kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Nama asalnya Pulau Dinding

SEBUT Pulau Dinding, mungkin tidak ramai mengenali namanya. Namun, jika ditanya mengenai Pulau Pangkor, sudah tentu ramai yang tahu lokasi pusat peranginan dan tumpuan pelancongan itu. Pulau Pangkor atau Pulau Dinding adalah lokasi yang sama.

Pulau itu pada asalnya dinamakan Pulau Dinding. Tidak diketahui bila berubah nama, namun terdapat pelbagai versi mengenai asal-usulnya.

Salah satu versinya adalah pulau itu dinamakan sempena nama seorang penghulu berketurunan Cina iaitu Pang Kor.

Versi lain pula mengaitkannya dengan tiang layar yang patah dalam bahasa Cina. Pada zaman dahulu, pedagang dari China telah belayar ke merata dunia. Pelayaran yang mengambil masa lama itu turut dilakukan sehingga ke pulau berkenaan.


Keadaan Kota Belanda sebelum dibaik pulih

Semasa perjalanan menuju ke pulau itu, ribut dan ombak besar melanda lalu menyebabkan tiang layar patah. Tiang dalam bahasa Cina adalah Pang, manakala Kor pula bermaksud patah. Hasil gabungan perkataan itu, pulau berkenaan dinamakan Pulau Pangkor.

Begitu juga dengan Kota Belanda. Gudang yang disebut Kota Belanda adalah gelaran yang diberi oleh orang Melayu.

Pada asalnya, monumen lama atau tapak tinggalan sejarah itu dinamakan Kota Dinding, merujuk kepada rekod terdahulu sempena nama Sungai Dinding di pantai barat Semenanjung dalam negeri Perak.

Menurut Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Mohd. Samsudin, kota itu dibina penjajah Belanda untuk dijadikan gudang penyimpanan bijih timah.

Justeru, kota itu merupakan antara peninggalan bersejarah yang mempunyai perkaitan dengan tujuan kedatangan Belanda ke Tanah Melayu.

Pada abad ke-17, kekayaan bijih timah di Perak mendapat perhatian banyak pihak, sekali gus menarik kedatangan pedagang dari Aceh, China, India dan British termasuk Belanda serta negeri sekitar Selat Melaka.

“Setelah berjaya menundukkan Portugis di Melaka pada 1641, Syarikat Hindia Timur Belanda (SHTB) mula mengatur langkah untuk menguasai perdagangan di Selat Melaka dengan memonopoli pengeluaran bijih timah di Perak.

“Apabila SHTB berjaya memonopoli perdagangan bijih timah di Perak, Belanda mendirikan loji pada 1651 untuk menyimpan sumber berkenaan.

“Namun loji itu dimusnahkan para pembesar Perak yang menentang dasar kuasa monopoli Belanda,” katanya.

Belanda kemudian membina sebuah gudang yang disebut sebagai kota di Pulau Pangkor pada 1670 dengan bahan binaannya daripada kayu.

Kota Belanda

Pada tahun 1680, gudang tersebut diganti dengan binaan batu-bata. Tindakan Belanda memperkukuhkan gudang itu telah menimbulkan reaksi dalam kalangan orang Melayu.

Mohd. berkata, pada 1690, sekumpulan orang Melayu yang dipimpin Panglima Kulup telah menyerang kota berkenaan dan membunuh orang Belanda, menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan lokasi tersebut.

“Rancangan perdagangan yang dilaksanakan menerusi dasar itu telah menyebabkan permusuhan berlaku di antara Belanda dan orang Melayu.

“Kemelut yang melanda di negeri itu sekali gus mencetuskan konflik pada abad ke-17 sehinggalah pengunduran Belanda pada penghujung abad ke-18.

Belanda bagaimanapun kembali pada akhir 1745 bagi memperbaiki kota itu dan mendudukinya semula.



Pemandangan Pulau Pangkor

Pada 1748 pula, Belanda telah membina sebuah gudang berhampiran Sungai Perak yang dikenali sebagai Pengkalan Halban Tanjung Putus.

Apabila siap dibina, pemerintah Belanda di Betawi mengarahkan supaya kota di Pulau Pangkor ditinggalkan memandangkan perbelanjaan mengurusnya tidak berbaloi.

Selepas mengalami kerosakan akibat tiada penjagaan, pihak Muzium Negara telah mengambil langkah memulihkan kota berkenaan pada 1973.

Dalam pada itu, terdapat kisah menarik di sebalik kewujudan Kota Belanda. Salah satunya menyatakan terdapat harta karun tersimpan atau tertanam di bawah tanah kota tersebut.

Menurut Aspalela Abdullah, 50, meskipun ada usaha dilakukan segelintir pihak untuk mencarinya, namun tidak ada seorang pun berjaya menemuinya.

“Kalau kita naik ke atas kota itu, ada lubang seakan-akan telaga yang di dalamnya dipercayai terdapat pelbagai barang purba, pinggan mangkuk dan emas.

“Namun tiada seorang pun dapat mengambilnya kerana tempat itu dikatakan agak keras dan mempunyai penunggu.

“Pernah ada individu dari Siam cuba korek lubang itu tetapi tidak berjaya kerana terdapat ‘halangan’,” katanya.

Batu Bersurat

Selain itu, katanya, sebuah gua di bukit dekat belakang kota berkenaan juga dipercayai menyimpan barangan purba yang berharga.

Mohd. Yusof Yahaya pula berkata, terdapat dakwaan mengenai kewujudan terowong yang menghubungkan Kota Belanda dan pantai Pasir Bogak.

“Setakat hari ini, tidak ada seorang pun berjaya menemukan terowong itu. Apatah lagi lubang yang dikatakan menjadi pintu masuk terowong telah ditutup dan dipasang besi penghadang oleh pihak muzium.

“Laluan keluar terowong dikatakan berada di pantai Pasir Bogak, namun sudah tertutup dan tertanam dengan batuan besar akibat hakisan,” katanya.

Selain itu, penduduk mendakwa terdapat peristiwa mistik dan aneh pernah berlaku.

Menurut Mohd. Yusof , ada penduduk bermimpikan tentang harta karun yang didakwa masih tersimpan di gudang tersebut.

“Ada yang bermimpi melihat harta karun itu keluar dan ‘bergerak’ di lokasi itu dan ada juga bermimpi menemukan harta karun tersebut, namun, ketika hendak mengambilnya, tiba-tiba harta itu tenggelam,” katanya.

Tags: sejarah, warisan
Subscribe

Posts from This Journal “warisan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments