kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Cara mudah kawal anak , Kanak-kanak jadi tidak keruan

Kanak-kanak jadi tidak keruan

KESAN penggunaan gajet secara keterlaluan dapat dilihat secara jelas terhadap perkembangan serta fizikal kanak-kanak terutama jika terdedah seawal usia bawah tiga tahun termasuk ciri-ciri seolah-olah autisme.
Perkara itu diakui oleh Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Dr. Putri Afzan Maria Zulkifli yang berkata, terdapat beberapa kes yang pernah dikendalikannya menunjukkan kanak-kanak begitu mudah menerima kesan buruk akibat penggunaan gajet secara berlebihan dan tanpa kawalan ibu bapa melebihi satu jam sehari.

Katanya, dalam satu kes yang ditemui, seorang kanak-kanak berusia empat tahun berlari tidak keruan di pusat perkembangan milik beliau, Pusat Perkembangan Kanak-Kanak Kinderkaizen, seolah-olah berlaku ganguan hiperaktif dan kurang tumpuan (ADHD) akibat pendedahan skrin melebihi empat jam sehari.


Penggunaan tablet dalam kalangan kanak-kanak perlu dikawal oleh ibu bapa.

“Kali pertama bertemu dengan kanak-kanak lelaki itu, bukan mudah untuk melakukan interaksi bertentangan mata. Saya lihat dia agak obses dengan benda bulat seperti bola, selain mengalami masalah lewat bercakap.

“Walaupun kelihatan seperti aktif keterlaluan, namun dia mempunyai skil mengawal dan menendang bola yang cekap.

“Saya bertanyakan kepada ibu bapa dan juga pengasuhnya, apa aktiviti harian anak ini di rumah pengasuh. Mereka memberitahu saya kebanyakan masa, pengasuh sibuk dengan kerja-kerja rumah, jadi anak ini banyak menonton televisyen sepanjang di rumah pengasuh,” katanya.

Sebaik sahaja mengetahui kemungkinan punca kepada perkembangan yang lewat dari segi percakapan dan tingkah laku tadi, Putri Afzan bersetuju untuk menerima kehadiran anak tadi ke pusat beliau yang menggalakkan konsep ‘bermain sambil belajar’ mengikut minat mereka.

Melalui pemerhatian, Putri Afzan berkata, ramai kanak-kanak yang ditemuinya mengalami masalah perkembangan yang lewat, tidak selari dengan usia mereka, antaranya seperti pertuturan, lukisan dan cara memegang gunting.

“Ada kanak-kanak berusia enam tahun tetapi pertuturannya seperti kanak-kanak berusia dua tahun. Dia masih menggunakan dua patah perkataan, selain sebutan yang belum jelas. Ada juga yang bercakap seperti skrip kartun apabila kita cuba berinteraksi. Itu adalah antara kesan daripada penggunaan gajet yang keterlaluan.

“Realitinya, ramai ibu bapa berbangga apabila anak hebat ‘menggodek’ gajet. Malah ada berpendapat anak akan dapat belajar Bahasa Inggeris melalui YouTube tetapi itu hanyalah proses meniru apa yang dilihat tanpa ada kaitan dengan perkembangan kognitif,” katanya.

Ada pula kes yang dihadapi Putri Afzan di mana seorang kanak-kanak mengalami ‘sensory-deprived’ atau terlalu sensitif terhadap bunyi yang kuat dan tidak ada perasaan sakit apabila terjatuh dan berlanggar dengan objek atau kawan.

Menurutnya, itu berlaku kerana perkembangan deria anak terbabit terbantut akibat kurang dirangsang sewaktu berusia empat tahun pertama.

Putri Afzan berkata, bagi kanak-kanak di bawah usia enam tahun, proses merawat dan memulihkan masalah yang dihadapi kesan daripada penggunaan gajet mempunyai harapan positif.

Namun, jika terlewat, ibu bapa perlu menanggung akibat dan kos yang tinggi untuk membawa mereka mendapatkan rawatan kerana pada usia melebihi enam tahun, keadaan akan menjadi sukar untuk memulihkan mereka.


Cara mudah kawal anak

GAJET canggih seperti tablet pelbagai jenama yang muncul pada era ini nampaknya lebih membawa kesan tidak baik kepada kanak-kanak.

Tanpa disedari kesan tersebut akan hanya dilihat dalam jangka masa panjang.

Menurut penulis blog keibubapaan, Adlil Rajiah Mohd. Nasir,28, terdapat cara mudah bagaimana ibu bapa dapat mengawal anak-anak daripada menjadi obses terhadap tablet mahupun telefon pintar.

“Jangan mengecas bateri tablet sehingga penuh kerana secara tidak langsung ini dapat mengehadkan penggunaan tablet.

“Jadi secara automatik, ini akan melatih anak-anak menggunakan tablet dalam tempoh masa yang dibenarkan sahaja,” katanya di dalam blog http://saatkukaupilih.blogspot.my.

Katanya, tip mudah lain termasuk tidak mengajar anak-anak memasukkan kata kunci pada tablet atau telefon yang membolehkan mereka membuka sendiri gajet itu tanpa pengawasan ibu bapa.

Menurutnya, tindakan itu sebenarnya memberikan anak-anak ‘kuasa’ untuk mengawal gajet tersebut dan perkara itu sebenarnya permulaan kepada kebinasaan otak dan pemikiran serta sikap mereka.

“Seperkara lagi, pastikan mereka tahu dan faham bahawa gajet itu bukan kepunyaan mereka, sebaliknya milik ibu bapa mereka.Jangan sesekali katakan bahawa tablet itu milik mereka. Ini akan membuatkan ibu bapa hilang kuasa,” katanya.

Katanya, tablet sebaliknya boleh digunakan sebagai alat ganjaran apabila anak-anak mencapai sesuatu yang positif. Jadi, mereka akan merasa bermotivasi untuk terus fokus terhadap apa yang diminta ibu bapa.

“Sekiranya anak sudah di tahap ketagih gajet, ibu bapa boleh mengalihkan perhatian mereka dengan segera seperti mengajak mereka melakukan aktiviti lain, misalnya bermain masak-masak atau lain-lain,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa juga perlu mempunyai kesepakatan dalam menetapkan peraturan penggunaan gajet untuk anak-anak. Selain itu, mereka juga perlu sentiasa berinteraksi ketika mengawasi anak-anak melayan gajet.

Yang paling penting, kata Adlil Rajiah, ibu bapa sendiri perlu menunjukkan contoh teladan yang baik terhadap anak-anak.

“Mengadu anak ketagih gajet tetapi kita sendiri, ‘handphone’ tidak pernah lekang dari tangan. Mengadu anak tidur lewat sebab layan ipad, tetapi kita sendiri layan internet sampai terlelap,” katanya.

-
Tags: ict
Subscribe

Posts from This Journal “ict” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments