kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kebajikan anggota tentera sentiasa dijaga

SYUKUR, Alhamdulillah, tanggal 1 Julai lalu tercatat dalam sejarah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila 76, 771 anggota lain-lain pangkat (LLP), menikmati peningkatan tangga gaji. Berita gembira itu diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebelum ini yang membabitkan peruntukan RM58.89 juta.

Kerajaan meluluskan penambahbaikan sistem gaji dalam ATM bagi memastikan semua anggota tanpa mengira kepakaran mempunyai kemahiran tinggi serta berpeluang mencapai tangga gaji lebih tinggi.

Kelulusan itu bukan sahaja memberi manfaat dari segi peningkatan gaji anggota, malah ia pengiktirafan kerajaan terhadap kepakaran anggota tentera.


SEBAHAGIAN Anggota Tentera Malaysia yang terlibat pada majlis pembukaan LATGABMA MALINDO DARSASA 2016, di Pangkalan TLDM, Tanjung Gelang.

Selain itu, kerajaan juga meluluskan pemberian satu kenaikan band secara one off kepada anggota yang menamatkan perkhidmatan sejak 1 Januari 2013 bagi pengiraan faedah persaraan kepada anggota yang tidak boleh mencapai kenaikan ke Band 4 dan 5.

Anggaran peruntukan bagi pemberian satu kenaikan gaji itu ialah RM56.52 juta.

Kelulusan kenaikan gaji memberi lebih sedikit pendekatan untuk perbelanjaan anggota dan keluarga mereka.

Sesungguhnya, kerajaan prihatin kepada sumbangan ATM dan berita gembira ini akan menjadi perangsang untuk seluruh warga ATM.

Kenaikan gaji ini adalah keputusan kerajaan yang bersetuju dengan cadangan Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) untuk merasionalisasikan Skim Perkhidmatan ATM di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Skim perkhidmatan lebih baik

Rasionalisasi itu selaras dengan usaha transformasi perkhidmatan awam seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2016, membabitkan penambahbaikan 252 Skim Perkhidmatan termasuk ATM.

Di bawah rasionalisasi itu, setiap pegawai ATM akan menikmati penambahbaikan ke atas skim perkhidmatan yang lebih baik. Gaji pegawai kadet berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia/Sijil Vokasional Malaysia (SPM/SVM) bermula daripada RM1,500 berbanding RM1,140 di bawah skim sebelum ini.

Apabila ditauliahkan, pegawai berpangkat Leftenan Muda setaraf berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (pelbagai jurusan) dan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang masing-masing bakal memperoleh gaji RM2,585 berbanding RM2,411.85 sebelum ini.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan akan memperoleh RM2,876 berbanding RM2,703, manakala gaji mereka yang berkelulusan ijazah Sarjana Muda Perubatan Veterinar akan bermula daripada RM 3,002 berbanding RM2,593 sebelum ini.

Bagi anggota lain-lain pangkat pula, kemasukan minimum adalah berkelulusan SPM/SVM. Mereka akan menikmati skim perkhidmatan lebih baik dengan gaji permulaan bagi Perajurit Muda selepas menamatkan latihan asas, mereka akan menerima gaji permulaan Prebet RM1,564 berbanding RM1,137 sebelum ini.

Penetapan gaji terendah yang baharu ini memberi kesan langsung terhadap penambahbaikan jadual gaji minimum hingga maksimum yang dinikmati oleh seluruh warga ATM.

Kenaikan gaji tahunan bagi anggota berpangkat Prebet dan Lans Koperal turut dinaikkan masing-masing daripada RM100 kepada RM105 dan RM110. Mereka yang sudah mencapai mata gaji maksimum bakal menikmati kenaikan gaji tahunan seperti biasa sehingga mencecah mata gaji maksimum baharu yang dinaikkan antara 10 hingga 41 peratus berbanding mata gaji maksimum sedia ada.

Persediaan kehidupan baharu

Baru-baru ini juga kami meraikan 1,248 graduan Pertubuhan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) yang menamatkan latihan sebagai persediaan dalam kehidupan baharu.

Sesungguhnya, Kementerian Pertahanan menyanjung tinggi sumbangan anggota ATM ketika melaksanakan tugas menjaga keselamatan negara.

Teras kebajikan menjadi keutamaan dan satu daripada fokus strategik KEMENTAH bagi menambah baik kebajikan anggota ATM dan veteran. Antara yang terserlah ialah apabila kerajaan melaksanakan kenaikan kadar pencen dua peratus setahun bermula 2013.

Pada tahun ini, KEMENTAH menyediakan bas sekolah bagi menggantikan lori tiga tan untuk kemudahan ke sekolah.

Selain itu, KEMENTAH merancang untuk membina kediaman baharu dan membaik pulih 200 rumah veteran dalam program 1My Veteran Home Repair Programme (1MVHRP) pada tahun ini.

Program ini akan berterusan dan tahun lalu 620 rumah veteran dibina dan dibaik pulih.

KEMENTAH juga sedang memperkasa program latihan PERHEBAT bagi menyediakan veteran yang lebih berdaya saing dan kompetitif.

Melalui PERHEBAT, pelbagai latihan kemahiran dan keusahawanan berbentuk hard skills dan soft skills disediakan. Untuk menentukan veteran ATM yang memiliki kemahiran dan pengalaman berkecimpung dalam bidang perniagaan, kerajaan menyediakan dana khas kepada PERHEBAT RM33.5 juta melalui Skim Pinjaman Mikro Usahawan Veteran ATM tanpa faedah.

Sehingga 31 Mei lalu, PERHEBAT membelanjakan RM25.1 juta daripada peruntukan RM33.5 juta untuk manfaat 1,370 orang usahawan veteran ATM.

Pada masa sama, pihak Lembaga Pengarah PERHEBAT membuat tawaran kepada syarikat penyedia latihan milik veteran ATM supaya terbabit secara langsung dalam melatih veteran ATM tidak berpencen melalui Program Pembangunan Sosio Ekonomi Veteran ATM Tidak Berpencen.

Untuk rekod, pelan hala tuju PERHEBAT 2014-2020 adalah pelan induk perancangan dan tindakan yang sedang diambil oleh PERHEBAT untuk menjadi Pusat Kecemerlangan Kemahiran Tinggi khusus untuk manfaat bakal veteran dan veteran ATM.

Saya menasihatkan graduan yang memilih untuk bekerja dengan menonjolkan imej dan sikap positif agar majikan di luar sana terus memandang tinggi kepada veteran ATM.

Sesiapapun tidak boleh menafikan PERHEBAT berjaya memperkasa, memperhebat veteran ATM dengan pelbagai usaha ke arah kesejahteraan dan keharmonian hidup veteran ATM.
Tags: keselamatan, tentera
Subscribe

Posts from This Journal “tentera” Tag

  • Beruniform bukan lagi lambang berdisiplin?

    Kita baru sahaja memberi penghormatan kepada pasukan ‘barisan hadapan’ negara seperti pasukan polis, tentera, bomba, imigresen,…

  • Tiada 31 Julai, maka tiada 31 Ogos

    TIDAK keterlaluan kalau saya katakan bahawa tiada tarikh 31 Julai, maka tiada tarikh 31 Ogos. Tarikh 31 Julai, kita raikan Hari Pahlawan. Tarikh 31…

  • VAT 69 tunjuk taring

    PULAU PERHENTIAN 6 Okt. - Penduduk dan pelancong di sekitar pulau ini tiba-tiba digemparkan dengan kehadiran sekumpulan lelaki berpakaian skuba…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments