kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

NBOS Kejayaan Malaysia

Strategi bagi mempereratkan kerjasama dan juga jalinan perhubungan baik serta mesra antara pelbagai kementerian, jabatan serta agensi jelas membawa impak positif kepada rakyat serta negara. Aplikasi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) adalah penghidupan teori kepada aplikasi yang boleh Malaysia kemukakan sebagai model khusus menerusi produk-produk dilaksanakan kerajaan yang jelas berkualiti kejayaannya. Kesepaduan dan semangat kerjasama yang di cetuskan menerusi NBOS jelas memperbaiki elemen kebekuan birokrasi bagi membuka laluan kerjasama pelbagai kelompok dan bidang melibatkan khidmat awam dan antara masyarakat.

Malaysia dengan pengamalan strategi lautan biru jelas menunjukkan sifat kerajaan yang diplomasi dan anti konfrantasi. Ini adalah semangat damai dan diplomasi baik diamalkan kepimpinan Malaysia. Meneroka inovasi dan idea baru menjadi satu prinsip kerajaan yang jelas terpapar menerusi NBOS yang dijadikan agenda nasional.

Impak positif yang dialami menerusi cetusan pelaksanaan strategi kerjasama dan hubungan baik sesama jabatan kerajaan yang dirangka dibawah NBOS, merupakan satu strategi yang bukan sahaja hasilnya dinilai berasaskan wang dan penjimatannya, lebih utama ia membawa nilai bahawa ‘kerajaan adalah satu’ dan ini bersesuai dengan gagasan 1Malaysia yang dijana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

NBOS menonjolkan nilai ‘kerajaan adalah satu’ atau ‘1kerajaan’ kerana ia berjaya membawa kerjasama kementerian dan jabatan yang selama ini hanya beroperasi atas konsep bersendiri mengikut batas sempadan kuasa yang terpisah antara jabatan.

Aplikasi NBOS oleh kerajaan telah berjaya menunjukkan bahawa semua jabatan kerajaan mampu berpadu dan dapat dijalinkan supaya komited untuk bekerjasama dari segi kakitangan serta kewangan termasuk guna sama infrastruktur yang ada. Kini tidak perlu infrastruktur berasaskan pengasingan atas kapasiti berbeza kementerian dan jabatan, aplikasi NBOS membawa dimensi semua kemudahan kerajaan walau berbeza kementerian dan jabatan mampu diguna sama.

Konsep pengasingan hak telah dievolusikan kepada aplimasi tulen “hak kerajaan” yang dilabelkan di semua aset kerajaan dapat disatukan kepenggunaannya. Ini dapat meningkatkan kefahaman dalam kalangan pegawai kerajaan bahawa mereka perlu erat dan bersatu demi mengoptimumkan kepenggunaan dana dan infrastruktur kerajaan secara bersama. Cetusan idea perdana menteri ini, yang dilaksanakan sejak 2009, telah mendapat perhatian antarabangsa. Penjimatan dana negara sebanyak RM3.5 bilion secara strategiknya adalah usaha mengoptimumkan nilai untuk setiap wang yang dibelanjakan perkhidmatan awam.

Rasional

Penegasan Najib supaya dogma setiap kementerian harus ‘melindungi kawasan masing-masing perlu diubah adalah cabaran terbesar dalam melaksanakan NBOS. Perubahan yang cuba dilaksanakan idealisme Najib jelas mahu menjadikan NBOS sebagai platform strategi bagi menyatukan kelompok tonggak utama pentadbir awam bagi membina rangkaian yang bersatu untuk perkhidmatan lebih baik dan efisyen kepada rakyat.

Produk utama di era kepimpinan Najib menerusi NBOS paling berpengaruh dan menonjol impak kerjasama antara kementerian melalui penubuhan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC). Ia memberikan impak terhadap sistem penyampaian yang cepat dan menyeluruh langsung kepada rakyat dengan lebih berkesan.

Tema utama pelaksanaan NBOS secara strategiknya adalah membina hubungan perkhidmatan yang lebih optimum melangkaui batas konvensional khidmat awam sedia ada. Peluasan jangka waktu urusan hingga ke sebelah malam menjadikan ia nilai tambah realistik keperluan rakyat kini.

Komitmen Najib dan Malaysia dalam meneruskan strategi mengoptimumkan kemudahan dan khidmat awam dijana menerusi NBOS ditunjukkan dengan penganjuran Sidang Kemuncak Strategi Lautan Biru di PICC yang dihadiri ketua dan pemimpin negara sahabat Malaysia. Pengantarabangsaan aplikasi strategi lautan biru yang diamalkan Malaysia menerusi persidangan kemuncak disertai pemimpin dan peserta dari pelbagai negara jelas memberikan isyarat bahawa Malaysia yakin dan komited meneruskan produk-produk NBOS ini bagi dinikmati rakyat Malaysia.

Ia bukanlah bagi tontonan dunia, tetapi adalah satu paparan kejayaan formula Malaysia yang khusus mengenai strategi pemantapan khidmat kerajaan kepada rakyat. Ini mampu melonjakkan keyakinan dan prestij Malaysia di peringkat antarabangsa. Pencapaian yang berkesan dilaksanakan terhadap 90 program menerusi NBOS termasuk dengan penubuhan UTC, RTC serta mewujudkan kerjasama dan guna sama yang erat antara pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kerjasama PDRM dan ATM yang secara jelas berbeza kementerian juga menunjukkan bahawa pasukan keselamatan negara mampu menerima perubahan secara rasional selain mewujudkan jalinan ‘silaturrahim’ yang lebih akrab. Sudah semestinya kedua-dua entiti polis dan tentera yang merupakan tunggak keselamatan dan pertahanan negara seharusnya bersepadu dari segi kerjasama bagi memudahkan koordinasi.

Aplikasi NBOS dan komitmen menjayakan sasaran yang ditetapkan jelas telah membawa semangat kesatuan kepimpinan dan anggota pasukan keselamatan, malahan ia juga menyatukan jabatan-jabatan di dalam satu premis khusus bagi keperluan masyarakat. Inilah inovasi dan aplikasi yang telah memanfaatkan lebih 35.3 juta pengguna. Bahkan kejayaan aplikasi strategi NBOS ‘memurnikan’ kembali penjenayah telah juga menunjukkan kejayaan. Menerusi NBOS, Malaysia berjaya mengaplikasikan model program pemulihan dalam komuniti terhadap banduan, di mana pemisahan antara penjenayah kecil dan penjenayah tegar telah menunjukkan kejayaan positif.

Rekod menunjukkan bahawa menerusi konsep ini, berbanding di California, Amerika Syarikat yang menunjukkan 60 peratus banduan kembali ke ‘pangkuan jenayah’, Malaysia menerusi aplikasi NBOS menunjukkan kejayaan yang sangat baik apabila hanya empat daripada 1,000 banduan menerusi proses pemulihan yang dilaksanakan kembali kepada kehidupan penjenayah. Angka ini menunjukkan Malaysia berjaya mengatasi prestasi negara maju. dengan aplikasi NBOS.

Malaysia jelas terdedah dengan inovasi baru dan bersedia menerima perubahan gaya pentadbiran yang dicetuskan pemimpin utama kerajaan. Gaya pemikiran perdana menteri jelas membawa banyak perubahan kepada Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang berkeupayaan tinggi terhadap nilai kemajuan.

Perubahan dilaksanakan kerajaan Najib menerusi aplikasi NBOS juga mampu menyedarkan rakyat termasuk dunia akademik bahawa teori mampu digerakkan sebagai aplikasi yang positif manfaatnya kepada masyarakat, jika wujud kesungguhan kepimpinan kerajaan yang mampu menilai ilmu sebagai teras kemajuan masyarakat.

Di Malaysia kesedaran mengoptimumkan penggunaan dana kerajaan dan pada masa sama tidak mengganggu penyampaian perkhidmatan awam menyebabkan kerajaan prihatin terhadap sebarang idea dan ilmu kepengurusan yang mampu membawa kesan positif pada negara dan rakyat. Mengantarabangsakan NBOS membawa mesej kepada dunia bahawa Malaysia memiliki pemimpin utama negara yang peka dengan ilmu dan kepentingan aplikasinya. - Md Shukri Shuib Utusan Malaysia Rencana 21 Ogos 2016 6:03 PM

Tags: transformasi
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments