SABAN hari, ada sahaja orang menulis dalam Facebook dengan cara berkongsi pautan sesuatu berita, kemudian membuat ulasan sendiri. Pasti ramai menjawab ulasan di dinding Facebook manakala berpuluh-puluh lagi menekan butang LIKE atau imoji mulut terlopong dan sebagainya.
Inilah teknik untuk menyatakan pendapat peribadi masing-masing. Lagi bisa, lagi ramai LIKE. Lagi ramai SHARE. Lagi ramai minta jadi sahabat Facebook. Ini definisi populariti zaman Facebook ini. Sama jugalah dengan Instagram, dan mungkin Twitter terhad sikit disebabkan had perkataan yang ditetapkan.
Pendapat yang diutarakan itu pula ada pelbagai kriteria.Pertama: Hal diri sendiri semata-mata iaitu sarat dengan selfie, gambar makanan dan lokasi. Golongan ini tidak berbahaya selagi mereka tidak bermain Pokemon Go.
Kedua: Hal semasa negara. Individu ini akan mencari apa sahaja berita semasa yang kemudian diletak pada dinding Facebook, dan dibidas seteruk-teruknya. Jika ada yang mengemukakan hujah balas dalam pernyataannya, orang itu nescaya tidak lagi jadi sahabat kerana dianggap tidak sepintar dirinya.
Ketiga: Kaki provokasi. Musim bola, dia siram minyak terhadap semua pasukan. Siapa menjawab provokasi, mesti kena belasah. Bukankah adat bersukan, mesti ada penyorak. Sesiapa boleh 'cucuk’ dengan mengacah penyokong lain tetapi ia hendaklah dua hala. Yang menyucuk kenalah bersedia dicucuk balik. Kalau tidak boleh, tolong tutup Facebook anda.
Secara umumnya, kriteria kedua adalah paling berbahaya berbanding dua lagi yang disebut di atas. Ini kerana walaupun orang akan menyanjungnya sebagai 'berani bersuara’, akan ada juga yang melihatnya sebagai berat sebelah (walaupun berulang kali dia menafikan sedemikian) kerana bila ada hujah membalas, ia tidak diendah malah penulisnya disumpah seranah. Hujah dirinya sendiri sahaja betul. Dan lagi, orang lain tidak berhak bersuara dalam dinding Facebook miliknya. Bebaslah sangat!
Ini belum lagi menyentuh soal kesahihan maklumat. Dia petik pautan portal berita berwibawa, itu tidak mengapa. Ini petik mana-mana blog yang kandungannya dicuri dari laman web rasmi atau 'melanun' artikel orang lain, diolah semula dan diketengahkan benda yang sensasi semata-mata. Sebarkan berita dengan cara di atas memang pantas dapat sejuta LIKE.
Perlakuan orang kurang pandai ini, mengingatkan kepada satu artikel berkaitan kaji selidik saintifik berkenaan tiga jenis kebodohan manusia, yang setiap satunya dirumuskan sebagai lebih teruk daripada yang lain.
Sepasukan penyelidik dari University of Budapest pada tahun lalu telah mengumpul sampel 180 kisah daripada blog dan forum, serta menemu bual 150 orang mengenai 'apa sebenarnya yang ditaktrifkan sebagai kebodohan’.
Hasil daripada kajian itu, kata jurucakapnya, Profesor Balazs Aczel, sebanyak tiga jenis kebodohan dirumuskan iaitu 'keangkuhan dalam keyakinan’; 'otak kosong’ dan 'ketiadaan kawalan’.
Angkuh dalam keyakinan ialah bila seseorang memikirkan mereka boleh melakukan sesuatu sedangkan tidak memiliki kemampuan, ketahanan atau kekuatan untuk melakukanya. Kaji selidik ini mendapati ciri di atas adalah tahap tertinggi kebodohan.
Misalnya dalam pemilihan jawatankuasa persatuan, semua ahli sepakat untuk memberi laluan kepada orang baharu. Masa pemilihan, seorang daripadanya melanggar kesepakatan demi mengejar jawatan pengerusi tetapi AJK baharu tidak sehaluan dengannya. Dalam istilah lain, ini disebut 'bodoh sombong’.
Otak kosong ialah ketiadaan deria praktikal disebabkan orang ini tidak memberi perhatian atau tidak peduli apa yang berlaku di sekelilingnya. Sama ada dia berpura-pura tidak tahu, orang yang memandang pasti sudah melabelnya sebagai tidak pandai.
Misalnya, sekolah sentiasa berdepan masalah ketiadaan bekalan air. Ibu bapa jadi hairan bila guru memesan anak-anak membawa air untuk wuduk. Apakah ibu bapa atau guru atau PIBG yang'`otak kosong’ membiarkan isu air terus berlarutan?
Ketiadaan kawalan diri ialah situasi seseorang yang tidak boleh ditolong walau bagaimana kita kasihan dan mahu menolongnya. Individu ini tahu mereka harus berbuat sesuatu tetapi tidak terbuat-buat.
Profesor Aczel memberi contoh: “Orang yang membatalkan rancangan keluar bersama rakan-rakan semata-mata untuk membolehkannya terus bermain permainan video di rumah’’.
Bagaimanapun beliau memiliki satu lagi pandangan iaitu perkara paling bodoh seseorang boleh lakukan ialah menjangka diri mereka boleh melakukan semua perkara yang mereka mahukan atau terlebih yakin.
"Ia memberitahu kita bahawa anda tidak perlu memiliki IQ rendah untuk bergelar tidak pandai. Di mata orang, melakukan sesuatu di luar kemampuan adalah tindakan bodoh,’’ ujar beliau.
Rumusan ringkas penyelidik University of Budapest tersebut adalah jika seseorang mahu mengelak kelihatan bodoh, jangan terlebih melampau yakin atau merasa diri sudah cukup besar.
"Perkara paling teruk seseorang boleh lakukan ialah bertindak yakin tetapi masih tidak rasional. Itu bodoh namanya,’’ kata Profesor Aczel.
* Hasil kajian saintifik University of Budapest