kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Keris jiwa Melayu dan Nusantara, Keris berdiri bukan sebab jin

Keris berdiri bukan sebab jin

ASTI ramai yang terpegun apabila melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana sebilah keris boleh ‘berdiri’ dengan sendirinya. Mungkin ada juga yang menganggap ia berdiri disebabkan terdapat khadam atau jin di dalam keris itu.
Menurut seorang pengamal seni silat, Kamaruddin Yusof, keris yang berdiri menunjukkan senjata itu mempunyai keseimbangan yang unik antara hulu dan matanya.

MENDIRIKAN keris tidak memerlukan seseorang menuntut ilmu khurafat, melainkan fokus dan jiwa yang tenang.

“Keris tidak bangun berdiri dengan sendiri disebabkan ada khadam atau jin yang menjaganya. Bukan itu penyebab keris boleh berdiri sendiri. Sebaliknya, keris dapat ditegakkan kerana hasil pembuatan yang betul dan halus sehingga dapat diseimbangkan dengan cara berdiri,” katanya ketika ditemui S2.

Katanya, bukan sahaja keris, malah parang dan senjata besi yang lain juga dapat ditegakkan sekiranya pembuatannya betul dan tidak mengalami sebarang kecacatan semasa proses tempaan.

“Namun, proses untuk menegakkan keris atau senjata besi itu kadang-kadang ada yang menjadi, kadang-kala tidak menjadi. Ia juga perlukan kemahiran,” katanya.

Mengenai khadam pula, Kamaruddin berkata, keris tidak memiliki kuasa kekebalan hanya disebabkan besi yang ditempa, sebaliknya kelebihan itu disebabkan oleh jin yang dimasukkan ke dalam keris itu.

“Antara barangan yang perlu ada ialah kemenyan, bertih padi, limau nipis dan tujuh jenis bunga. Ada waktu tertentu untuk memasukkan khadam dan perlu mengikut kalendar Islam,” katanya.

Selepas diasapkan dengan kemenyan yang menjadi penghubung untuk memanggil jin, keris tersebut disapu dengan limau nipis dan bunga-bungaan. Kemudian baharulah khadam dipanggil untuk masuk ke dalam keris tersebut.

Katanya, zaman dahulu, perbuatan itu adalah satu keperluan kepada pemilik keris bertujuan menjaga keselamatan termasuk ketika berlawan dengan musuh. Namun pada hari ini, penggunaan keris dan jampi serapah memasukkan jin telah menjadi sesuatu yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar dan menjurus kepada perbuatan khurafat.

Beliau berkata, apabila keris tersebut ‘berisi’, keris itu perlu disimpan di tempat yang berudara seperti menggantung di dinding dan bukan disimpan berbungkus di dalam almari atau tempat yang gelap.


Senjata keramat masyarakat Melayu sejak berkurun lamanya sentiasa dipandang tinggi. -

“Jika keris berkhadam ini ‘dikurung’, keris itu akan lemas. Sebab itulah, kadangkala akan berbunyi atau jatuh dengan sendirinya. Jika tidak dijaga juga, pemilik atau warisnya akan menjadi ‘panas’ serta hidup menjadi tidak aman,” katanya.

Malah, katanya, keris berkhadam ini juga berupaya merasuk ke dalam tubuh manusia kerana tidak dijaga oleh pemilik atau waris. Namun, Kamaruddin berkata, khadam di dalam keris boleh dibuang dengan izin Allah, namun perlu melihat kembali kepada perjanjian antara pemilik terdahulu dengan jin tersebut sewaktu proses memasukkannya ke dalam keris itu dilakukan.


Keris jiwa Melayu dan Nusantara

MATI dihunus keris adalah mati yang menyeksakan.

Hang Jebat mati setelah beberapa hari menahan sakit kerana tusukan keris milik Hang Tuah. Tubuh badannya menjadi semakin lemah dan tidak bermaya, sehingga akhirnya dia menghembuskan nafas terakhir kerana luka tersebut.


Keris bukan hanya sebagai senjata tetapi juga simbol kekuatan Melayu dan Nusantara. -

Ini kerana tikaman daripada sebilah keris tidak akan membunuh secara terus, sebaliknya akan mengambil masa berjam-jam, hari malah sehingga berbulan lamanya sebelum mangsa mengakhiri nyawanya.

Apa yang menjadikan senjata yang lahir dari alam Melayu Nusantara, keris sebagai sebilah besi yang cukup hebat?

Jawapannya, keris bukan sekadar besi. Ia memiliki jiwa dan karakter serta falsafah tersendiri. Daripada proses pembuatannya, sehinggalah kepada pemilikannya, keris lahir dari alam Melayu Nusantara yang memiliki keunikan dan misteri.

Pada mata masyarakat barat, senjata seperti keris memiliki nilai hanya apabila memiliki rupa bentuk dan fizikal yang cantik sahaja.

Namun, bagi dunia Melayu dan Nusantara, keris memiliki harga yang lebih tinggi. Makna sebilah keris bagi dunia Melayu terletak pada pemikiran, falsafah dan nilai kepercayaan yang ada pada ‘karya’ itu.

Justeru, memiliki keris bagi masyarakat di Nusantara bukan hanya memiliki sesuatu yang berfizikal cantik semata-mata. Ia adalah lambang dan simbol ketinggian masyarakat Melayu.

Keris adalah senjata yang menjadi simbol kekuatan orang Melayu dan sebahagian besar masyarakat di Nusantara

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Seni dan Muzik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Drs. Izani Mat Il, pembuatan keris di Nusantara sering dikaitkan dengan kepercayaan, perasaan dan pancaindera masyarakat penggunanya.

“Masyarakat Nusantara zaman dahulu menggunakan perasaan dalam menilai keris. Mereka membezakan berbagai-bagai jenis besi dengan cara mengamati, mendengar bunyinya bila dijentik, dengan merabanya dan menggunakan perasaan hati. Oleh kerana itulah, ilmu besi tradisional ini sukar dipelajari dan sukar juga dibuat catatannya,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Izani berkata, jika dikaji pembuatan keris di Jawa, terdapat 17 bahan logam yang mempunyai ‘khasiat’ tersendiri terhadap pemakainya digunakan dalam proses pembuatan sebilah keris.

Sebagai contoh, Pulasani adalah besi yang mempunyai urat-urat seperti batu, berwarna hijau pekat dan mempunyai bunyi bergema apabila dijentik. Pemakai besi jenis ini dikatakan membawa rezeki dan darjat serta amat baik untuk dijadikan bahan pusaka.

Namun, perkara yang paling penting perlu ada pada sebilah keris adalah sejenis campuran besi yang dipanggil ‘pamor’. Pamor pada keris terhasil semasa proses pembuatan senjata itu. Ia terbentuk daripada perbezaan jenis besi yang digunakan dalam teknik pembuatan mata keris.

Beliau berkata, keris pada zaman dahulu kebiasaannya akan disalut dengan bahan arsenik atau digelar ‘warangan’ dalam bahasa Jawa. Bahan itulah yang akan menyebabkan lawan menderita bagi tempoh lama setelah terkena tusukan atau tikaman keris. Mengikut logik, itu apa yang berlaku pada Hang Jebat.

Tags: melayu
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments