAN |
Seperti yang maklum kaum bumiputera tertinggal jauh dalam bidang pelajaran sebelum tragedi 13 Mei 1969. Pada masa itu cuma terdapat sebuah universiti iaitu Universiti Malaya (UM) dan ramai pelajar bukan Melayu memenuhi UM dan hanya segelintir pelajar Melayu yang mendapat tempat khususnya di fakulti sains, kedoktoran dan kejuruteraan.
Dasar penjajah yang membonsaikan (istilah Prof. Ungku Aziz) pendidikan Melayu melihat sebelum merdeka orang Melayu hanya diberi pendidikan sehingga darjah 7 dan sekolah menengah Melayu hanya bermula selepas merdeka. Hanya segelintir orang Melayu yang mampu bersekolah di sekolah Inggeris dan merekalah yang berpeluang ke UM atau ke luar negara menerusi biasiswa Komanwel.
Kemunduran pelajaran ini mendesak pejuang orang Melayu bangun menuntut supaya kerajaan menubuhkan sebuah universiti kebangsaan untuk memberi peluang pendidikan tinggi kepada lulusan sekolah aliran kebangsaan. Maka wujudlah UKM pada 1970, diikuti dengan USM dan institut teknik (ITK) dinaiktaraf kepada UTM dan maktab pertanian serdang dinaiktaraf sebagai UPM. ITM kekal di bawah Kementerian Luar Bandar sebagai institut bertaraf diploma.
Pendidikan orang Melayu ketinggalan jauh dan jurang kejayaan pendidikan di peringkat tinggi yang semakin lebar antara Melayu dan bukan Melayu telah mendesak Ibrahim selaku pemimpin pelajar ITM untuk bangun menuntut hak orang Melayu dalam bidang pendidikan wajar diberi keutamaan oleh kerajaan. Tercetuslah Demo 22 April 1974 yang mencatat satu sejarah dalam perjuangan orang Melayu menuntut agar ITM sebagai sebuah institusi pendidikan orang Melayu dinaiktaraf kepada universiti.
Ibrahim selaku presiden KSITM telah menjadi mastermind menggerakkan pelajar ITM untuk bangkit menuntut hak mereka. Ibrahim melihat orang Melayu wajar diberi peluang meningkatkan taraf hidup melalui bidang pendidikan kerana tanpa kelulusan akademik lama-kelamaan orang kita akan ketinggalan dalam bidang ekonomi dan sosial.
Akibat tercetus demo pelajar ITM Ibrahim ditahan di bawah Akta Keselamatan dan Negeri (ISA) dan berkampung di Kem Kamunting dan meneruskan pelajaran dalam tahanan. Namun hasil daripada demo itu, kerajaan memindahkan ITM dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) kepada Kementerian Pelajaran dan Datuk Lokman Musa dihantar sebagai Pengarah ITM menggantikan Tan Sri Arshad Ayob. Beberapa kursus empat tahun yang mana kemasukan menggunakan Sijil Tinggi Persekolahan (STP) diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) setaraf ijazah.
Kemudian pada 1978, Datuk Profesor Dr. Awang Had Salleh yang menggantikan Lokman menyusun perancangan supaya diploma ITM diiktiraf di luar negara dengan mengadakan program berkembar dengan beberapa universiti luar negara. Program pensyarah muda dimulakan di mana ramai lulusan ITM dihantar ke luar negara untuk mendapat PhD dan kembali menjadi pensyarah di ITM.
Ibrahim tidak duduk diam selepas bebas daripada tahanan ISA. Beliau menyertai Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) di Kelantan dan membuka Kolej Polysains untuk memberi bimbingan kepada pelajar Melayu di Kuala Lumpur dan Kota Bharu. Beliau membuka syarikat Teknologi Sdn. Bhd. mengumpulkan ramai lulusan ITM dalam syarikat itu. Apabila Berjasa dibubarkan beliau menyertai Pemuda UMNO Pasir Mas dan saban tahun meluluskan usul agar ITM dinaiktaraf kepada sebuah universiti.
Menjelang pilihan raya 1999 Ibrahim mengguna kedudukan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk melobi kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad memohon supaya ITM dinaiktaraf kepada sebuah universiti. Akhirnya pada 26 Ogos 1999 Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri mengisytiharkan ITM sebagai universiti.
Walaupun beliau seorang ahli politik yang berani dan penuh kontroversi, Ibrahim tetap konsisten dalam memperjuang hak Melayu, bumiputera dan Islam di mana platform beliau berada. Beliau bukan taksub kepada pemimpin mahupun parti tetapi komited untuk melihat orang Melayu dan agama Islam mendapat hak sepertimana termaktub dalam Perlembagaan.
Perjuangan beliau yang berjaya menaiktaraf ITM kepada UiTM yang telah memberi impak berganda kepada pendidikan Melayu bumiputera wajar dihargai dengan menganugerahi ijazah Doktor Kehormat pada majlis konvokesyen UiTM akan datang.