kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Alasan mengarut antivaksin, Wujud golongan doktor ‘mi segera’

Wujud golongan doktor ‘mi segera’

IRONINYA, merokok sudah difatwakan haram oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan Malaysia tetapi sebilangan masyarakat termasuk penentang vaksinasi masih lagi merokok.

Walaupun terdapat dakwaan mengatakan rokok mengandungi gelatin khinzir, namun golongan ini masih tetap merokok. Bukankah ini suatu jenaka?

Demikian ujar Pegawai Perubatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Lahad Datu, Sabah, Dr. Muhammad Na’im Abdul Razak di dalam blognya http://vaccinetruthjacknaim.blogspot.my yang mempersoalkan sikap sesetengah masyarakat yang begitu hebat menentang penggunaan vaksin atas alasan halal haram agama.

Katanya, perubatan moden hari ini yang sebahagian besarnya dikembangkan dari barat menghormati pesakit beragama Islam apabila ada antaranya sudah menukar penggunaan bahan berasas khinzir kepada lembu, kambing dan kuda dalam ubat-ubatan.

“Anda jangan buat-buat tidak tahu tetapi secara hakikatnya, banyak hospital di negara barat mengeluarkan garis panduan untuk membantu pesakit beragama Islam memilih ubat-ubatan halal,” katanya.

Pemberian vaksin lima serangkai menjadi prosedur kesihatan di Malaysia.

Dalam pada itu, katanya, wujud golongan ‘doktor mi segera’ yang sanggup menggunakan imej Islamik serta ayat al-Quran untuk mengaburi mata masyarakat termasuk isu penggunaan vaksin pada hari ini.

Mereka menggunakan gelaran yang mengelirukan seperti Profesor Emeritus, Doktor, Profesor dan sebagainya, sedangkan Majlis Perubatan Alternatif dan hemopati sendiri melarang ahli perubatan alternatif menggunakan gelaran ini.

Katanya, beliau percaya rawatan perubatan yang dicipta oleh doktor ‘mi segera’ seperti itu bukan perubatan Islam dan alternatif mahupun tradisional sebenar, sebaliknya rawatan yang diada-adakan dan dibina berlandaskan putar belit sains yang mengambil kesempatan ke atas pesakit.

Ujar beliau, golongan penyamar dalam bidang perubatan adakalanya menggunakan agama untuk meraih keuntungan dan itu merupakan satu pembohongan sertapenganiayaan terhadap masyarakat yang memerlukan rawatan perubatan sebenar.

Alasan mengarut antivaksin

PADA 1998, kekecohan timbul apabila seorang pengkaji perubatan dari Britain bernama Andrew Wakefield mendakwa menemui punca kenapa ramai kanak-kanak masa kini menghidap autisme. Beliau mendakwa punca itu disebabkan oleh vaksin campak, beguk dan rubella atau MMR yang diberikan kepada kanak-kanak berusia 12 bulan.

Ramai terpengaruh dengan dakwaan itu dan menganggap kajian tersebut merumuskan vaksin menyebabkan autisme.

Pada 2004, kajian Wakefield disahkan tidak mengikut etika dan mengandungi unsur-unsur kepentingan peribadi dari segi kewangan.

Justeru, pada 2010, kertas kerja tersebut ditarik balik dari jurnal Lancet dan Wakefield didapati bersalah kerana melakukan penipuan dalam kajian tersebut.

Apa yang menyedihkan, wujud golongan antivaksin yang masih menggunakan atau merujuk kajian Wakefield itu bagi menguatkan hujah mereka bahawa vaksin berbahaya.

Kajian salah Wakefield itu adalah antara alasan yang digunakan golongan itu bagi menidakkan kepentingan vaksin terhadap masyarakat.

Menurut Pensyarah dan Pakar Kesihatan Awam, Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman, antara alasan lain yang sering digunakan golongan itu termasuklah, vaksin merupakan agenda Yahudi untuk menghancurkan umat Islam.

“Ada dalam kalangan mereka mempunyai agenda tersembunyi dan ada yang mahu mempromosi produk makanan sunnah sehingga sanggup merekacipta alasan menafikan kepentingan vaksin.

“Bukan tidak boleh promosi tetapi cara tidak tepat dan makanan kesihatan ini pula tidak sampai ke peringkat terapeutik atau kemampuan mengubati.

“Tetapi disebabkan ada agenda perniagaan, mereka sanggup buat begitu,” katanya kepada Utusan Malaysia Sabtu.

Katanya, tidak dinafikan makanan sunnah seperti madu, habbatusauda dan sebagainya mempunyai khasiat tersendiri. Tetapi kajian bagi membuktikannya benar-benar berkesan seperti fungsi vaksin tidak dijalankan sehingga ke peringkat klinikal.

Menurutnya, vaksin pula dihasilkan bagi mempunyai fungsi dan sasaran mencegah secara lebih spesifik untuk satu-satu penyakit. Jadi, katanya, vaksin tidak boleh disamakan dengan fungsi madu atau habbatusauda.

Katanya, vaksin dihasilkan melalui banyak peringkat kajian terutama peringkat klinikal dan penyelidikan berdekad lamanya, selain diuji terhadap manusia.

Tambahnya, hasil kajian turut dinilai serta dianalisis bagi menentukan keberkesanannya.

“Kebanyakan produk yang didakwa mempunyai fungsi sama seperti vaksin bergantung kepada testimoni positif pengguna semata-mata. Bagaimana pula testimoni mereka yang tidak berjaya?,” katanya.

Tambah Malina, kebanyakan golongan antivaksin tidak benar-benar faham cara penghasilan vaksin bagi mencegah penyakit yang disasarkan. Disebabkan itu, mereka mudah terpengaruh dengan dakyah mengarut mengenai vaksin.

Apa yang lebih mengejutkan, golongan antivaksin ini terdiri daripada profesional seperti doktor yang sudah pasti mempunyai ilmu pengetahuan lebih pakar mengenai fungsi vaksin.

Malina percaya, golongan seperti itu sebenarnya mempunyai agenda kepentingan peribadi yang menjadi punca mereka menolak vaksin.

Jelasnya, golongan antivaksin begitu bijak menggunakan aspek psikologi terutama melalui internet. Maklumat yang dipaparkan mereka menjadi begitu berpengaruh apabila sebahagian besarnya mengatakan vaksin sangat bahaya, sementara yang lain menyebut vaksin menyebabkan autisme dan kerosakan otak.

Katanya, kajian di Children’s Hospital of Philadelphia pada 2015 menilai sebanyak 480 laman web antivaksin. Daripada jumlah itu, kira-kira 65 peratus laman itu menyebut bahaya vaksin adalah berdasarkan penemuan saintifik namun tanpa perincian, manakala 30 peratus lagi laman web bergantung pada testimoni.

Lebih menarik, laman web itu bukan sahaja memberikan maklumat tidak benar mengenai vaksin, malah 19 peratus daripadanya mempromosikan perubatan alternatif dan 10 peratus lagi homeopati. Tambah mengelirukan apabila ada yang mempromosikan diet tertentu sebagai ganti kepada vaksin dan merawat autisme akibat vaksin.

Pembohongan data kajian terserlah apabila penyiasatan mendapati lima daripada 12 kanak-kanak yang dilaporkan itu telah pun mendapat autisme sebelum mereka menerima vaksin. Namun, golongan antivaksin terus membuat propaganda dan berbohong mengatakan kes tersebut sebenarnya telah disemak semula dan sebahagian data diperakui benar.

“Hal seperti inilah sebenarnya menjadi ‘duri dalam daging’ serta digunakan oleh mereka yang kita tidak pasti apa agenda sebenar mereka untuk terus menentang polisi vaksin,” katanya.

Tags: vaksin
Subscribe

Posts from This Journal “vaksin” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments