ANTARA peranan utama guru masa kini adalah menerapkan elemen kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) melalui kaedah penyoalan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P). Elemen itu amat penting dalam usaha mewujudkan komunikasi dua hala antara guru dan pelajar.
Melalui kaedah penyoalan juga guru boleh merangsang pemikiran pelajar, mengesan kefahaman pelajar serta mampu menilai keberkesanan corak P&P dalam kelas. Tidak terkecuali kaedah penyoalan dalam kelas akan meningkatkan lagi pemikiran pelajar pada aras kognitif yang lebih tinggi.
Kaedah tersebut akan menjadi lebih berkesan sekiranya guru mencabar pemikiran pelajar dengan mengemukakan soalan-soalan berkaitan dengan isu-isu terkini. Para pelajar kemudian boleh memberikan pandangan masing-masing dalam bentuk pertuturan dan penulisan.
Kaedah penyoalan juga adalah salah satu cara paling berkesan untuk menyampaikan intipati subjek oleh guru kepada pelajar-pelajarnya. Soalan-soalan yang dikemukakan berpotensi membantu pelajar dalam mencapai keupayaan kognitif yang optimum.
Tidak kurang pentingnya, melalui kaedah itu para pelajar akan dilatih menggunakan pengetahuan sedia ada bagi membuat perbandingan maklumat yang diperoleh selain menjadi penyelesai masalah. Hasilnya, pelajar akan lebih aktif dan bukannya pasif dalam proses pembelajaran mereka.
Terdapat beberapa jenis soalan guru yang boleh digunakan dalam P&P. Antaranya soalan jenis menumpu yang membabitkan maklumat terus dan berfokus dan soalan jenis mencapah merangkumi soalan terbuka.
Soalan jenis menumpu sesuai untuk aras kognitif rendah manakala soalan jenis mencapah yang merangkumi soalan terbuka pula merupakan soalan yang dijangka boleh menghasilkan pelbagai jawapan daripada pelajar.
Misalnya, ketika guru menerangkan tentang poligon. Guru boleh bertanyakan soalan seperti berikut, apakah yang kamu boleh beritahu saya tentang poligon? Soalan berbentuk terbuka ini lebih menggalakkan pelajar untuk melatih kemahiran berfikir yang tinggi.
Guru juga boleh bertanya kepada pelajar, bolehkah kamu menunjukkan cara lain untuk menyelesaikan masalah ini? Pelajar kemudian boleh menunjukkan pelbagai cara seperti penggunaan simbol, visual, lisan atau graf dalam menyelesaikan masalah terutama masalah matematik.
Melalui cara ini, pelajar dapat berkongsi idea mereka bersama rakan-rakan lain untuk menyelesaikan masalah. Justeru, guru seharusnya memberi peluang kepada pelajar untuk tampil ke depan dan menunjukkan cara mereka sendiri dalam menyelesaikan satu-satu masalah.
Guru yang efektif ialah guru yang sentiasa mewujudkan suasana bersoal jawab dan memberi peluang kepada pelajar untuk mengutarakan pendapat mereka semasa dalam proses P&P. Tidak dinafikan pengajaran yang berkesan amat memerlukan persekitaran yang kondusif supaya keadaan tersebut boleh menggalakkan pelajar berfikir, menyoal dan seterusnya menyelesaikan masalah. Prof. Madya Dr. Effandi Zakaria Fakulti Pendidikan, UKM Utusan Malaysia Rencana Forum 08 Ogos 2016 12:24 AM