?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Machiavelli 
dalam diri kita

MATLAMAT menghalalkan cara, adalah satu daripada falsafah penting dikemukakan oleh Niccolò Machiavelli, seorang pemikir Itali kurun ke-16. Beliau diiktiraf sebagai pencetus kepada gagasan sains politik moden.

Bagaimana seseorang yang hidup pada kurun ke-16 dikaitkan dengan istilah 'moden', memerlukan anda sendiri membaca tulisan beliau. Saya saran bacalah The Prince karya Machiavelli.

Sebelum anda terjerumus mengesyaki Merrepak akan menyentuh perihal politik hari ini, dengan sekilas pantas ini juga saya nafikan. Maafkan saya. Merrepak akan bebas secara spesifik daripada memperkatakan isu politik sebab saya tidak mahu diwawancara oleh media asing nanti atau ditanya mengenai Pendrive, apa lagi dikecam di media sosial. Saya takut, cuak dan gerun.

Sebaliknya idea Machiavelli ini ingin saya perluaskan ke segmen lain dalam kehidupan. Tidak sulit. Tidak merimaskan. Ia berkait dengan diri kita sendiri. Anggaplah ulasan berikut sebagai senarai periksa (check list) peribadi anda. Tiada lebih atau kurang, tiada agenda dan boleh lupakan selepas membaca. Tidak penting pun.

The ends justify the means diterjemahkan sebagai 'matlamat menghalalkan cara' secara umumnya boleh disimpulkan sebagai perlakuan orang yang sanggup melanggar peraturan untuk meraih benda yang dikejarnya dengan alasan demi kebaikan atau sanggup tampar anak sulung demi memastikan tujuh lagi anak mendapat mesej.

Konotasi ayat ini lebih kepada negatif. Kebanyakan menggunakannya sebagai alasan untuk mendapat apa yang dihajati, dalam apa cara sekali pun, tanpa mengira aspek moral atau haram halal.

Pendek kata, ia selalunya berkait dengan perbuatan salah bagi mencapai hasil positif, dan kemudian menjustifikasikan salah laku itu dengan menekankan hasil positif.

Contohnya ialah menipu dalam resume atau penyata butiran peribadi untuk memohon kerja dengan menyatakan anda lulusan University of Klang Gate atau memiliki Sarjana dari Oxford School of Farceur dan mahukan gaji lebih besar untuk anda menampung persekolahan anak-anak.

Lihat kembali ayat di atas. Terdapat dua perkara: menipu resume adalah salah. Menampung persekolahan anak adalah betul daripada segi moral. Jadi apa pendapat anda?

Lihat sinario ini: Menipu dalam peperiksaan. Matlamat penipuan ini bukan untuk meraih ilmu tetapi markah tinggi semata-mata. Penipuan ini terdedah hanya bila penipu ini berdepan dengan cabaran dalam kehidupan sebenar apabila gagal menyelesaikan isu berbangkit walaupun isu itu terkandung dalam kertas peperiksaan.

Mahu menjadi kaya? Tidak salah. Yang jadi masalah ialah mahu cepat kaya. Bagaimana? Main judi empat ekor, judi internet, skim cepat kaya atau mengenakan caj tol bagi sesuatu urusan (rasuah). Matlamat mahu kaya adalah baik. Kaedah diguna sama sekali menyeleweng daripada makna 'bermoral tinggi'.

Perbincangan kerap dalam topik ini mengaitkan keputusan ketenteraan. Satu kampung di mana pengganas berkubu, bakal dibom. Ia dijangka menghapuskan lima orang pengganas dan 30 orang penduduk kampung yang tidak berdosa. Dengan mengebom kubu ini, keselamatan empat lagi kampung dengan 100 nyawa akan dapat diselamatkan. Apa pendapat anda?

Bagaimana pula bila seorang pekerja mengadakan tunjuk perasaan di hadapan pejabat dengan menuduh majikan zalim. Beritanya dipetik media. Nama majikan dan syarikat tempat anda bekerja menjadi 'terkenal'. Anda yang tiada apa-apa isu dengan majikan dan setia kepada syarikat, terkena tempias akibat perbuatan ala-Machiavelli petugas itu. Maafkan dia atau tidak?

Menurut satu tulisan, Mahatma Gandhi telah mengenengahkan satu maklum balas kepada Machiavelli iaitu 'matlamat dan kaedah adalah perkara yang sama'. Ini adalah pendirian falsafah yang membentuk sebahagian daripada gerakan keamanan (pacifism) kelolaan Gandhi.

Gandhi percaya bahawa jika seseorang itu menggunakan kaedah salah untuk mencapai matlamat, ia akan mencetuskan tindak balas salah. Jika guna kekerasan, maka kekerasan akan berulang. Maka itu, gagasan Machiavelli tidak boleh dipakai oleh umat manusia.

Lihat apa yang berlaku di Iraq, terutamanya. Penaklukan tentera Amerika Syarikat ke atas negara itu atas alasan yang tidak pasti (diakui oleh Presiden George W. Bush baru-baru ini) telah mengakibatkan rantaian tindak balas keganasan yang tidak berhenti-henti.

Menurut pengkaji buku The Prince, sementara Machiavelli kelihatan menolak aspek moral, pembacaan teliti buku itu menunjukkan dia tidak bersedia menafikannya sama sekali. Dalam bab 17, di mana dia mengisytiharkan 'adalah lebih baik digeruni daripada disayangi', Machiavelli menyarankan bahawa 'dianggap sebagai seorang yang kejam bukanlah sesuatu yang buruk'.

"Seorang pemimpin tidak kisah dianggap kejam, seandainya dia dapat memastikan rakyatnya hidup aman dan patuh kepada undang-undang, kerana ia lebih baik mengenakan hukuman berat kepada beberapa orang, berbanding kasih sayang melampau, untuk membiarkan kacau-bilau daripada berleluasa," tulis Machiavelli. - Johardy Ibrahim Utusan Malaysia Rencana 04 September 2016 6:00 PM

Tags:

Posts from This Journal by “falsafah” Tag

Latest Month

June 2019
S M T W T F S
      1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
30      

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow