kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Lukut simpan peristiwa berdarah, Misteri kehilangan istana

Misteri kehilangan istana

RAJA terakhir memerintah sebagai wakil kepada Sultan Selangor di Lukut adalah Raja Bot atau nama sebenarnya Raja Muhammad Saleh, anak kepada Raja Jumaat yang dilahirkan di Lukut pada Disember 1847.

Ketika pemerintahan Raja Jumaat, kestabilan politik dan ekonomi di Kota Lukut adalah sangat baik, malah beliau bijak menjalinkan hubungan dengan Melaka yang ketika itu diperintah oleh Belanda.



RAJA BOT (duduk tengah) bergambar bersama ahli keluarganya sekitar 1912, kira-kira 32 tahun selepas penyerahan Lukut kepada Sungei Ujong.

Namun, kewibawaan kepimpinannya tidak diwarisi. Kejatuhan Kota Lukut bermula apabila pewarisnya, Raja Bot mengambil alih wila­yah itu dan berhadapan dengan pelbagai masalah seperti tun­tutan kawasan oleh Sungei Ujong.

Selain itu, aktiviti perlombongan mula berkurangan apabila kadar pengeluaran bijih timah semakin merosot. Di tambah pula dengan masalah pergaduhan antara kaum dan pertelingkahan pemimpin dalaman.

MAKAM Raja Busu dan keluarganya terletak di Kampung Kuala Lukut, Chuah.

Justeru, Lukut akhirnya diserahkan kepada Sungei Ujong (Negeri Sembilan) dalam satu perjanjian yang ditandatangani di Singapura.

Dalam catatan di Muzium Lukut, Raja Bot dikatakan mengambil alih pemerintahan pada 1865. Kemudian beliau dilantik menjadi Penghulu Sungai Buloh pada 1887.

Ketua Muzium Lukut, Peterson Augustine menimbulkan persoalan kehilangan istana di Kota Lukut berdasarkan jarak masa sekarang dengan pemerintahan Raja Bot.

Beliau berkata, sehingga hari ini, pihak muzium masih tertanya-tanya ke mana hilangnya istana Kota Lukut, sedangkan jarak masa dengan sekarang tidak sampai beratus tahun.

“Mengikut kajian, Kota Lukut ditemui berdasarkan struktur binaan di atas bukit Gajah Mati yang dibina seperti sebuah kubu perang.

“Saya pun buntu memikirkan jarak masanya tidak terlalu lama, tetapi yang dijumpai dalam eskavasi pada 1940 hanyalah tapak tiang dan serpihan seperti peralatan dalam rumah.

“Memang pelik, sedangkan bangunan yang lebih lama dibina Belanda dan British masih wujud hingga ke hari ini, tetapi istana Kota Lukut ghaib!” ujarnya.


Lukut simpan peristiwa berdarah

APABILA bercerita tentang sejarah kemasyhuran Kesultanan Selangor, pasti sebahagian besar daripada kisah tersebut menyentuh kehebatan Lukut suatu ketika dahulu.

Menyingkap sejarah awal Lukut yang bermula awal kurun ke-19, daerah tersebut dibuka oleh kerabat diraja Selangor, Raja Busu.



AKTIVITI perlombongan bijih timah di Lukut dahulu menarik perhatian pelombong Cina untuk melombong di sana.

Sebelum diletakkan di bawah daerah Port Dickson selepas nama Sungei Ujong ditukar kepada Negeri Sembilan, Lukut dibuka kerana potensi hasil buminya yang menjadi tumpuan ramai pelombong bijih timah.

Dalam catatan jurnal Sejarah Lukut tulisan Zulkapli Othman dan Mohd Khalid Yasin, Lukut dahulu merupakan sebahagian daripada wilayah Selangor.

Sewaktu pemerintahan Raja Busu, Lukut telah menyaksikan sebuah peristiwa yang tidak boleh dilupakan apabila istananya dibakar akibat rasa tidak puas hati terhadap pentadbirannya.

Menurut Ketua Kampung Lukut, Mohamad Shukor, Kota Lukut adalah tempat pentadbiran berbeza dengan Lukut, namun kedua-duanya terletak dalam wilayah sama.

“Wilayah yang sama tetapi sejarahnya berbeza. Lukut dibuka oleh Raja Busu, manakala Kota Lukut pula diasaskan Raja Jumaat Raja Jaafar.



LUKUT menyimpan sejarah penting, namun ia kini semakin dilupakan.

“Sebagai pembuka wilayah Lukut, Raja Busu telah membawa masuk ramai pelombong Cina. Tetapi, beliau telah membuat pelombong Cina marah kerana menaikkan cukai.

“Mungkin kerana kerancakan industri perlombongan, beliau terdorong untuk menaikkan cukai sebanyak 10 peratus. Namun keputusan tersebut telah menyebabkan kemarahan mereka,” katanya kepada S2.

Selepas itu, tambah beliau, keadaan menjadi lebih buruk apabila kemarahan pelombong membuak-buak sehingga sanggup membuat kacau dan membakar istana Raja Busu.

“Kisah ini boleh dikatakan seperti rusuhan kaum. Lebih kurang 300 hingga 400 pelombong berarak ke istana Raja Busu, namun beliau tidak mahu berjumpa dengan mereka malah menyatakan tidak takut mati.

“Berang dengan tindakan Raja Busu, mereka telah membakar istananya. Dalam peristiwa itu, Raja Busu bersama keluarga telah dibunuh. Makam Raja Busu dan keluarganya ada dekat Kampung Kuala Lukut di Chuah, Negeri Sembilan.

TAPAK di atas bukit Gajah Mati ini dikatakan terletaknya Kota Lukut dan istana pemerintah Lukut yang hilang.

“Pengikut setia yang berang selepas mendengar peristiwa tersebut telah bertindak membalas dendam terhadap pelombong sehingga mereka melarikan diri ke Melaka,” ujarnya.

Beberapa tahun selepas peristwa tersebut, Raja Jumaat yang juga menantu kepada Sultan Selangor ketiga iaitu Sultan Muhammad telah membuka Kota Lukut dan mengembalikan kegemilangan ekonomi serta politik di sana.

Tags: sejarah, warisan
Subscribe

Posts from This Journal “warisan” Tag

  • Sejarah nama Rio Fermoso, Portugis di Batu Pahat?

    Rio Fermoso, Portugis di Batu Pahat? PERSOALAN mula timbul mengenai Batu Pahat yang sebelum ini terkenal dengan jolokan sejarah telaganya…

  • Nama asalnya Pulau Dinding

    SEBUT Pulau Dinding, mungkin tidak ramai mengenali namanya. Namun, jika ditanya mengenai Pulau Pangkor, sudah tentu ramai yang tahu lokasi pusat…

  • Melayu-Bali kekal tradisi

    SIAPA sangka Bali yang terkenal sebagai pulau peranginan di Indonesia dengan majoriti penduduknya
 beragama Hindu rupa-rupanya mempunyai sebuah…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments