kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Ke Arah membentuk Komuniti ASEAN

PERTUBUHAN negara Asia Tenggara (ASEAN) ditubuhkan pada 8 Ogos 1967. Waktu itu era politik bergolak bagi negara-negara Asia Tenggara yang baru mencapai kemerdekaan. Malaysia, Indonesia, Thailand, Singa­pura dan Filipina sepakat bahawa satu-satunya cara rantau Asia Tenggara dapat maju dan makmur dalam percaturan politik antarabangsa adalah dengan mengendali perbezaan pendapat dan mengelakkan persengketa­an. Keamanan dan kestabilan akan menjana pembangunan ekonomi serantau, yang juga memberi peluang kepada kemajuan sosial.

Inilah asas penubuhan ASEAN. Bagaimanapun, setelah penubuh­annya, ASEAN menyedari bahawa lebih banyak faedah kepada rak­yat negara anggota dapat diperoleh sekiranya terdapat peningkatan integrasi dalam ASEAN sendiri. Mekanisme se­perti Triti Keamanan dan Kerjasama Asia Tenggara 1976 yang bertindak sebagai tata kelakuan hubungan luar negara di rantau ini, serta Piagam ASEAN 2007 yang memberi status undang-undang dan kerangka institusi bagi organisasi ini, telah digubal dan diguna pakai.

Selepas 48 tahun, pada 31 Disember 2015, kesemua 10 negara ASEAN menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penubuhan Komuniti ASEAN. Pembentukan Komuniti ASEAN ini satu pencapaian bersejarah bagi ASEAN. Ini menandakan komitmen negara anggota dan penduduk ASEAN untuk maju sebagai sebuah entiti, bagi memastikan keamanan dan kestabilan serantau dengan ekonomi yang berkembang pesat dan kemajuan sosial, serta identiti bersama dan semangat setiakawan yang tinggi.

Ada mengatakan mustahil untuk mewujudkan satu Komuniti ASEAN. Tetapi persetujuan yang dicapai di Kuala Lumpur tidak pernah mengandaikan bahawa Komuniti ASEAN dapat dicapai sekelip mata. Persetujuan oleh semua pemimpin ASEAN adalah satu komitmen kepada proses berterusan yang akan membawa ASEAN kepada Komuniti ASEAN yang digambarkan dan diharapkan. Ini juga komitmen para pe­mimpin ASEAN untuk berusaha ke arah Visi Komuniti ASEAN 2025, dan pemantapan berterusan organisasi ASEAN yang dimulakan 48 tahun lalu.

ASEAN mempunyai tiga tonggak iaitu politik-keselamatan, ekonomi dan aspek kerjasama sosiobudaya - yang membentuk asas penyatuan Komuniti ASEAN. Jauh lebih penting bagi rakyat jelata, Komuniti ASEAN mengutamakan rakyat dan meletakkan mereka sebagai nadi pertubuhan tersebut. ASEAN berhasrat mewujudkan warganegara ASEAN yang memiliki perikatan kuat dengan rantau ini.

Dari segi politik dan kese­lamatan, kejayaan ASEAN mematahkan sebarang pertikaian yang boleh membawa kepada peperang­an menunjukkan kekuat­an semangat organisasi itu untuk mengurus konflik dan persengketaan. ASEAN juga berjaya mengurangkan persaingan keselamatan antara negara anggotanya dan mewujudkan sebuah rantau yang stabil. Kesannya, rakyat berupaya menjalani kehidupan dalam keadaan kese­lamatan yang terjamin sambil menikmati faedah daripada keamanan dan kestabilan yang berterusan.

Ini bukanlah suatu yang mudah dicapai. Ia hanya dapat menjadi realiti selepas penggubalan dan penerimaan pelbagai perjanjian dan protokol dalam kalangan negara anggota ASEAN. Tanpa ASEAN sebagai organisasi utama, perjanjian-perjanjian sebegini bukan sahaja sukar dimeterai, malah sukar dibentuk dan dikuatkuasakan.

Dalam konteks hubungan antara negara, Cara ASEAN (ASEAN Way) telah memastikan praktis menggunakan ‘diplomasi senyap’ (quiet diplomacy) dalam menyelesaikan perbezaan pendapat kekal sebagai asas dalam hubungan luar negara ASEAN. Prinsip tidak campur tangan adalah pen­ting terutamanya bagi Asia Tenggara kerana negaranya mempunyai penduduk majmuk dengan pelbagai etnik, kaum dan agama yang hidup bersama. Perbezaan agama dan kaum adalah isu yang berpotensi menggugat keselamatan rantau. Oleh itu, prinsip ini memastikan wujud saling menghormati antara masyarakat maj­muk ini.

Dari segi ekonomi pula, jumlah GDP negara ASEAN sebanyak AS$2.57 trilion dan lebih 600 juta pengguna menghasilkan pelbagai peluang perniagaan. Antaranya mewujudkan permintaan tinggi untuk tenaga buruh mahir, me­ningkatkan perdagangan rentas sempadan dan pelaburan, serta peningkatan ketara dalam jaringan pengangkutan dan infrastruktur. Dengan adanya satu komuniti bersepadu, ASEAN berwawasan menjadi satu rantau yang mempunyai peraturan sekata dan jelas, rendah tarif, telus dan mempunyai jalinan kerjasama tinggi di antara satu sama lain.

ASEAN juga telah berjaya mencipta kemajuan yang besar dari segi kerjasama ekonomi. Sehingga penghujung tahun lepas, ASEAN menjadi pasaran tunggal yang mampu menawarkan penghapus­an cukai sehingga 99%. Apabila cukai import dihapuskan, produk seperti sayur-sayuran yang dibeli dari negara jiran di dalam ASEAN akan menjadi lebih murah. Dengan terhapusnya kekangan perdagangan, produk Malaysia juga akan lebih mudah memasuki pasaran negara ASEAN dan juga sebaliknya.

ASEAN juga telah berjaya menambah baik taraf hidup dan kebajikan rakyat dengan wujudnya kemakmuran serantau. Jika masa dahulu negara-negara ASEAN bertungkus-lumus cuba menanga­ni kadar kemiskinan yang tinggi, kini ASEAN berupaya mempercepatkan pertumbuhan sosial dan membuat kemajuan berterusan bagi merapatkan jurang pembangunan. Ini berjaya dilakukan bukan sahaja di antara negara ASEAN malahan di dalam negeri. Kerjasama sosiobudaya yang erat di dalam ASEAN juga banyak menyumbang kepada peningkatan taraf kesihatan, peluang pendidik­an dan kesamarataan gender di negara-negara ASEAN.

Saya pasti masih banyak lagi cabaran yang perlu kita tempuhi pada masa hadapan. Beberapa serangan yang berlaku baru-baru ini cukup menyedarkan kita bahawa ancaman keganasan sangat nyata dan mampu mengganggu-gugat rantau ini. Migrasi penduduk secara tidak terkawal juga memberi masalah besar kepada pihak kerajaan di negara terlibat.

ASEAN perlu diberi peluang mengukuhkan integrasi dan seterusnya melangkah ke arah pembinaan masyarakat. Buat masa ini, ASEAN perlu memastikan agar langkah atau strategi yang terkandung dalam Visi ASEAN 2025 diterjemah kepada tindakan dan pencapaian yang nyata. Semua negara ASEAN hendaklah memastikan langkah-langkah tersebut dilaksanakan secara efektif mengikut masa yang ditetapkan, membawa kematang­an kepadanya bagi memberikan kesan positif kepada kehidupan rakyat.

Saya yakin, dengan komitmen pembentukan Komuniti ASEAN tahun lepas akan membawa kepada perubahan yang lebih baik. ASEAN bakal membentuk asas lebih kukuh yang dibina atas dasar kepercayaan, persefaham­an dan kerjasama. Ini akan memberi manfaat kepada semua rakyat ASEAN, termasuk di Malaysia.

Buat pertama kalinya Hari ASEAN diraikan pada 8 Ogos sebagai satu komuniti. Marilah kita sama-sama maju ke hadapan sebagai satu komuniti yang bersatu-padu dengan harapan membina masa depan yang lebih gemilang dan stabil untuk ASEAN dan rakyatnya. - Anifah Aman Utusan Malaysia Rencana 08 Ogos 2016 6:00 PM

Tags: politik
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments