kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mendepani cabaran perubahan sosial , Jiwa merdeka jiwa orang bersyukur

Jiwa merdeka jiwa orang bersyukur

TIDAK ada seorang manusia yang waras mahu diri­nya dibelenggu. Tidak ada negara yang dijajah tidak mahu merdeka. Malaysia yang pernah dijajah lebih 400 tahun silih berganti oleh kuasa besar mencapai kemerdekaannya pada 1957.

Memerdekakan negara ini dari penjajah dan anasir ­komunis adalah suatu perjuangan dan pengorbanan. Membangun jiwa merdeka bagi mengisi kemerdekaan tidak mudah. Melakukan pengisian sebagai negara maju dan berdaulat dalam masyarakat berbilang kaum lebih mencabar lagi dan menuntut kebijaksanaan.

Selama 59 tahun kemerdekaan berjalan berbagai cabaran dilalui tetapi Malaysia masih tegak berdiri sebagai negara yang sedang membangun dan mengalami trans­formasi dalam banyak bidang. Ini menimbulkan iri hati dalam kalangan kelompok yang berkepentingan dan kelompok luar negara yang bersubahat untuk menjadikan Malaysia kucar-kacir.

Kelompok yang berkepentingan dalam negara sedang berusaha memecahbelahkan perpaduan orang Melayu sedangkan zaman mereka memerintah dulu perpaduan Melayu menjadi keutamaan. Sudah berdekad orang Melayu dididik supaya mencurigai pembangkang kerana mereka mempunyai agenda tersendiri yang sifatnya melampau dan tidak patriotik.

Kini kelompok ini cuba disantuni dengan maksud ber­gabung menjatuhkan pemimpin dan kerajaan sedia ada melalui konspirasi sedangkan proses demokrasi dibenarkan untuk menukar kerajaan setiap lima tahun sekali.

Jiwa merdeka yang terbina sekian lama adalah jiwa ­patriotik yang menyebabkan kesyukuran terhadap kemajuan dan kedamaian Malaysia terjadi. Kini semacam ada kocakan yang menyebabkan kesetiaan kepada negara ini berbelah-bahagi dan kecenderungan ke arah perpecahan semakin nyata.

Sekiranya masyarakat Malaysia khususnya orang Me­layu tidak bersyukur dengan pencapaian yang ada, berkat perjuangan akan hilang. Memang manusia tidak akan puas dengan apa yang ada tetapi kemerdekaan seharus­nya merintis jalan ke arah kesyukuran yang tinggi kerana ­kemerdekaan telah meletakkan Malaysia membangun dan maju walaupun kelemahan tetap ada untuk diperbaiki bersama.

Wujud jurang generasi antara orang lama dengan ­generasi baru dan semakin gentingnya kesinambungan supaya yang lama menjadi mata rantai kepada perubahan. Yang baru tidak boleh mendakwa bahawa mereka mem­punyai gagasan yang jauh lebih maju. Proses penyantunan perlu terjadi supaya yang lama adalah cerminan yang baru supaya wujud sinergi yang lebih bermakna dalam pem­bangunan negara.

Jangan berlagak menggigit jari pihak yang memberi ­kerana bila sikap begini diambil tunggulah masa bila ­generasi muda mengambil alih pengurusan negara, generasi akan datang bakal mempersoalkan kepimpinan yang ada dan tidak menyumbang ke arah transformasi yang lebih baik. Giliran itu akan sampai sekiranya kita tidak bersyukur dengan apa yang ada dan bertekad untuk memperbaikinya secara positif.

Jiwa kesyukuran bertitik tolak dari kejernihan hati. Sekiranya hati bersifat benci dan dendam apa pun kebaikan yang terjadi akan dilabel sebagai zalim dan tidak Islamik. Inilah pendekatan gopoh yang akhirnya membawa konflik sesama umat Islam walaupun Islam tidak mengajar sifat sedemikian.

Islam mendidik kita mengukuhkan ukhuwah atau persaudaraan. Jika berlaku perselisihan muzakarahlah dengan bijaksana supaya tidak timbul ego menyatakan aku benar dan orang lain semuanya salah. Itu tanda orang tidak bersyukur dan ini bukan jiwa orang merdeka.

Kita tidak mahu apa yang berlaku di Syria, Iraq, Libya, Bahrin dan Mesir terjadi di Malaysia lebih-lebih lagi umat Islam sedang berdepan dengan ancaman Daesh. Jangan ­biarkan diri kita terjebak dan diperalatkan untuk kepen­tingan pihak ketiga yang bertekad menghancurkan Islam dan sejarah tamadunnya. Justeru kemerdekaan yang ada harus dipertahankan dengan rasa syukur yang tinggi.

Dari Jendela Tok Ki Utusan Malaysia Rencana  30 Ogos 2016 6:15 PM

Mendepani cabaran perubahan sosial

STRUKTUR sosial masya­rakat Malaysia banyak mengalami perubahan ekoran pemodenan sistem sosial, politik, pendidikan dan dinamika ekonomi global. Sorotan sejarah pada awal kemerdekaan negara menunjukkan kerencaman struktur masyarakat.

Kepelbagaian dalam sistem persekolahan awal merdeka um­pamanya adalah bukti kepada kepelbagaian tersebut. Aspirasi perjuangan politik sama ada yang berkiblatkan Barat atau Timur telah diterjemahkan dalam kurikulum persekolahan. Perkara sedemikian adalah cabaran kepada pemimpin negara.

Penyelarasan kurikulum ­beraspirasikan kebangsaan telah menimbulkan pelbagai reaksi. ­Usaha menjadikan kiblat pendidikan sehala dan bercitra kebangsaan telah memberi kesan kepada sikap dan pendirian penduduk di Tanah Melayu. Keterbatasan dalam perkara sedemikian turut disambut pula dengan pelbagai isu asas berkaitan keselamatan negara dan kesihatan rakyat masih belum selesai. Maka, kehidupan masyarakat dan pendidikan pada awal kemerdekaan berada dalam transisi yang rencam. Permasalahan ini turut didepani oleh negara serantau rentetan daripada dasar menamatkan penjajahan oleh negara maju.

Natijahnya, pelbagai usaha penyusunan semula ekonomi negara dilakukan agar sejajar dengan kekuatan rakyat. Idea baru dan program berskala besar telah menuntut kepada perubahan sosial dalam kalangan masyarakat. Tuntutan kepada pekerja separa mahir dan profesional menjadikan institusi pendidikan dan latihan kian relevan dan penting.

Rancangan pembangunan jang­ka panjang negara juga membuahkan pelbagai aktiviti sosio-ekonomi yang turut mencabar kelaziman rakyat yang menuntut kepada anjakan ke­peribadian dan kompetensi kenegaraan bagi setiap rak­yat. Ini kerana kemerdekaan negara telah meletakkan harapan tinggi kepada setiap anggota masyarakat untuk terlibat langsung dalam ­aktiviti pembangunan negara, yakni bukan sekadar menjadi pekerja upahan sebaliknya menuntut kepada kemahiran pengurusan dalam ­segenap sektor.

Dalam usaha meramal keperluan kepada perubahan sosio-ekonomi, pengaruh ideologi gerakan politik dunia sering diberi perhatian. Memastikan kesetiaan penduduk pasca merdeka telah memberi cabaran kepada perancangan pentadbiran negara. Struktur sosial warisan penjajah yang berasaskan etnik rupa-rupanya berubah dengan drastik. Elemen-elemen berkaitan sentimen perkauman dan rasa ragu-ragu terbukti mudah mengubah sikap masyarakat terhadap negara.

Tragedi 13 Mei 1969 yang menjadi bukti ketidakstabilan hubungan kaum memberi mesej penting kepada kepimpinan politik negara perihal kebijaksanaan meramal dan kepintaran ‘membaca’ perubahan masa depan. Ternyata perubahan yang sistematik menerusi pelbagai dasar utama kerajaan telah meredakan pertelagahan dan ak­hirnya memberi ruang yang lebih selesa kepada barisan kepimpinan untuk merancang pembangunan negara. Suka ataupun tidak, perubahan sosial masyarakat mempunyai kaitan yang kuat dengan perubahan ekonomi dunia.

Ketidakseimbangan antara ekonomi bandar dan luar bandar telah memunculkan satu lagi kelas sosial yang disebut sebagai masyarakat industri. Malah, geografi kependudukan menunjukkan wujud penempatan pinggir bandar dan kawasan industri. Jus­teru, kewujudan kelas menengah yang dikaitkan dengan kumpulan separa profesional dan profesional telah ditambah pula dengan kumpulan komuniti baru hasil ledakan ekonomi perindustrian.

Wujud kejutan budaya yang memberikan natijah kepada pelbagai bentuk masalah sosial. Muda-mudi luar bandar terdedah kepada budaya baharu; manakala penduduk bandar pula menerima penduduk dari pelosok tanah air. Perubahan sosial sekali lagi berlaku apabila tuntutan pekerjaan melewati nilai tradisional yang menjadikan waktu siang dan malam bukan lagi waktu berehat. Sistem kerja berdasarkan syif menjadikan kehidupan sosial kian berubah.

Struktur keluarga tradisional turut dicabar oleh perubahan ini. Keluarga dwi-kerjaya – yakni kedua-dua ibu dan bapa bekerjaya telah menjadikan kehidupan berkeluarga kini amat jauh berbeza dengan kehidupan berkeluarga 20 tahun lampau. Peranan wanita dalam struktur keluarga tradisional telah berubah. Keluarga pada hari ini menjadi satu unit sosial yang kian kecil kerana bentuk pekerjaan (ibu dan bapa) telah memberi jurang kepada interaksi dengan keluarga besar. Ikatan sosial dalam keluarga besar mula berubah.

Sebaliknya, ikatan sosial mula berputik di kawasan kejiranan, tempat kerja dan sekolah. Nilai-nilai tradisi diancam oleh nilai dan norma baru yang terhasil daripada cara hidup moden yang lebih bersifat praktikal dan fleksibel. Kebergantungan kepada ketua komuniti dalam struktur sosial tradisional turut terpinggir. Maka, keputusan awam yang dibuat lebih bersifat perundangan oleh pihak berkuasa. Memutuskan keperluan komuniti juga mempunyai laluan birokrasi yang lebih formal dan memerlukan tahap pengetahuan yang lebih mendalam. Apatah lagi jika keperluan komuniti berkonflik dengan pelbagai aspek.

Natijahnya, kelemahan ikatan sosial membuka ruang kepada kewujudan nilai dan norma yang bertentangan dengan norma masyarakat. Kelemahan ikatan sosial yang positif akan lebih berbahaya sekiranya ia dipengaruhi oleh gerakan pemikiran ekstremisme menerusi perkaderan ahli secara interaksi maya.

Perjuangan politik dan gerakan militer agresif yang disulami dengan elemen keagamaan sama ada di Asia Barat, selatan Thailand dan pembebasan wilayah autonomi sedikit sebanyak memberi ruang kepada anak muda untuk memikirkan semula tentang pelbagai aspek kenegaraan. Tanpa ilmu yang mendalam, sentimen yang dimainkan dalam dunia maya berupaya mengubah pendirian individu dan masyarakat.

Maka usaha mendepani perubahan ini sama ada untuk mengembangkan potensi modal insan dan modal sosial perlu dilakukan bersungguh-sungguh. Situasi inilah yang meletakkan kepentingan pengajian dan penyelidikan sains sosial kerana memahami masyarakat dan perubahan sosial bukanlah berdasarkan satu bentuk formula khusus. Keupayaan membuat ramalan perubahan sosial di Malaysia membolehkan kita mendepani cabaran dan membuat perancangan yang tepat.

- Dr Mazhan Awang Utusan Malaysia Rencana 30 Ogos 2016 6:05 PM
Tags: jiwa, merdeka, sosial
Subscribe

Posts from This Journal “sosial” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments