kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Terpaksa buat beberapa kerja sampingan jadi back up

Kerja sampingan jadi back up

MAHU jadikan pekerjaan sampingan sebagai ‘back up’ di kala ketidaktentuan situasi semasa merupakan matlamat utama Raihana Mad, 37, membuat keputusan melakukan lebih daripada satu pekerjaan.

Dia yang bekerja sebagai pengurus projek di salah sebuah syarikat teknologi maklumat mengambil keputusan menjadi ejen menjual produk kesihatan dan menawarkan khidmat ‘Spa’ bergerak secara sambilan kerana memikirkan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Kalau diikutkan gaji bulanan saya dan suami memang mencukupi untuk menanggung segala komitmen bulanan namun, untuk mengecapi kehidupan yang selesa pendapatan asas tidak mencukupi.

Raihana Mad
Bolehlah hidup sekadar cukup makan. Daripada segi perbelanjaan keperluan pula kenalah kawal memandangkan tiada pendapatan sampingan.

“Namun, sejak melakukan pekerjaan sambilan empat tahun lalu, saya sudah nampak memang ada keperluan untuk melakukan kerja lebih daripada satu memandangkan keadaan (ekonomi) sekarang tidak menentu.

“Kita tidak tahu apa akan jadi pada syarikat tempat kita bekerja. Lagi pun syarikat tempat saya bekerja kini tidak stabil. Projek-projek di bawah kerajaan juga semakin berkurangan,” katanya.

Raihana juga dalam perancangan untuk mengukuhkan pekerjaan sambilan yang dilakukannya sekarang bagi membolehkan dia bersedia sekiranya terpaksa berhenti kerja.

“Sebagai ibu kepada tiga orang anak memanglah impian untuk menghabiskan masa bersama anak-anak kerana mereka memerlukan perhatian. Sudah tentu hasrat saya pada masa akan datang nak lebih dekat dengan anak-anak apabila sudah berhenti kerja.

“Namun, sebelum membuat keputusan tersebut, saya perlu pastikan pendapatan menerusi pekerjaan sampingan yang saya lakukan sekarang benar-benar stabil dan mampu menampung kehidupan kelak,” katanya yang turut menjana pendapatan dengan menulis blog.


Terpaksa buat beberapa kerja

DALAM memenuhi cabaran hidup seperti kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi, melakukan kerja lebih daripada satu kini sudah menjadi kelaziman rakyat Malaysia khususnya bagi mereka yang tinggal di bandar-bandar besar.

Justeru, tidak hairanlah ada yang sanggup menghabiskan masa lapang dan cuti untuk mendapatkan sumber pendapatan lain meskipun sudah mempunyai pekerjaan tetap.


WARGA kota cenderung melakukan dua kerja bagi menampung perbelanjaan seharian. – GAMBAR HIASAN

Menurut Profesor Pusat Pengajian Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Rahmah Ismail, kehidupan warga kota pada hari ini semakin mencabar, kesan daripada pelbagai peristiwa yang berlaku sama ada dalam negara mahupun luar negara.

“Memenuhi keperluan harian merupakan tuntutan kehidupan yang penting dan mencabar. Justeru, di dalam menempuh kenaikan kos sara hidup, melakukan kerja lebih daripada satu merupakan kelaziman rakyat.

“Ia bukan sahaja berlaku dalam kalangan mereka yang tiada pekerjaan tetap atau bekerja secara underemployed, malah dalam kalangan mereka yang mempunyai pekerjaan tetap.

“Selain itu, terdapat juga individu yang ingin memaksimumkan kepuasan mereka dalam apa jua aktiviti dilakukan, sepertimana yang dihujahkan dalam teori ekonomi bahawa kehendak seseorang tidak terbatas, tetapi kemampuannya terhad,” katanya.

Memandangkan harga keperluan asas harian di kota lebih tinggi berbanding di desa maka warga kota tidak dapat mengelak daripada berdepan dengan tuntutan perbelanjaan yang tinggi.

“Harga sewa rumah dan pembelian rumah misalnya jauh berlipat ganda lebih mahal di kota. Tambahan pula cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan pada Apil 2015 telah meningkatkan harga barang dan perkhidmatan sebanyak enam peratus.

“Meskipun kesan GST ini dirasai oleh semua pihak sama ada tinggal di kota atau desa, namun kesannya lebih besar di kota memandangkan corak dan keperluan hidup yang berbeza.

“Misalnya daripada sudut penggunaan, kesibukan kerja menyebabkan mereka lebih banyak makan di luar rumah yang kosnya lebih tinggi berbanding dengan memasak di rumah yang banyak dilakukan oleh masyarakat di luar bandar.

“Bagi pasangan yang bekerja mereka perlu menghantar anak-anak mereka ke taman asuhan yang kosnya sangat mahal sementara di desa sokongan keluarga masih kukuh dalam membantu masalah penjagaan anak,” katanya.

Dalam pada itu menurutnya, melakukan lebih satu pekerjaan bukan sahaja berlaku dalam kalangan pekerja bawahan tetapi juga pekerja peringkat tinggi seperti golongan profesional.

“Namun, motif mereka adalah berbeza. Bagi golongan bawahan, mereka inginkan pendapatan bagi menampung keperluan asas harian.

“Bagi mereka yang sudah mempunyai berpendapatan tinggi, tujuannya lebih kepada meningkatkan lagi harta kekayaan, tabungan dan memenuhi keperluan barangan dan perkhidmatan mewah seperti memiliki lebih daripada satu rumah atau melancong ke luar negara,” katanya.

“Ada juga dalam kalangan mereka yang ingin memenuhi masa lapang dengan melakukan perniagaan atas talian walaupun mempunyai pekerja yang hakiki,” katanya.

Katanya, dunia hari ini memerlukan kepada kemahiran ‘multitasking’ untuk lebih berdaya saing dalam pasaran buruh.

“Oleh itu, melakukan lebih daripada satu pekerjaan sudah semestinya memberi peluang individu mendapat kemahiran yang pelbagai dan memudahkan mereka mendapatkan pekerjaan pada masa akan datang.

“Pengalaman kerja merupakan modal manusia yang paling berharga. Malah kuasa tawar menawar pekerja dalam mendapatkan upah yang lebih tinggi banyak diasaskan kepada pengalaman bekerja,” katanya.

Menurutnya, pengurusan kewangan amat penting dalam mengoptimumkan penggunaan pendapatan seseorang individu.

“Dengan gaji RM3,000 hingga RM4,000 sebulan, sekiranya

kewangan diurus dengan baik, ia mencukupi dalam memenuhi keperluan harian individu di kota. Tetapi bagi sebuah isi rumah, jumlah ini belum mencukupi, apatah lagi untuk menabung atau mengumpul harta.

Menurutnya, mereka perlu faham bahawa setiap aktiviti yang menjana keluaran dan pendapatan akan menambah nilai kepada pendapatan negara melalui peningkatan nilai ditambah aktiviti di peringkat firma melalui sumbangan individu.

“Maka sudah tentu penglibatan pekerja yang lebih kerap dalam aktiviti ekonomi merupakan penyumbang kepada peningkatan pendapatan negara dan pertumbuhan ekonomi.

“Di negara lain misalnya di Indonesia, senario ini telah lama berlaku kerana gaji yang amat rendah dan kesempitan hidup yang mendesak. Apa pun yang dilakukan jangan sampai menjejaskan kesejahteraan individu kerana pendapatan semata-mata bukan pengukur kesejahteraan,” ujarnya.

-
Tags: gaji, kerja
Subscribe

Posts from This Journal “gaji” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments