kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bagaimana vaksin bertindak dalam tubuh, Vaksin bertepatan dengan syarak, Kos rawatan difteria 


Kos rawatan difteria cecah RM100,00 seorang

KOS seseorang mendapatkan suntikan vaksin, misalnya bagi mencegah wabak difteria adalah antara RM60 sehingga RM100 untuk setiap suntikan dan RM180 hingga RM300 untuk suntikan penuh.

Sekiranya masyarakat mendapatkan suntikan imunisasi itu di hospital dan klinik kerajaan, kos adalah percuma.

Namun, tahukah anda, berapa kos bagi merawat pesakit yang terkena jangkitan difteria? Sekiranya seseorang itu pernah divaksin dan mengalami simptom biasa, kos rawatannya tidak begitu mahal.


Pesakit ini dijangkiti difteria yang boleh meragut nyawa, lebih-lebih lagi jika seseorang itu tidak pernah menerima vaksin. SUMBER WWW.EMAZE.COM

Bagaimanapun, sekiranya mereka tidak pernah menerima suntikan vaksinasi, penyakit tersebut akan menghasilkan magnitud besar seperti yang berlaku dalam beberapa kes kematian difteria baru-baru ini.

Menurut Pegawai Perubatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Lahad Datu, Sabah, Dr. Muhammad Na’im Abdul Razak, kos untuk rawatan menggunakan antitoksin boleh mencecah sehingga RM10,000 bagi setiap pesakit. Itu belum dikira kos rawatan unit rawatan rapi dengan harga purata RM1,500 setiap hari.

“Penggunaan antitoksin bagi kes jangkitan difteria yang teruk boleh mencecah sehingga RM5,450. Jadi, secara umumnya, kos rawatan bagi kes kritikal menggunakan antitoksin dan antibiotik boleh mencecah RM10,000,” katanya kepada Utusan Malaysia Sabtu.

Itu tidak termasuk apabila pesakit terpaksa bergantung kepada ventilator atau alat bantuan pernafasan sekiranya keadaan bertambah kritikal.

Risiko jangkitan kuman lain akibat penggunaan ventilator juga akan menambahkan kos rawatan, termasuk penggunaan antibiotik dan ubat-ubatan yang mahal. Komplikasi yang berlaku menyebabkan pesakit memerlukan pembedahan sampingan.

Secara keseluruhannya, kos rawatan untuk satu-satu individu yang dirawat akibat jangkitan difteria di hospital kerajaan boleh mencecah sehingga RM100,000.

“Rawatan hanya dilakukan di hospital kerajaan kerana hospital swasta tidak menerima kes jangkitan penyakit serius seperti ini,”katanya.

Kos tinggi juga diperlukan bagi rawatan jangkitan penyakit yang sama, jika berlaku di luar negara.

Jadi, mana yang lebih baik, mencegah atau merawat?


Vaksin bertepatan dengan syarak

ISLAM menekankan umatnya untuk menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta kerana itu merupakan perkara asas dalam maqasid al-syariah yang mesti diberikan perhatian.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Datuk Othman Mustapha, berkata, suntikan vaksin adalah salah satu daripada cabang menjaga kesihatan dan perlu diberi perhatian.

“Vaksin merupakan sejenis agen yang bertindak untuk merangsang sistem pertahanan badan bagi melawan bakteria atau virus yang menyerang. Kegagalan mengambil vaksin bakal mengundang kemudaratan yang besar pada masa akan datang, memandangkan seseorang itu terdedah dengan pelbagai penyakit berjangkit yang merbahaya.

“Islam amat mementingkan umatnya agar sentiasa berwaspada dengan bahaya dan menyarankan kita mengambil langkah pencegahan ‘al-wiqayah’ dalam mendepani isu seumpama ini.

“Perkara ini juga selaras dengan hadis Nabi Muhammad saw yang diriwayat oleh Muslim. Dalam usaha mengawal negara daripada wabak taun yang melanda ketika itu, baginda mengarahkan penduduk keluar dari kawasan yang telah dijangkiti wabak tersebut.

“Berpandukan hadis ini, maka tindakan mengambil vaksin merupakan satu kemestian bagi membendung segala penyakit berbahaya di peringkat awal,” katanya.

Tambahnya, terdapat sesetengah dakwaan mengatakan vaksin mengandungi bahan terlarang seperti najis. “Jika benar dakwaan tersebut, dan umat Islam pula tiada pilihan lain, maka vaksin diharuskan dan dikira sebagai darurat,” katanya.

Katanya, suntikan vaksin bukan sahaja bertepatan dengan nas-nas syarak, bahkan turut selaras dengan prinsip maqasid al-syariah dalam menjaga nyawa manusia daripada penyakit merbahaya,” katanya. Dalam pada itu, Pengarah Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Sheikh Mohd. Saifuddeen Sheikh Mohd. Salleh berkata, walaupun vaksin merupakan hak peribadi tetapi masyarakat harus mengambil kira apakah pilihannya itu membawa kepada masalah yang memudaratkan kepentingan awam.

“Ini sudah jatuh kepada soal tanggungjawab. Sebab itu, ada pandangan kata, kalau isu penyakit yang membawa mudarat kepada negara, maka adalah hak kerajaan untuk menjadikan ia mandatori,” katanya.


Bagaimana vaksin bertindak dalam tubuh

BAGAIMANA sesuatu vaksin yang dikhaskan untuk menentang serangan kuman atau bakteria penyakit berjangkit tertentu bertindak di dalam tubuh manusia?


Measles atau campak yang kini mulai mencatat kes di Malaysia. SUMBER WWW.NEWHEALTHADVISOR.COM

Teori secara mudahnya begini. Menurut Pegawai Perubatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Lahad Datu, Sabah, Dr. Muhammad Na’im Abdul Razak, vaksin yang dihasilkan daripada virus dan bakteria yang sudah dilemahkan atau mati, disuntik ke dalam badan seseorang bagi merangsang sistem pertahanan tubuh untuk mengenal pasti ancaman yang wujud.

Seperti sebuah ketumbukan tentera, apabila ada ancaman, tubuh akan mengaktifkan satu siri bahan kimia semula jadi bagi bertindak balas sebagai sistem pertahanan menahan serangan kuman asing itu.

Ketika ini, ada sel tubuh yang bertindak menyerang kuman asing itu dan ada pula yang mengkaji corak serangan, seterusnya menghasilkan senjata melawan musuh iaitu virus atau bakteria penyakit berjangkit.

Ada pula yang menghasilkan kaedah menyahkuasa keupayaan musuh iaitu dengan membentuk antibodi. Sementara sesetengah sel badan lain pula, bertindak sebagai pusat pengumpulan data yang boleh mengenal pasti musuh itu agar siri serangan seterusnya dapat dilakukan jika ada serangan yang sama pada masa depan.

Sesetengah antibodi akan segera musnah dalam proses melawan penyakit dan diganti oleh sistem pertahanan musuh.

Proses melawan penyakit ini akan menghasilkan tanda minimum pada badan, namun jika terlalu banyak kuman masuk dan badan tidak berupaya menghasilkan antibodi dalam masa terdekat, maka orang yang menerima vaksin akan turut terkena jangkitan.

Jadi, bayangkan mereka yang tidak divaksin dan tidak mempunyai antibodi, kemudian diserang oleh kuman, contohnya difteria dalam kuantiti yang banyak. Bagaimana agaknya tindak balas tubuh terhadap serangan tersebut?

Setiap kuman yang masuk ke tubuh orang yang tidak divaksin akan berkembang biak dengan pantas. Kuman ini akan terus disebarkan kepada orang sekeliling.

Jika semakin ramai ahli masyarakat tidak diberi vaksin, kuman ini akan bermaharajalela dalam hos mereka dan akan terus menjangkiti orang lain dengan lebih mudah sehingga menjadi kritikal.

-
Tags: vaksin
Subscribe

Posts from This Journal “vaksin” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments