DALAM tempoh 31 tahun dengan The New Straits Times Press, saya ditukarkan dari sebuah negeri ke sebuah negeri di hampir seluruh semenanjung untuk menjaga biro selama 22 tahun. Bakinya di ibu pejabat.
Di setengah negeri hanya ada dua wartawan dan dua staf bahagian jualan, manakala di setengah negeri ada lapan wartawan dan enam staf bahagian lain.
Besar atau kecil biro itu, ramai atau sedikit staf, ketua biro tetap dipanggil bos.
Ia mungkin penghormatan. Ia mungkin juga kebiasaan, tetapi hakikatnya panggilan bos mengingatkan anda kepada beban tugas yang perlu anda tanggung dan teladan yang perlu anda pamerkan kerana anda dikira wakil syarikat dan ketua pejabat.
Yang menjadi cabaran adalah anda perlu berusaha tentukan tindak-tanduk anda dari aspek kerja, perhubungan dalaman dan juga dengan orang luar sentiasa sesuai supaya ia mencerminkan imej syarikat.
Yang sangat penting, sebagai ketua, walaupun tidak mampu ke depan dalam setiap aspek - mungkin tidak biasa baca doa di majlis kenduri atau menonjol dalam sesuatu permainan - anda perlu menjadi teladan dengan cara yang tersendiri.
Saya selalu ingatkan diri saya sendiri, jangan perasan hanya kerana jadi bos dan jangan cuba tunjuk pandai kerana kalau di negeri-negeri, bos yang datang dari luar kalah dengan staf di bawahnya.
Mereka yang sudah berpuluh tahun di negeri masing-masing itu lebih kenal, antara lain, kerabat diraja, menteri besar, exco, pegawai tinggi, ahli politik dan penghulu.
Tapi dari segi ilmu dan pengalaman kerja, seseorang bos mesti mengatasi staf. Kalau tidak, tidak layaklah jadi bos.
Dalam profesyen kewartawanan, seseorang bos perlu tahu ilmu berkaitan profesyen itu jauh lebih banyak daripada semua wartawan di bawah penyeliaannya.
Anda mesti mampu memberi tunjuk ajar dan garis panduan ke arah penulisan yang baik dan leraikan masalah berkaitan bidang mahkamah, jenayah, politik, ekonomi, sukan, yang berunsur kemanusiaan dan lain-lain.
Bos mesti, antara lain, berusaha pertahankan etika penulisan dan lindungi wartawannya daripada serangan luar.
Anda perlu tahu dengan jelas apa yang boleh dan apa yang tidak boleh disiarkan.
Seseorang bos tidak boleh buat keputusan berdasarkan andaian, apa lagi ikut emosi dan berat sebelah. Ia adalah tindakan atau kesilapan yang tidak boleh dimaafkan kerana mudaratnya besar.
Oleh sebab itu, adalah amat perlu sebelum menjadi bos, anda sendiri wajib melalui pengalaman membuat liputan dalam pelbagai bidang. Ia banyak membantu.
Anda boleh membaca dan mengikuti kursus mengenai penulisan yang bai, tetapi tidak sama dengan masuk ke gelanggang.
Saya sendiri turut menyimpan senarai tentang apa yang perlu seseorang lakukan untuk menjadi wartawan yang baik.
Antaranya, tahu apa yang anda hendak laporkan, tulis dengan bahasa mudah untuk melayan pembaca di pelbagai peringkat, sunting laporan sendiri supaya tiada kesilapan, membaca akhbar, buku dan majalah setiap hari untuk tambah ilmu dan perkasakan penulisan anda, ambil berat dengan ketepatan fakta, jangan buat kesilapan kurang bijak seperti salah eja atau lebih buruk, salah nama orang yang anda laporkan.
Penutup ayat dalam senarai yang saya simpan itu menyebut: “Tiada siapa yang letak pistol di kepala anda dan paksa anda jadi wartawan. Anda menjadi wartawan atas kemahuan anda sendiri sebab anda berminat menulis dan suka melihat byline anda dipaparkan dalam akhbar”. Tetapi kata-kata memberangsang sahaja tidak cukup untuk membuat sesorang jadi wartawan yang baik.
Setelah menjadi ketua biro sekian lama dan selepas itu kembali ke ibu pejabat untuk selia wartawan yang lebih ramai, saya perlu buat pengakuan, tugas mengurus penulisan dalam media adalah sesuatu yang mencabar, walaupun anda berpengalaman luas.
Apabila menjadi bos, tak kiralah bos kecil atau bos besar, secara automatik banyak mata tertumpu kepada anda; apa anda buat, dengan siapa anda berkawan...!
Anda tutup pintu bilik, anda boleh dituduh kera sumbang, sombong atau ada yang mahu dirahsiakan. Anda buka pintu bilik pula, anda mungkin disyaki mahu pasang telinga untuk cari salah orang yang anda selia.
Memang susah! Seperti kata Allahyarham R Azmi dalam lagunya: “Cakap salah tak cakap salah, jadi semua serba salah!”
Apa pun, antara yang paling penting apabila menjadi bos adalah anda sentiasa kena tunjuk contoh yang boleh diteladani.
Kalau tidak banyak, sedikit pun jadilah.
Tetapi janganlah jadi bos yang mempelopori segala tindak-tanduk yang buruk, salah dan tidak beretika.
Kalau anda rasa berada dalam golongan terakhir itu, tak payahlah jadi bos. Wallahuaklam! Farush Khan SInar Harian Kolumnis 10 Ogos 2016