kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Diburu kerana dedah cerita benar

KATA pepatah Inggeris, mangsa pertama dalam peperangan adalah kebenaran, dan mangsa kedua adalah pembawa berita yang benar.

Dalam perjuangan memenangi hati dan fikiran rakyat, wartawan kadang kala berhadapan dengan banyak risiko untuk mendapatkan berita yang benar dan dalam proses ini, ramai yang cedera, ada yang mati.

Dalam konflik empat minggu di Iraq dahulu, 15 wakil media terbunuh dan dua hilang. Ada yang mati dalam kemalangan, tetapi kebanyakan mati di medan perang.

Bahkan ada masa, lebih ramai wakil media mati, berbanding askar.

Ini sangat mengecewakan, sedangkan di bawah Persidangan Geneva, wartawan diberi perlindungan. Ia bermakna membunuh wartawan adalah satu jenayah perang.

Pada 1990-an, 94 wakil media terbunuh dalam peperangan di Yugoslavia, 60 mati dalam Perang Vietnam dan di Kambodia.

Untuk menjamin keselamatan wartawan, satu sistem dilancarkan, di mana wartawan diletakkan di bawah unit tentera.Kira-kira 700 wartawan di seluruh dunia menyertainya.

Kebebasan media sangat penting untuk menjamin masyarakat yang seimbang dan adil dan kritikal terhadap peranan kerajaan dan mereka yang berkuasa.

Wartawan melaporkan berita dan siasat fakta dan bertanggungjawab melaporkan secara objektif kepada dunia.

Tetapi apa jadi apabila wartawan tidak dapat lakukan tugas mereka, kerana disumbat ke penjara?

Ini dibuat untuk terus menyembunyikan rahsia dan salah guna kuasa.

Penggiat media memberitahu, serangan ke atas wartawan semakin ganas.

Pihak pemantau yang bergelar Wartawan Tanpa Sempadan mendapati kes culik wartawan turut melonjak pada 2014 dengan 119 wartawan diculik.

Saya menyebut kes-kes pembunuhan dan penculikan wartawan ini bagi menggambarkan betapa beratnya risiko ditanggung wartawan di seluruh dunia, hingga ramai yang mati, cedera atau hilang.

Menyedari sumbangan, cabaran dan pengorbanan hebat mereka yang sanggup menggadai nyawa untuk menegakkan kebenaran,  maka cabaran yang saya sendiri hadapi dalam tempoh lebih empat dekad berkecimpung dalam dunia kewartawanan itu jadi terlalu kecil untuk dibuat perbandingan.

Sebab itu saya rasa sangat segan apabila dalam siri ceramah atau sesi penerangan, saya ditanya peserta apakah cabaran saya yang paling besar atau yang paling tidak dapat saya lupakan sejak menceburi dunia kewartawanan 43 tahun lalu.

Cabaran saya, kalau ada pun, hanya sekadar sedikit kesusahan, ancaman dan ugutan kecil yang datang daripada mereka yang rasa tergugat atau tidak gemar dengan laporan saya. Tiada lebih daripada itu.

Cerita bagaimana saya ‘ditinggalkan’ di Masjid Nabawi, Madinah, oleh jet peribadi Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika beliau menjadi perdana menteri, yang membawa rombongan 36 orang kira-kira 20 tahun lalu umpamanya, bukan satu cabaran pun.

Ia sudah menjadi cerita lucu yang diulang berkali-kali dalam kalangan rakan-rakan wartawan yang bersama saya dalam lawatan ke Saudi Arabia itu.

Pernah saya dipandang serong apabila memberanikan diri bertanya perkara yang dianggap sensitif kepada orang-orang besar, kerana soalan-soalan seperti itu barangkali mencabar imej dan kedudukan mereka.

Saya sedar bahawa penulisan, lebih-lebih lagi pendedahan yang saya lakukan beberapa kali dalam kerjaya kewartawanan saya menimbulkan kemarahan pihak berkaitan kerana soalan-soalan saya itu jelas kena batang hidung mereka sendiri.

Ada juga pendedahan yang saya lakukan membuat saya ‘diburu’ pihak berkaitan yang tidak senang dengan laporan itu dan mahu mendapatkan sumber berita dan bukti.

Setakat hari ini alhamdulillah, saya selamat, tidak pernah diheret ke mahkamah, disaman atau diserang secara fisikal.

Saya pernah dihantar membuat liputan di beberapa negara yang berada dalam kancah peperangan seperti Yaman, Iraq dan Lebanon beberapa tahun lalu.

Di negara-negara ini, saya berkesempatan menyaksikan kesan daripada peperangan - kemusnahan bangunan dan bandar akibat bom dan tembakan, keadaan rakyat yang hidup sengsara dan terhimpit, ekonomi yang menjunam, sektor pelancongan yang  terjejas, tetapi syukur saya balik dengan selamat.

Saya sedar negara saya juga ada masalah, termasuk rasuah, tetapi di sini masih aman. Ramai yang mati dan cedera, bukan akibat peperangan, tetapi kemalangan jalan raya.

Benarlah kata orang tua-tua kita: Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi negeri sendiri.

Tags: news, truth
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments