kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Melihat potensi ketum dari sudut perubatan

Melihat potensi ketum dari sudut perubatan

BARU-BARU ini, kita dikejutkan apabila RISDA berhasrat meminta kebenaran kerajaan untuk membenarkan menanam pokok ketum bagi tujuan komersial.

Cadangan ini bertujuan meningkatkan hasil pendapatan pekebun kecil di negara ini dan boleh menambahkan punca ekonomi keluarga.


Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin, juga berkata pihaknya mendapat permintaan tinggi untuk mendapatkan bekalan ketum dari syarikat farmasi di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Beberapa pihak memberi tindak balas yang pelbagai sama ada dari sudut undang-undang, penguatkuasaan, kebaikan perubatan serta potensi penyalahgunaan oleh pihak tertentu.

Masyarakat kita sering didedahkan dengan pelbagai laporan negatif di mana daun ketum termasuk air rebusan disalahgunakan dan dijual secara meluas kepada pengguna biasa.

Ketagihan yang keterlaluan sehingga membahayakan kesihatan mental individu dan penyalahgunaannya menyebabkan pihak berwajib mengambil langkah pengawalan.

Apa itu daun ketum?

Pokok ketum juga dikenali sebagai pokok biak (bahasa Inggeris: kratom) ialah sejenis tumbuhan daripada famili rubiaceae yang banyak terdapat di Afrika, di utara dan tengah Semenanjung Malaysia serta di selatan Thailand.

Di Thailand, pokok ini dipanggil kakuam, ithang atau thom, di Amerika Syarikat pula sebagai kratom. Nama botaninya mitragyna speciosa korth (sumber Wikipedia.com).

Daun ketum sudah lama menjadi bahan perubatan tradisional sebagai minuman pemulih tenaga bagi wanita yang baru bersalin.

Daun ini boleh direbus dan airnya diminum sebagai pemulih tenaga, juga bagi rawatan mengeluarkan angin dalam badan dan bagi merawat sakit belakang. Bagaimanapun, air rebusan daun ketum disalahgunakan untuk ketagihan.

Daun ketum mengandungi banyak alkaloid psikoaktif, lebih daripada 25, tetapi mitraginin adalah alkaloid yang utama.

Pokok ketum menjadi terkenal pada awal 2003 kerana ia dikatakan berupaya menjadikan seseorang itu ketagihan kerana ia mengandungi mitraginin. Dengan itu pokok ketum diisytiharkan sebagai bahan larangan mulai Januari 2003.

Sudut pandang berbeza


Penulis ingin mengajak pembaca untuk melihat pada sudut pandang berbeza dalam memanfaatkan tumbuhan herbal berstatus komersial ini dan khasiat perubatan dikenal pasti seperti berlaku kepada sejarah penemuan aspirin dan kola.

Kenapa tidak kita memanfaatkan hasil bumi ini bukan sekadar mengimport ke negara luar sebagai bahan asas semata-mata untuk perubatan terutama untuk kesan psikotropik?

Kerajaan harus mengambil langkah bagaimana untuk mengenalpasti kombinasi bahan tertentu herbal ini dalam daun ketum dan diektraksikan secara spesifik melalui kaedah molekular dan R&D bioteknologi.

Hasil penemuan itu kemudian dipatenkan terlebih dahulu sebagai harta intelek milik negara kita. Penghasilan bahan asas yang dipatenkan akan menghasilkan nilai komersial yang jauh lebih bermakna untuk jangkamasa panjang.

Kemudian kita boleh menjual dan meminta mereka menggunakan hasil penemuan ini untuk perubatan semata-mata.

Sekadar menanam pokok ketum untuk komersial belum cukup untuk menjaga harta intelek ini kerana pihak yang menerima daun itu akan terus melakukan kajian preklinikal dan klinikal.

Sebaliknya, apabila mereka berjaya mengenal pasti kesan yang baik untuk perubatan, proses pembuatan ubat dan penjualannya juga akan menjadi milik mereka.

Kemudian ubat itu akan dijual semula kepada kita untuk rawatan penyakit tertentu. Dengan kata lain, mereka menggunakan hasil negara yang kita sendiri tidak memanfaatkan sepenuhnya.

Menanam dan mengimport pokok ketum adalah untuk manfaat jangka masa pendek dan belum cukup mengoptimumkan hasil bumi.

Sejarah pembangunan herbal dan komersial

Pokok kola yang berasal dari AS antara contoh terbaik untuk kita jadikan rujukan. Air rebusan daun kola dijadikan bahan asal Coca-Cola.

Air kola ini mempunyai rasa tersendiri dan boleh dipatenkan juga. Bagaimanapun selepas didapati daun kola mempunyai bahan ketagihan, syarikat Coca-Cola menukar bahan asal dalam daun kola kepada bahan sintetik yang tidak menghasilkan kesan ketagihan.

Jadi, penukaran kola biasa kepada bahan sintetik menghasilkan manfaat untuk jangka masa panjang. Sehingga kini Coca-Cola dapat mengeluarkan sejenis minuman perasa kola yang sangat terkenal dan mempunyai nilai komersial tinggi.

Begitu juga dengan penemuan aspirin iaitu sejenis ubat digunakan untuk rawatan inflamasi, rawatan demam dan sakit sendi.

Masa depan pokok Ketum

Dengan pengisytiharan daun ketum sebagai bahan larangan ini bererti pokok ketum mungkin akan pupus akibat aktiviti penghapusan oleh pihak berkuasa. Ini akan berlaku sekiranya kita melihat pada sudut larangan penggunaan dan pengambilannya.

Namun, menurut akta berkenaan dan ditegaskan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar baru-baru ini, beliau berkata tidak salah menanam daun ketum untuk komersial kerana ia tidak termaktub dalam undang-undang. Seseorang boleh dikenakan tindakan hanya jika wujud aktiviti memetik, memproses dan mengedar daun ketum.

Justeru, cadangan RISDA untuk menanam pokok ketum untuk eksport dibenarkan, namun perbincangan perlu dibuat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi kawalan supaya tidak disalah guna. Ini bersesuaian dengan undang-undang Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, tidak dinyatakan menanam daun ketum adalah salah.

Penulis secara peribadi cenderung untuk meminta pihak berwajib supaya melihat penggunaan daun ketum ini untuk jangka masa panjang dan sesuatu yang drastik boleh dilakukan terutama pada sudut manfaat perubatan dan komersial.

Kajian oleh pelbagai pihak dan peringkat perlu terus digalakkan dan kerajaan boleh memberi insentif melalui agensi tertentu.

Membuat satu anjakan pemikiran dalam pembangunan industri herbal dan berusaha mematenkan hasil kajian ini, jauh lebih menguntungkan negara kita. Kita perlu melihat isu daun ketum ini bukan sekadar bergantung kepada akta pengawalan semata-mata.

Pandangan penulis untuk isu ini berdasarkan pengalaman bekerja di bidang R&D dan bioteknologi berasakan sudah tiba masanya kerajaan mengambil langkah lebih proaktif lagi.

Tags: vaksin
Subscribe

Posts from This Journal “vaksin” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments