kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Leptospirosis: Salah tikus atau manusia

KELMARIN, seorang pelajar Muhammad Fikri Farizaq Mukhtar, 15, meninggal dunia akibat jangkitan kencing tikus selepas mandi di kawasan air terjun Jeram Mak Nenek, Selising, Kelantan, dua minggu lalu.

Sebelum ini, kita dikejutkan dengan kematian seorang guru, Mohd Yusri Yaacob akibat jangkitan leptospirosis setelah menjalani aktiviti air kelolaan Pusat Kokurikulum Daerah Baling.

Tersentap dengan insiden yang mengejutkan ini, Kementerian Pendidikan dengan drastik mengarahkan semua aktiviti kokurikulum berasaskan air dihentikan sementara menunggu siasatan lanjut.

Dua minggu kemudian, larangan ini ditarik balik dan langkah pelaksanaan aktiviti air yang lebih jitu, diperkenalkan pihak kementerian di semua Pusat Kokurikulum di seluruh negara.

Pusat Kokurikulum ditubuhkan seawal 1990-an oleh Kementerian Pendidikan untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS).

Matlamat ini dicapai melalui pelaksanaan aktiviti pendidikan luar bilik darjah seperti berkhemah, berkayak dan aktiviti kebudayaan serta khidmat sosial.

Saban tahun, ratusan ribu pelajar terbabit aktif dalam pelbagai aktiviti pendidikan luar di Pusat Kokurikulum di seluruh negara.

SEORANG pelajar lelaki Tingkatan Dua meninggal dunia, pagi tadi disyaki akibat leptospirosis atau kencing tikus selepas mandi di Pusat Rekreasi Bukit Wang, Jitra.



Atasi ancaman leptospirosis

Arahan penangguhan sementara aktiviti air kerana insiden leptospirosis bukanlah perkara baharu.

Sekitar tahun 2000, Jabatan Latihan Khidmat Negara telah mengkaji dan memansuhkan aktiviti berkayak dalam Modul Fizikal PLKN kerana ancaman leptospirosis.

Namun menyedari tarikan dan faedah aktiviti air terhadap pembinaan kualiti insan, aktiviti itu digantikan dengan aktiviti renang.

JLKN berjaya mengatasi isu ancaman leptospirosis dalam kalangan pelatihnya.

Saya menyokong langkah kementerian menarik semula larangan, mengkaji dan memperkemaskan pelaksanaan aktiviti air dalam kalangan pelajar.

Saya percaya langkah mengemas kini pelaksanaan aktiviti air adalah jauh lebih berkesan daripada penangguhan aktiviti itu.

Penangguhan aktiviti tidak dapat menghalang pelajar daripada melaksanakan aktiviti itu di luar waktu persekolahan. Tambahan pula keadaan cuaca semasa yang panas dan kering pastinya mendorong pelajar bersantai di kawasan perkelahan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan pada 2015, sebanyak 8,291 kes leptospirosis dengan 78 kematian dicatatkan, meningkat 485 kes berbanding 2014.

Majoritinya berlaku di kawasan rekreasi. Bagi saya, statistik ini jelas menangkis keberkesanan penangguhan pelaksanaan aktiviti air dalam kalangan rakyat.

Satu langkah bersepadu haruslah dilaksanakan dalam menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan terutama di kawasan perkelahan.

Bina sikap kesedaran tinggi

Daripada terus-terusan mempersalahkan tikus, masyarakat harusmembina sikap kesedaran alam sekitar yang tinggi. Antaranya dengan mengamalkan prinsip Leave no Trace (LNT) yang sudah lama diperkenalkan Jabatan Perhilitan Malaysia.

LNT ialah amalan konservasi alam berkonsepkan membawa keluar apa yang dibawa masuk dari kawasan perkelahan.

Apa salahnya jika masyarakat mendisiplinkan diri membawa sehelai plastik sampah dalam setiap lawatan ke kawasan perkelahan.

Selesai berkelah, masukkan sampah termasuk lampin pakai buang dan sisa makanan ke dalam plastik. Jika tiada tong sampah awam, bawalah pulang dan dalam tong sampah di rumah.

Elakkan membuang air kecil atau mencuci lampin bayi di dalam sungai kerana ia antara punca pencemaran air yang utama berbanding kencing tikus.

Pihak Jawatan Kuasa Keselamatan Kampung (JKKK) boleh memainkan peranan serupa di kawasan tidak dikendalikan pengusaha atau mana-mana agensi.

Sebagai contoh peranan aktif JKKK di Hutan Lipur Sungai Sedim, Kedah dan Sungai Bil, Perak berjaya menjamin kebersihan kawasan perkelahan sekali gus meminimumkan risiko leptospirosis.

Pendidikan berterusan kaedah pencegahan leptospirosis juga perlu diterapkan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selain Kementerian Penerangan, Kementerian Pendidikan juga boleh menerapkan topik ini dalam subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan serta pelbagai aktiviti yang dilaksanakan di Pusat Kokurikulum.

Kepentingan konservasi sungai

Yayasan Sukarelawan Siswa dan institusi pendidikan tinggi pula boleh melancarkan inisiatif kesukarelawanan seperti American River Conservacy yang menggabungkan masyarakat, NGO, industri dan agensi dalam mendidik masyarakat mengenai kepentingan konservasi sungai dan kawasan perkelahan.

Justeru, isu leptospirosis peluang terbaik kepada penyelidik negara untuk mencari jalan mengatasi isu ini.

Selain menghasilkan vaksin terbaharu, penghasilan aparatus yang mengenalpasti tahap pencemaran leptospirosis kawasan perkelahan pastinya dapat membantu masyarakat.

Jika aparatus itu praktikal dan murah, pasti hasrat murni budaya inovasi dan pengkomersialan yang diilhamkan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi, akan tercapai. Kesimpulannya, leptospirosis bukan berpunca daripada tikus sebaliknya manusia.

Langkah bersepadu dalam menangani isu ini harus menjadi tanggungjawab masyarakat serta pelbagai dorongan dan inisiatif daripada agensi kerajaan dan swasta.

Perubahan harus bermula daripada diri kita. Cintailah alam dan pasti alam akan terus mendampingi kita
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments