?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Nilai karbon dianggar RM25 juta

Hutan Simpan Ayer Hitam merupakan satu-satunya hutan pamah dipterokarp atau kawasan hutan pada ketinggian antara 15 hingga 233 meter dari paras laut yang masih wujud dalam keadaan sempurna di kawasan bandar di Lembah Klang dan Putrajaya.

Pensyarah Bidang Remote-Sensing Gunaan dan GIS, Fakulti Perhutanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd. Hasmadi Ismail berkata, satu kajian yang dibuat pihaknya bersama Universiti Twente Enshede, Belanda mendapati, dari segi ekonomi nilai karbon yang disimpan oleh hutan itu dianggarkan antara RM2 juta hingga RM25 juta.


Contoh dirian pokok yang dijana daripada perisian RiSCAN PRO

“Kajian tersebut dilaksanakan untuk membangunkan kaedah menyeluruh terhadap penilaian biojisim dan karbon di Hutan Simpan Ayer hitam. Anggaran jumlah biojisim yang dinilai ialah daripada 240 tan per hektar kepada lebih 320 tan per hektar.

“Jumlah biojisim keseluruhan kawasan ialah 329,272 tan, sementara jumlah karbon pula ialah 165,066 tan. Dapatan kajian menunjukkan hutan berkenaan mengandungi jumlah karbon yang banyak kerana struktur pokoknya sudah matang dan berkapasiti untuk menyimpan lebih banyak karbon,” katanya.

Jelas beliau, dengan penggunaan kaedah teknologi integrasi airborne ‘Light Detection and Ranging’ (LiDAR) dan pengimbas laser terrestrial serta Orthophoto, ketepatan pengukuran yang diperoleh daripada kaedah tersebut ialah 99 peratus.

“Secara umum LiDAR adalah sebuah teknologi deria jarak jauh menggunakan properti cahaya yang tersebar untuk mendapatkan jarak dan informasi suatu objek dari target (sasaran) yang dituju. Kaedah untuk menentukan jarak suatu objek adalah dengan menggunakan nadi laser.

“LiDAR menggunakan cahaya inframerah, ultra-violet, cahaya nampak, atau dekat dengan objek gambar dan dapat digunakan untuk memperoleh rupa bentuk fizikal dengan resolusi sangat tinggi. Instrumen LiDAR ini biasanya dipasang di pesawat dan satelit serta digunakan untuk survey atau pemetaan,” katanya.

Tambah Mohd. Hasmadi, oleh kerana penilaian biojisim dan karbon di Hutan Simpan Ayer Hitam adalah kompleks maka kedua-dua laser sensor iaitu udara dan daratan digunakan.

“Langkah ini bagi memastikan anggaran biojisim hutan dapat diperoleh daripada pokok-pokok dari lapisan kanopi yang berbeza melalui model ketinggian silara hutan (Canopy Height Model) yang dihasilkan dalam bentuk tiga dimensi (3D).

“Imej 3D yang dijana dari kaedah LiDAR dapat membantu mengenal pasti dirian pokok secara individu di dalam hutan dan pengukuran tinggi dan diameter pokok dapat dibuat dengan tepat,” jelasnya.

Menurut beliau, ketepatan pengukuran stok karbon dan biojisim melalui kaedah itu dapat menyokong usaha mekanisme Pengurangan Pelepasan daripada Penebangan dan Degradasi Hutan atau Reduced Emissions from Deforestation and Forest Degradation (REDD).

“REDD telah menjadi isu yang hangat diperdebatkan di arena rundingan antarabangsa dan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai perubahan iklim pada tahun 2007.

“Sehubungan itu, penilaian ini dapat memberi gambaran betapa pentingnya langkah memelihara Hutan Simpan Ayer Hitam untuk memberikan perkhidmatan intangible atau tidak ketara sebagai tempat simpanan karbon dan membantu memproses karbon dioksida, seterusnya membersihkan udara untuk kawasan sekitarnya,” katanya.


Pencerobohan hutan terus berlaku

PENCEROBOHAN merupakan salah satu cabaran terbesar yang dihadapi Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam mengurus Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong, Selangor. Antara sebab kenapa hutan itu kerap diceroboh adalah lokasinya berdekatan dengan penempatan manusia, selain memiliki tarikan alam semula jadi termasuk jeram dan air terjun yang cantik.

Penolong Pemelihara Hutan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd. Naeem Abdul Hafiz Mohd. Hafiz berkata, faktor lain adalah hutan tersebut kaya dengan sumber alam semula jadi terutama herba dan kayu-kayan bernilai tinggi.

Menurutnya, pegawai penguatkuasa UPM sering terserempak dengan orang awam yang masuk ke hutan itu secara haram bagi tujuan rekreasi.


Laluan pencerobohan oleh orang awam ke dalam Hutan Simpan Ayer Hitam

“Larangan masuk ke Hutan Simpan Ayer Hitam adalah kerana hutan itu telah digazetkan sebagai Hutan Pengajaran dan Hutan Penyelidikan pada Februari 2008.

“Sesiapa yang ingin memasuki hutan ini perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak dekan Fakulti Hutan UPM. Tetapi apa yang berlaku sekarang, ramai orang awam menceroboh untuk pergi ke kawasan air terjun. Lebih memburukkan keadaan ada dalam kalangan mereka sesat sehingga terpaksa diselamatkan,” katanya kepada Utusan Malaysia Sabtu.

Mengulas lanjut, katanya, kedudukan hutan yang terletak begitu hampir dengan kawasan perumahan dan tidak berpagar menyebabkan hutan berkenaan mudah dimasuki sesiapa sahaja.

Selain itu, katanya, pihak mereka juga ada menerima aduan daripada penduduk sekitar mengenai gangguan haiwan liar dan apabila disiasat, rupa-rupanya penduduk gemar memberi makan kepada binatang liar terbabit, menyebabkannya datang semula bagi mendapatkan makanan.

Dalam masa yang sama, katanya, masalah penambakan tanah oleh kontraktor dan aktiviti mengubah landskap turut menjejaskan ekosistem dan struktur muka bumi hutan simpan itu.

“Kami menerima banyak kes penambakan tanah ke dalam kawasan hutan sejak 2009. Selain itu, ada juga kerja-kerja lencongan air tanpa kebenaran di ‘compartment’ tertentu. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku dan semua pihak harus menghormati hutan ini sebagai hutan simpan,” tambahnya.

Bagi meningkatkan kefahaman penduduk tentang kepentingan hutan berkenaan, pihak UPM pernah mengadakan pertemuan dengan penduduk sekitar dan dalam majlis dialog yang diadakan itu, penduduk dimaklumkan hanya kawasan sepanjang 2.8 kilometer sahaja dibuka untuk aktiviti penduduk.

“Sungguhpun begitu, masalah pencerobohan tetap berlaku sehingga sekarang,” katanya sambil memberitahu pihak UPM tidak mempunyai kuasa untuk menahan mereka dan kes tersebut perlu dilaporkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kesan daripada pencerobohan yang berterusan di Hutan Simpan Ayer Hitam adalah denai (trail) menjadi semakin lebar dan tanah semakin mendap, manakala perbuatan menakik pokok sebagai penanda jalan pula telah melukakan kulit pokok.

“Bila tanah mendap, batu dan akar-akar kayu akan mula menonjol ke permukaan tanah. Tumbuh-tumbuhan tidak dapat hidup kerana kemampatan tanah terlalu tinggi. Aktiviti seperti penggunaan sabun, membuang sampah ke dalam sungai pula menyebabkan air semakin tercemar,” ujarnya.


Blue Lagoon miliki air gred A
Blue Lagoon atau Jeram Pusuh yang terletak beberapa kilometer di dalam Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong sering menjadi sebutan pencinta alam dan pendaki.

Masalahnya, kawasan itu tidak dibenarkan masuk tanpa kebenaran menyebabkan ia umpama satu cabaran buat orang awam terutama pencinta alam memasukinya secara haram.


Blue Lagoon turut dihuni hidupan akuatik seperti ikan dan udang

Utusan Malaysia Sabtu terpanggil untuk menyaksikan sendiri kehebatan dan keunikan Blue Lagoon yang diperkatakan itu. Benarlah kata pepatah, ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri’.

Siapa sangka Hutan Simpan Ayer Hitam yang terletak di tengah-tengah pembangunan dan bandar utama seperti Putrajaya, Cyberjaya, Petaling Jaya dan Shah Alam menyimpan satu khazanah yang sungguh cantik dan unik dengan tahap kejernihan dan kualiti air gred A.

Menurut Penolong Pemelihara Hutan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd. Naeem Abdul Hafiz Mohd. Hafiz, nama asal Blue Lagoon iaitu Jeram Pusuh diberi oleh Orang Asli daripada suku Temuan yang pernah tinggal di kawasan itu, sebelum dipindah keluar ke Perkampungan Orang Asli Saujana Puchong pada 1996.

“Pusuh bermaksud isi perut. Kisahnya melibatkan sepasang suami isteri daripada suku Temuan. Suatu hari, si suami pergi memancing di jeram itu dan mata kailnya tersangkut. Dia yang tidak tahu berenang terus terjun ke dalam jeram dan selepas itu, tidak timbul-timbul.

“Setelah dua minggu hilang tanpa khabar berita, si isteri bermimpikan suaminya meminta dia ke jeram itu. Setibanya di sana, hanya barang-barang si suami ditemukan, namun jasadnya tidak kelihatan. Ada orang bercerita, mereka melihat benda timbul seperti isi perut termasuk organ dan usus di jeram tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, setakat ini, sebanyak empat kes kematian pernah dilaporkan dan paling terakhir kira-kira 23 tahun lalu sebelum hutan simpan itu diamanahkan kepada Fakulti Perhutanan UPM pada 1996.

Tambah Mohd. Naeem, setiap tahun penyelidik dari Fakulti Perhutanan UPM melakukan pemantauan terhadap tahap kualiti air di Blue Lagoon dan penyelidikan itu telah dijalankan sejak tahun 2009.

“Air di Blue Lagoon memang sangat bersih. Boleh dikatakan lebih bersih daripada air yang dirawat syarikat konsesi bekalan air. Air ini sangat istimewa kerana sumber air adalah dari hutan ini sendiri.

“Bila hujan, air akan ditakung oleh akar tumbuhan dan tanah. Kemudian air itu dilepaskan secara berperingkat ke kawasan sungai dan membentuk jeram. Air ini sangat bersih sehinggakan boleh diminum begitu sahaja,” katanya.

Berikutan itu, katanya, orang awam yang berhajat untuk mandi di Blue Lagoon perlu mendapat kebenaran khas atau permit daripada pihaknya terlebih dahulu.

“Kawasan ini adalah tempat penyelidikan, pendidikan dan pengembangan bagi pelajar UPM. Saya harap semua pihak menghormati alam dan hutan kita dengan tidak menceroboh sewenang-wenangnya,” katanya.


Hutan simpan semakin mengecil

Sayang seribu kali sayang, satu-satunya hutan pamah yang masih wujud di tengah kawasan segi tiga emas antara Kuala Lumpur, Shah Alam dan Putrajaya kini tinggal satu perempat sahaja, manakala selebihnya telah digunakan untuk tujuan pembangunan.

Pensyarah Bidang Remote-Sensing Gunaan dan GIS, Fakulti Perhutanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd. Hasmadi Ismail berkata, Hutan Simpan Ayer Hitam di Selangor merupakan ‘paru-paru’ yang menapis dan membekalkan oksigen kepada penduduk sekitar Lembah Klang.



Mohd. Hasmadi Ismail

“Hutan ini keluasan asalnya adalah 4,270.7 hektar dan telah diwartakan sebagai hutan simpan tertutup pada 1906. Tetapi keluasannya telah berkurang kepada 1,176.1 hektar pada masa ini akibat kepesatan pembangunan dan perindustrian di kawasan sekitarnya.

“Lokasinya yang terletak di kawasan pembangunan pesat menjadikan ‘pulau hutan’ ini sebagai satu-satunya hutan pamah yang berfungsi sebagai agen pemprosesan karbon dioksida dan membekalkan sumber oksigen kepada kawasan sekitarnya di Lembah Klang,” katanya ketika ditemui di Fakulti Perhutanan UPM baru-baru ini.

Menurut beliau, pihaknya bimbang jika kawasan hutan tersebut tidak dijaga dan dibiarkan diteroka untuk sebarang aktiviti pembangunan masa depan, ia akan membawa kepada masalah perubahan iklim dan cuaca yang lebih teruk kelak.

Katanya, ekosistem hutan tropika mengandungi jumlah biojisim yang banyak serta memainkan peranan penting dalam penyerapan karbon dan mengatur perubahan cuaca. Isu perubahan iklim menjadi agenda utama pada masa ini dan mendapat perhatian seluruh masyarakat kerana peranan pentingnya sebagai pengitar kepada karbon dunia.

“Pada tahun 2008 terdapat 70 peratus peningkatan kesan rumah hijau antara tahun 1970 hingga 2004. Karbon dioksida adalah penyumbang terbesar iaitu sebanyak 80 peratus setahun. Hutan tropika berfungsi sebagai tempat pengumpulan karbon dioksida dan pengawalan iklim global.

“Maka ia merupakan sinki karbon yang utama kepada ekosistem walaupun hanya meliputi lebih kurang 15 peratus daripada luas permukaan dunia. Secara umumnya hutan tropika yang matang mampu menyimpan kira-kira 56 peratus karbon di dalam bentuk biojisim dan 32 peratus di dalam tanah hutan,” katanya.

Tambah Mohd. Hasmadi, Hutan Simpan Ayer Keroh sangat penting kepada komuniti setempat dalam memastikan keseimbangan suhu dan iklim di kawasan sekitarnya terutama sekali kerana kedudukannya di tengah antara bandar-bandar besar dan kawasan perindustrian.

“Saya tak dapat bayangkan jika hutan ini tiada atau merosot kualitinya, cuba fikirkan sekiranya di tempat kita sudah tidak ada pusat penyimpanan karbon dan ia dilepaskan terus ke atmosfera oleh aktiviti manusia, kenderaan dan kilang-kilang, sudah tentu memberi kesan kepada kualiti udara dan suhu sekitarnya.

“Oleh itu, kerajaan perlu melihat hutan ini sebagai satu aset yang perlu dijaga rapi dan dalam masa sama, masyarakat juga harus mengetahui nilai tambah yang terdapat dalam hutan simpan sebagai warisan untuk masa hadapan. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengorbankan apa yang kita ada sekarang agar tidak menyesal di kemudian hari,” katanya.

Latest Month

June 2019
S M T W T F S
      1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
30      

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow