kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Identiti bahasa Melayu mesti dikekal, dipelihara

KEDUDUKAN bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 yang dijelaskan dalam Fasal 1:

Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen.

Pemaktuban bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan diperkukuhkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dengan keterangan dalam Seksyen 2 yang memperuntukkan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.

Penggunaan bahasa kebangsaan bagi maksud rasmi adalah keterangan yang sangat jelas terhadap penggunaan bahasa kebangsaan terhadap apa-apa yang disebut sebagai 'kebangsaan' atau nasional yang merujuk kepada perkara rasmi berkaitan dengan negara Malaysia.

Festival Filem Malaysia (FFM) yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) membawa aspirasi kebangsaan, secara jelas menetapkan ciri-ciri kebangsaan yang menetapkan 70 peratus penggunaan bahasa Melayu sebagai filem kebangsaan.

Maka, pemisahan kategori Filem Terbaik dan Filem Terbaik bukan dalam bahasa Malaysia adalah tepat. Selepas Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada 1971, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan diberi tanggungjawab baharu yang bebas daripada tanggungjawab asal sebagai agensi mengatur program dan aktiviti kesenian kelab belia semata-mata.

Tujuan baharu kementerian ditetapkan 'untuk membentuk dan memelihara satu kebudayaan kebangsaan berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau ini, satu masyarakat belia bersatu padu, berdisiplin dan bergerak maju dalam ekonomi dan sosial dan satu semangat kesukanan demi perpaduan kaum untuk negara' (Aziz Deraman 2000:77).

Pelihara budaya kebangsaan

Pelbagai agensi ditubuhkan di bawah kementerian selepas itu (juga kemudian bertukar pelbagai nama) dengan matlamat 'untuk membentuk dan memelihara satu kebudayaan kebangsaan,' yakni penekanan terhadap pemupukan keperibadian kebangsaan dengan ciri paling asas ialah penggunaan medium bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu.

FINAS antara agensi ditubuhkan pada awal 1970-an bertepatan dengan aspirasi dan membawa matlamat membentuk dan memelihara kebudayaan kebangsaan. Ia asas utama kepada matlamat penubuhan FINAS, selain matlamat lain memajukan industri filem negara.

FFM-28 memunculkan dua kategori Filem Terbaik iaitu Filem Terbaik dilihat sebagai terkandung ciri-ciri kebangsaan (terutama bahasa) dan Filem Terbaik Bukan Bahasa Malaysia yang boleh dilihat sebagai filem menggunakan bahasa sukuan.

Lloyd Fernando (19973:164-166) dalam pernyataan beliau terhadap sastera kebangsaan menjelaskan apa yang disebut sebagai bahasa sukuan.

Fernando menegaskan kesusasteraan ditulis dalam bahasa Malaysia adalah kesusasteraan kebangsaan manakala kesusasteraan ditulis dalam bahasa Cina, Tamil, Inggeris, Iban, Dayak, Kadazan dan sebagainya termasuk golongan kesusasteraan sukuan.

Penjelasan Fernando ini terpakai dalam bidang seni lain dalam konteks pentakrifan penggunaan bahasa kebangsaan dan bahasa sukuan; sekali gus menjelaskan mengenai kategori kebangsaan dan kategori sukuan.

Maka pembahagian kategori dalam FFM-28 ini adalah tepat untuk bezakan antara filem dalam bahasa kebangsaan dan filem dalam bahasa sukuan, sekali gus usaha melaksana dasar memelihara kebudayaan kebangsaan atau apa-apa yang bersifat kebangsaan.

Menurut Hamzah Hussin, filem Melayu pertama diterbitkan ialah Nelayan (1938) dan Laila Majnun (1933 atau 1938).

Dua filem ini diterbitkan oleh Motilal Chemical Company of Bombay di Singapura. Filem Laila Majnun diarahkan oleh B S Rajhans dan dilakonkan oleh Tijah, Syed Ali dan M Suki.

Filem ini dinyatakan sebagai filem Melayu kerana tiada perkara lain selain daripada filem ini menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

Kejayaan filem ini menarik minat Run Run dan Run Me Shaw dari Shanghai dan mula mengeluarkan filem Melayu bermula pada 1937 di sebuah studio kecil di Jalan Ampas.

Apabila Cathay Keris mengeluarkan filem berbahasa Cina pada 1960 di Singapura (Singapura ketika itu sebahagian Malaysia), filem ini diklasifikasikan filem Cina yang jelas memperakukannya filem dalam bahasa sukuan.

Apabila Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, filem dinamakan filem Malaysia merujuk kepada filem yang menggunakan bahasa Melayu.

Maka apabila konsensus Dasar Kebudayaan Kebangsaan dicapai pada 1971, ciri-ciri kebangsaan merujuk kepada penggunaan bahasa Melayu.

Dalam FFM-28, tiada siapa menafikan kehebatan filem Ola Bola, malah filem Jagat serta filem-filem bahasa sukuan lain. Tetapi pada masa sama, tiada siapa juga dapat nafi filem ini tidak menepati konteks penggunaan bahasa kebangsaan secara holistiknya.

Sememangnya filem yang dikatakan menggunakan bahasa kebangsaan jika dilihat secara holistik juga tercemar dengan penggunaan dialek daerah, malah bahasa pasar atau bahasa slanga yang buruk.

Penggunaan dialek daerah

Penggunaan dialek daerah masih di bawah lingkungan 'kebudayaan asal rantau ini' tetapi slanga atau bahasa pasar yang buruk seharusnya tidak melayakkan filem itu dipertandingkan sebagai filem Malaysia (baca kebangsaan).

Kita juga tahu filem mempunyai bahasanya tersendiri disebut sebagai bahasa filem. Ia menyangkuti dengan apa disebut sebagai verisilimitude, iaitu menggambarkan realiti sedekat yang boleh.

Itu menggambarkan realiti masyarakat majmuk Malaysia tidak dapat tidak realiti pertuturan dalam pelbagai bahasa perlu digambarkan.

Tetapi konsep verisilimitude ini perlu dilihat secara kontekstual. Dalam beberapa hal realiti negatif serta bertentangan dengan aspirasi pembentukan nilai kebangsaan perlu dinilai kembali.

Akhir sekali merenung tulisan Fernando yang mengutip Teilhard de Chardin dalam merenung keanekaragaman manusia menyatakan setiap kebudayaan yang dikenali adalah seperti seurat benang, dan semuanya berkembang begitu rupa sehingga suatu hari nanti, semuanya akan berubah.

Tetapi, walau apa pun perubahannya, sifat kebangsaan sesebuah kebudayaan itu haruslah kekal dipelihara - paling khusus identiti bahasa. S M Zakir Berita Harian Kolumnis Ahad, 14 Ogos 2016 @ 8:07 AM
Tags: bahasa, budaya, melayu
Subscribe

Posts from This Journal “bahasa” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments