kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Gian seperti ketagih dadah, Nomofobia jadikan pengguna hamba gajet

Nomofobia jadikan pengguna hamba gajet

TELEFON pintar mahupun gajet lain seperti tablet kini sudah menjadi satu keperluan manusia di seluruh dunia.

Tidak boleh hidup tanpa telefon bimbit. Itulah perasaan setiap manusia sekiranya tertinggal alat itu di rumah atau kehilangannya.


Masyarakat hari ini semakin kurang berinteraksi disebabkan taksub terhadap gajet terutama telefon pintar. – GAMBAR HIASAN

Perasaan resah dan gelisah melanda. Kini, ramai yang sudah tidak boleh hidup tanpa telefon bimbit. Tidak hairan jika perasaan itu seolah-olah boleh disifatkan sebagai satu bentuk ketagihan baharu yang melanda, bukan sahaja masyarakat Malaysia tetapi juga secara global.

Nomofobia iaitu satu perasaan takut untuk hidup tanpa telefon atau gajet lain boleh bertukar menjadi masalah kesihatan yang serius jika tidak ditangani segera.

Tidak keterlaluan jika dikatakan nomofobia ini telah menjadikan seseorang itu ‘hamba’ kepada isi kandungan yang boleh dinikmati dari kewujudan gajet-gajet ini.

Walaupun penggunaan pelbagai jenis gajet ini memudahkan kehidupan dalam era teknologi canggih hari ini, ia juga sebenarnya mampu menjadikan hidup manusia kucar-kacir.

Apabila kita menghabiskan sebahagian besar masa seharian dengan menghadap telefon sama ada melayan media sosial atau memeriksa mesej secara berulang kali tanpa henti, itu sebenarnya satu tanda kita perlu berwaspada.

Menurut Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Jamiah Manap, secara purata masyarakat Malaysia menghabiskan masa purata dua jam sehari melayan gajet.

Katanya, antara kandungan yang menjadi pilihan termasuk internet, media sosial dan jaringan sosial, permainan video dan paling buruk, melihat pornografi.

Menurutnya, sifat gajet yang menarik, dinamik, mudah dicapai dan digunakan di mana-mana sahaja serta multifungsi menyebabkan seseorang itu tertarik dengan penggunaannya.

“Bagi kanak-kanak dan remaja, peranan ibu bapa dan persekitaran juga memainkan peranan penting. Ini kerana apabila orang sekeliling menggunakan gajet, secara automatik akan mencetuskan minat anak-anak kecil untuk turut menggunakan atau memiliki gajet,” katanya.

Sementara itu, menurut data yang dikeluarkan melalui Laporan Persona Pengguna Telefon Pintar oleh platform data pintar terkemuka bagi pemasaran dan perniagaan mudah alih, Vserv pada Januari lalu, mendapati secara purata rakyat Malaysia menghabiskan kira-kira tiga jam sehari untuk melayan telefon pintar masing-masing.

Kadar pengguna telefon pintar di negara ini pula semakin meningkat dan dijangka mencecah 11 juta pada penghujung tahun ini. Menurut laporan itu, peningkatan itu dicetuskan oleh pengguna daripada golongan umur 30-an yang mewakili 64 peratus, jumlah pengguna keseluruhan.

Walaupun perkembangan itu memberi impak positif kepada industri telekomunikasi dan lain-lain, namun masyarakat juga terkesan daripadanya terutama golongan remaja dan kanak-kanak.


Gian seperti ketagih dadah

KEMURUNGAN, keresahan, insomnia dan gejala ketagihan merupakan antara kesan yang boleh berlaku akibat penggunaan skrin gajet yang berlebihan atau berterusan.

Perkara itu diakui Pakar Perunding Psikiatri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr.Normala Ibrahim (gambar) yang berkata, dalam keadaan lebih teruk, kesan itu juga akan menyebabkan seseorang mengalami gejala penyakit mental yang kronik.

“Dalam sesetengah kes, orang dewasa yang terlalu obses dengan gajet ini boleh mengalami gejala yang hampir sama seperti dialami individu yang ketagihan dadah. Ia seperti berasa gian jika berhenti menggunakan gajet. Mereka juga cepat marah dan sukar tidur,” katanya kepada S2.

Normala berkata, kajian beberapa pihak juga menunjukkan terdapat hubung kait antara masalah ketagihan gajet dengan penyakit mental seperti gangguan obsesif kompusif (OCD) bagi dewasa dan autisme serta gangguan hiperaktif dan kurang tumpuan (ADHD) pada kanak-kanak.

Perasaan gian yang terjadi terhadap individu ketagihan gajet pula berlaku apabila bahagian otak yang mengawal tingkah laku keseronokan diaktifkan, sekali gus meningkatkan penghasilan bahan kimia di dalam otak, dikenali ‘dopamine’ di samping bahan kimia lain.

“Penghasilan bahan kimia ini menyebabkan seseorang berasa lebih seronok dan mahu mendapatkan perasaan itu dengan lebih lagi. Jadi, itu yang menyebabkan seseorang itu menggunakan secara berterusan kerana wujud perasaan mahu mengekalkan rasa seronok atau meningkatkan perasaan tersebut,” katanya.

Katanya, terdapat perbezaan ketagihan yang berlaku antara golongan kanak-kanak, remaja dan dewasa dalam soal penggunaan gajet. Menurutnya, remaja lebih cenderung menerima kesan seperti kemurungan, kurang keyakinan diri, mengalami krisis identiti dan hilang tumpuan dalam pembelajaran.

Sementara bagi kanak-kanak, masalah yang sering dihadapi pula adalah melibatkan perubahan tingkah laku yang ketara serta menerima kesan fizikal terutama pada pertumbuhan dan perkembangan tumbesaran.

“Bagi dewasa, mereka mungkin mengalami gejala kemurungan, resah serta lebih cenderung bersendirian. Ada juga yang cepat marah, insomnia dan dalam keadaan teruk, gian yang tidak dapat dikawal,” katanya.

Tags: ict
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments