kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kadar cukai negara perlu seimbang

PADA 21 Oktober nanti, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka membentangkan Bajet 2017 di Parlimen. Antara isu penting yang akan disentuh ialah mengenai dasar percukaian negara.

Rakyat pasti ternanti-nanti pengumuman mengenai cukai apakah yang akan turun dan yang mana pula naik. Ketika kos sara hidup semakin meningkat, isu cukai pasti mendapat perhatian. Kadar cukai dikenakan, sama ada cukai pendapatan, cukai korporat, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mahupun lain-lain bentuk, semuanya menyumbang kepada kos sara hidup rakyat.

Jika kadar GST diturunkan, kos sara hidup akan berkurangan. Jika kadar cukai pendapatan dikurangkan, maka pendapatan boleh guna rakyat akan meningkat, lantas membantu mengurangkan bebanan sara hidup.

Dalam menentukan kadar cukai, tentu kerajaan mengambil kira pelbagai faktor. Sebagai kerajaan, pembuat dasar tidak boleh sewenang-wenangnya menjanjikan penurunan itu dan ini seperti dilakukan sesetengah pihak. Kajian perlu dilakukan dahulu untuk pastikan bajet dibentang adalah berhemah.

Antara prinsip ekonomi penting untuk diambil kira ialah teori dipanggil 'Keluk Laffer'.

Teori ini dinamakan sempena Arthur Laffer, pakar ekonomi Barat, tetapi ia telah dibincangkan oleh ahli falsafah Islam ulung, Ibnu Khaldun, sejak kurun ke-14 lagi.

Teori 'Keluk Laffer' mengatakan, jika kerajaan ingin meningkatkan pendapatan negara daripada percukaian, kadar cukai dikenakan mestilah tidak terlalu rendah dan tidak terlalu tinggi. Jika kadarnya rendah, pastilah pendapatan negara juga rendah.

Tetapi penting untuk kita sedar bahawa jika kadarnya terlalu tinggi, maka pendapatan negara menjadi rendah juga. Kadar cukai tinggi tidak semestinya menghasilkan pendapatan negara yang tinggi.

Apabila kadar cukai melebihi tahap optimum dan menjadi terlalu tinggi, maka rakyat akan cari jalan untuk lari daripada bayar cukai.

Kaji perubahan pola sikap

Kesan begini paling mudah dilihat jika kita kaji perubahan pola sikap rakyat kepada barang yang dikenakan cukai tinggi, contohnya barangan berasaskan tembakau kerana kesannya agak mudah dilihat.

Kerajaan kita berniat baik untuk didik rakyat agar kurang merokok, atau berhenti terus daripada merokok dengan mengenakan cukai tinggi. Dasar itu menyebabkan kini, untuk setiap kotak rokok yang dibeli, kerajaan kutip hampir RM10 dalam bentuk cukai.

Kenaikan cukai dibuat berterusan dan kadang-kala tanpa pengumuman awal. Contohnya, pada November tahun lalu, kadar cukai rokok dinaikkan 40 peratus secara tiba-tiba.

Namun, bilangan perokok tidak pula jatuh dalam kadar sama. Ini menunjukkan niat baik tidak semestinya jamin lahirnya dasar percukaian berkesan.

Sebaliknya, industri rokok haram pula semakin bermaharajalela. Harga terlalu tinggi menyebabkan perokok mencari cara lain mendapatkan rokok murah.

Maka, mereka beli dari pasaran gelap yang semakin subur apabila cukai berterusan dinaikkan. Ini dipanggil sebagai 'kesan luar jangka' kerana lain yang diidamkan oleh pembuat dasar, lain pula kesan terhasil.

Niat asal ialah membantu rakyat berhenti merokok tetapi kesannya ialah penjenayah pasaran gelap gembira. Industri rokok haram mendatangkan mudarat kepada negara.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pasaran gelap rokok menjangkau 600 bilion batang setahun. Jika mereka menjual sebatang dengan harga 50 sen, maka nilai industri ini mencecah RM300 bilion.

Ini lebih tinggi daripada perbelanjaan seluruh negara sepanjang setahun. Bayangkan kegembiraan sindiket pasaran gelap apabila cukai dinaikkan kerana kekayaan mereka akan meningkat.

Jika saya menjadi mereka, sudah pasti saya akan berusaha melobi kerajaan menaikkan cukai rokok lagi. Ketika ini kira-kira 50 peratus rokok di Malaysia datang dari pasaran gelap.

Kerajaan hilang hampir RM624 juta hasil cukai disebabkan industri rokok haram. Itu belum lagi termasuk kos perkhidmatan kesihatan yang diberikan kerana kandungan rokok yang tidak dapat dipantau dengan betul.

Ada pembaca mungkin tersalah fokus kerana saya pilih rokok sebagai contoh. Saya guna contoh ini kerana kesannya mudah dilihat. Hakikatnya, jika dasar cukai yang salah digunakan ke atas apa-apa barangan atau perkhidmatan sekalipun, maka impak negatif tetap ada. Ini bertepatan dengan teori 'Keluk Laffer'.

Apabila kadar cukai terlalu tinggi, pendapatan kerajaan sebenarnya akan berkurangan dan kesan luar jangka akan berlaku. Untuk memastikan pembaca tidak tersalah faham maksud penulisan ini, maka wajar untuk kita meluaskan skop perbincangan kepada barangan lain.

Ada cadangan yang pernah disuarakan agar cukai dikenakan ke atas minuman berkarbonat dan juga produk bergula. Sekali lagi, impaknya mungkin sama. Industri penyeludupan baharu mungkin bertapak pula.

Ekonomi negara terkesan

Begitu juga jika cukai korporat dijadikan tinggi. Akibatnya nanti syarikat baharu tidak akan didaftarkan di Malaysia dan pelabur tidak akan datang.

Maka bukan sahaja negara tidak dapat hasil cukai dimahukan, ekonomi negara juga mungkin terkesan. Kesan yang sama akan berlaku jika cukai pendapatan terlalu tinggi.

Mereka yang kaya akan hanya berpindah ke negara lain yang cukainya rendah. Mereka mampu berbuat demikian. Tetapi golongan majoriti pertengahan akan terperangkap. Dan pendapatan kerajaan tetap tidak meningkat.

Ringkasnya dalam menentukan Bajet 2017 dan seterusnya, dasar percukaian tidak boleh dipandang remeh. Kesannya besar kepada negara dan rakyat, dan ini menuntut analisis terperinci sebelum perubahan dasar dilakukan.

Perbadanan Produktiviti Malaysia memperkenalkan konsep 'Analisis Kesan Peraturan' (Regulatory Impact Assessment - RIA) sebagai satu langkah yang perlu dilaksanakan sebelum sebarang peraturan diperkenalkan oleh kerajaan. Ini satu langkah yang amat baik dan elemen RIA juga perlu digunakan dalam menilai dasar percukaian.
Tags: cukai, ekonomi
Subscribe

Posts from This Journal “ekonomi” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments