kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Keberanian, cita-cita penentu arah tuju negara

KIRA-KIRA 59 tahun lalu, pada tanggal 31 Ogos 1957, Malaysia (Tanah Melayu ketika itu) dan segenap pelosok tanah air ini, bebas daripada cengkaman penjajahan, penindasan, kezaliman, keterbelakangan dan kejumudan.

Saban tahun kita terus diingatkan betapa kemerdekaan Malaysia bukan hadiah manis dan belas kasihan daripada kolonial Inggeris. Ia adalah maruah yang ditebus dengan darah, keringat dan air mata pahlawan serta pendiri bangsa terdahulu.

Mereka benar-benar rela berkorban hanya kerana ingin bangsa ini bebas daripada belenggu penjajah. Pada mereka, mati berdiri dan berjuang jauh lebih mulia daripada terpaksa melihat anak bangsa hidup melutut di bawah telunjuk asing.

Kita tidak akan mampu membayar semua pengorbanan itu dengan sebarang imbuhan sekalipun.

Justeru, setiap tahun kita menyambut hari kemerdekaan untuk mengenang pengorbanan pahlawan dan pendiri bangsa. Melalui sambutan ini, kita berpeluang belajar dan menimba teladan hidup mereka.

Ibarat mercu suar di tepi laut, yang menjadi pedoman bagi semua nelayan, pahlawan adalah penunjuk arah yang jelas bagi kehidupan kita, sekarang dan masa depan yang penuh cabaran dan harapan.

Hari ini, jika anak ditanya, 'mahu jadi apa jika sudah besar nanti?' Hampir semua mereka menjawab, 'mahu jadi doktor, jurutera, juruterbang.'

Tiada yang akan menjawab ingin menjadi pahlawan. Namun, ada benarnya. Pahlawan itu sebetulnya bukan pekerjaan, tetapi panggilan dan seruan, untuk membela bangsa, agama dan negara.

Lalu, inspirasi apakah yang boleh menjadi suri teladan daripada kisah keperwiraan pahlawan ini?

Pertama, kepentingan perlunya memiliki cita-cita yang jelas.

Cita-cita pahlawan dan pendiri bangsa terdahulu hanyalah kemerdekaan Tanah Melayu. Pada mereka, seluruh hati mereka hanya mengenai impian membebaskan ibu pertiwi daripada penjajahan bangsa asing.

Ia bukan sahaja cita-cita besar dan luar biasa, tetapi jelas.

Cita-cita setinggi langit

Pendiri bangsa mengajar kita menggantungkan cita-cita setinggi langit, supaya menjadi inspirasi bekerja lebih keras, sanggup berpanas di bawah terik matahari, rela bekerja sehingga lewat malam.

Malah, ia menjadi inspirasi dan bagaikan panggilan mulia untuk kita melunaskan tugas. Sehingga kita mengerjakannya dengan sepenuh hati dan setulus rasa cinta. Apabila bekerja, ia tidak hanya untuk diri sendiri.

Tetapi juga demi kebaikan bangsa, keluarga dan tetangga.

Kedua, semangat pantang menyerah. Apabila kita memiliki cita-cita yang jelas, cabaran apapun tidak akan menggoyahkan kita. Kita tidak akan menyerah dengan mudah.

Ambillah iktibar pelayaran Christopher Columbus. Setelah berbulan berlayar, anak buah Columbus sudah putus asa. Pulau diimpikan belum juga kelihatan.

Mereka terus mendesak Columbus untuk berpatah balik ke Sepanyol. Tetapi setiap kali didesak, Columbus menjawab, "kita teruskan sedikit lagi."

Akhirnya, apa yang sejarah ceritakan kepada kita? Columbus menemui bukan sekadar sebuah pulau, tetapi benua Amerika. Ini hasil cita-cita besar yang jelas, diikuti semangat pantang menyerah.

Justeru, jangan mudah menyerah. Apabila kita terus tegar menuju cita-cita, insya-Allah, pada satu saat kita akan tiba di tempat tujuan. Sering kali hal itu terjadi pada saat kita hampir berputus asa.

Kejayaan menjelma saat memiliki keberanian

Ketiga, keberanian. Pahlawan dan pendiri bangsa pastilah bukan golongan pengecut. Ramai yang dipenjara, tidak diendahkan, disisih dan gugur.

Tetapi, semua mereka tidak pernah berputus asa. Mereka tidak mahu menempuh jalan mudah dan hidup sebagai penakut. Mereka dengan sedar memilih jalan sulit dan berbahaya. Mereka memilih untuk menempuh jalan yang jarang dilalui.

A road less traveled, kata seorang penyair. Inilah yang perlu kita teladani sebagai generasi penerus bangsa. Cita-cita yang cemerlang sering kali gagal kerana kita tidak memiliki keberanian untuk mencapainya.

Kita takut untuk memulakan langkah. Kita takut mengambil risiko. Kita takut dikritik dan dihakimi. Kita takut gagal. Semua ketakutan itu merantai dan melumpuhkan potensi kita.

Maka, jika kita memiliki keinginan, laksanakanlah. Keberanian memiliki nilainya sendiri. Kejayaan akan menjelma saat kita memiliki keberanian.

Keempat, semangat berkorban. Tiada yang mudah dalam dunia ini. Apapun yang kita lakukan pastinya memerlukan pengorbanan. Bahkan jika kita tidak melakukan apa-apa, kita sebenarnya telah mengorbankan peluang dan kesempatan.

Korban jiwa, raga

Kelima, menjadi bangga sebagai rakyat Malaysia. Jika kita hayati nama pahlawan dan pendiri bangsa, kebanyakannya tidak kita kenali secara peribadi. Tetapi kita rasa dekat dan kasih kepada mereka.

Kita bangga membaca kisah hidup dan keberanian mereka. Pahlawan yang gagah perkasa mengorbankan jiwa dan raga mereka demi tanah air, demi kita generasi penerus.

Selayaknya, pengorbanan ini harus membuatkan kita bangga. Kerana pengorbanan mereka itulah, kita tidak lagi merempat dan terbuang di tanah air sendiri.

Kerana mereka, kita sama-sama memiliki ruang dalam negara bertuah ini. Justeru, kita mesti berbangga mempunyai tanah air Malaysia yang satu-satunya ini.

Selaku generasi hari ini, kita mesti ikut serta menentukan arah ke mana negara ini hendak kita bawa. Jangan hanya berpeluk tubuh melihat dan membiarkan sahaja tangan yang tidak bertanggungjawab merobek serta merosakkan negara ini.

Justeru, dengan berbekalkan cita-cita, keberanian, semangat pantang menyerah dan kemahuan untuk berkorban pada abad ke-21 ini, ayuh kita memaknakan kemerdekaan dan jadikan Malaysia ini rumah terbaik kita.

Negara dan bangsa terbaik untuk semua.
Tags: keberanian, kejayaan
Subscribe

Posts from This Journal “keberanian” Tag

  • Agenda bumiputera Najib

    TUN Razak telah dengan berani melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang isi kandungannya kelihatan memihak kepada bumiputera. Sudah tentu dasar ini…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments