kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Malas kerja lebih baik mati!

RAMAI yang sudah biasa sangat dengan istilah Monday blues. Selalunya setiap pagi Isnin bila melayari laman-laman sosial pasti ada saja yang memuat naik status tentang rasa malas hendak masuk ke pejabat atau pergi kerja, selepas bercuti pada Ahad atau sesetengahnya bercuti dua hari, Sabtu dan Ahad.

Jadi Isnin sering kali disifatkan sebagai hari yang ­paling ‘liat’ untuk bekerja. Walhal ada juga di antara mereka yang beri alasan tidak suka Isnin sebab ia adalah permulaan minggu untuk bekerja, padahal hari lain pun malas pergi kerja. Bukan setakat Isnin sahaja. Hari-hari pun dia malas!

Dan malas juga ada sebab. Selalunya memang semula jadi malas. Mahu terus sambung tidur, mungkin ke­penatan kerana sibuk membawa keluarga bersiar-siar pada hari sebelumnya atau keluar bersama kawan-kawan sehingga lewat malam atau ada yang malas ­kerana tiada motivasi, tiada semangat untuk bekerja dan persekitaran kerja bukan tempat yang menyeronokkan untuk dia menghabiskan separuh daripada waktu ­hariannya di situ.Maka selalunya, Isnin juga adalah hari paling tinggi majikan atau bahagian pentadbiran dalam sesebuah organisasi menerima panggilan telefon mengenai cuti sakit (MC) atau cuti kecemasan (EL) berbanding hari lain yang ada sesetengahnya memang benar-benar sakit dan ada kecemasan manakala sesetengahnya pula saja-saja cari sakit sebab malas untuk ke pejabat pada hari ber­kenaan.

Jika kita hendak bercakap pasal persekitaran tempat kerja, banyak cerita boleh timbul dan isu di tempat kerja sebenarnya agak menarik juga untuk di­bincangkan kerana kebanyakan kita melalui macam-macam kerenah mengenainya setiap hari.

Ia adalah perkara yang hari-hari berlaku di sekeliling kita. Kata seorang rakan saya, bekerja ini pun nasib-­nasib juga. Selain mengharapkan dapat majikan yang baik dan prihatin, kita juga mahukan kawan sekerja yang memudahkan dan melancarkan kita bekerja.

Memang amat beruntunglah yang dapat kawan ­sekerja yang bagus. Yang rajin dan tidak berkira. Ada juga yang datang kerja tetapi sama seperti dia tidak ­datang kerja. Kerjanya dilakukan oleh orang lain dan dia ke hulu ke hilir dalam pejabat untuk dilihat sibuk tetapi sebenarnya tidak buat apa-apa pun. Kalau tidak percaya, di hujung hari dia bekerja, tanyalah hari ini apa yang ­sudah dia lakukan?

Ada yang hanya pandai bercakap, memberi pendapat dan idea yang berapi-api tetapi apabila tiba bab kerja, dia kurang atau tidak buat kerja langsung atau kerjanya tidaklah sehebat cakap-cakapnya. Ada yang mulut bi­sing tetapi kerja tetap jalan dan ada yang duduk diam tetapi terus diam sehingga dia balik pun diam-diam juga, tidak disedari sesiapa! Dan ada juga yang terlebih rajin bersembang sehingga kawan-kawan hendak buat kerja pun tidak fokus. Agak-agaknya anda dalam ­kategori yang mana?

Pun begitu, pusing-pusing ikut mana pun, kita seharusnya bersyukur kerana ada pekerjaan. Ada orang yang susah dapat kerja. Terpaksa bekerja dalam bidang yang bukan dia pelajari atau minati. Ada yang masih mencari-cari kerja dan kita yang ada kerja selesa dan ada yang diberi tanggungjawab yang bukan sedikit dalam ­organisasi tetapi buat main-main pula!

Sesuatu yang sepatutnya pekerja sedar, mereka datang ke tempat kerja bukan setakat mengisi hari bekerja, cukup waktu balik dan cukup bulan dapat gaji. Setiap daripada pekerja mempunyai spesifikasi kerja yang sepatutnya dipenuhi bukan sekadar datang dan balik.

Tentunya dalam sesebuah organisasi, kita memerlukan orang yang bukan sahaja pandai bercakap tetapi mahukan yang bekerja keras. Memetik kata-kata ­cendekiawan Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz: “Orang yang bagus sekali ialah orang yang rajin bercakap, rajin bekerja sebaliknya orang yang malas bekerja, suka menyibuk, baiklah mati.” - Fauziah Arof Utusan Malaysia Rencana 10 Ogos 2016 6:15 PM

Tags: kerja, mati
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments