?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Rancakkan penulisan karya berkualiti

PEMBANGUNAN dan tamadun sesebuah negara bukan dilihat pada kepesatan fizikal dan ekonomi sahaja, sebaliknya aspek pengkaryaan dan penulisan buku juga diambil kira. Di negara kita ada ribuan intelek bertaraf dunia yang menjadi penggerak kepada kecemerlangan institusi pengajian tinggi (IPT) negara. Namun, di sebalik kerancakan pembinaan IPT bertaraf global terdapat satu kekurangan ketara, iaitu bidang penulisan buku ilmiah masih perlahan dan lesu.

Memang ada aktiviti penerbitan karya ilmiah di IPT tetapi kebanyakannya diedar sekitar kampus sedangkan masyarakat awam tidak dapat menikmati khazanah ilmu berharga itu. Kalau adapun di pasaran, kebanyakan orang ramai yang berminat membeli buku ilmiah itu terpaksa menahan diri lantaran harganya yang mahal. Inilah senario yang melanda dunia penulisan buku berbentuk ilmiah. Kerajaan melalui agensi tertentu seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dalam hal ini perlu lebih aktif dalam memperbanyak hasil penulisan buku intelektual.

Para intelek janganlah hanya gah dengan hasilan berbentuk kajian yang dijadikan jurnal untuk mendapatkan kedudukan dalam status perjawatan. Pihak pentadbiran IPT perlulah meletakkan kriteria penulisan buku sebagai satu keperluan asas kenaikan pangkat. Satu hal lagi, kebanyakan para ilmuwan negara kita masih terikat dengan disiplin mereka sahaja dalam penulisan mereka.

Kita jarang berjumpa buku-buku yang ditulis oleh ilmuwan yang mencakupi pelbagai tema dan subjek. Kita ambil satu contoh di sini Prof. Datuk Dr. Sidek Baba dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) begitu prolifik dalam pengkaryaan buku yang meliputi pelbagai tema termasuklah bercorak motivasi untuk golongan remaja. Kerajinan dan sikap ingin memperkaya kha­zanah ilmu yang dilakukan oleh beliau itu sesuatu yang perlu kita hargai dan sanjungi. Bagaimana dengan para ilmuwan yang lain?

Kita harus belajar dari Taiwan yang begitu unggul dalam industri buku seiring kemajuan dan kepesatan ekonominya. Negara ini kecil sahaja, iaitu lima kali lebih kecil berbanding negara kita, tetapi mampu menghasilkan 38,000 judul buku setahun. Kita hanya 15,000? Daripada 38,000 judul tersebut, terdapat 8,000 judul buku terjemahan. Demikian hebat Taiwan dalam industri buku yang tentunya memberi impak positif dalam memperkaya budaya membaca kalangan masyarakatnya.

Memetik bekas Presiden Indonesia, Megawati: “Bangsa yang maju sentiasa tergerak untuk selalu mendokumentasikan fikiran.” Jadi, maksud beliau mendokumentasikan itu ialah menghasilkan buku. Memang benar dan tepat kata-kata Megawati itu kerana sejak dahulu lagi keunggulan sesuatu tamadun bangsa dunia diwarnai de­ngan keaktifan dalam dunia buku.

Sejarah Islam diangkat martabatnya lantaran kegiatan perbukuan. Kerajaan Bani Abasiyyah meletakkan kegiatan keilmuan melalui penulisan dan penghasilan buku sebagai teras pembangunan negara. Impaknya mereka berjaya memartabatkan bangsa, negara dan agama ke mercu keunggulan tamadun. Hasil karya ilmuwan mereka menjadi rujukan masyarakat lain khususnya di Barat.

Ilmu pengetahuan yang ada pada golongan intelek seharusnya dibukukan dan dijadikan aset berharga buat bangsa dan negara pada masa depan. Ilmu itu tidak boleh hanya berada di sekitar kampus dan seminar atau persidangan semata-mata, akan tetapi sangat perlu disebar luas untuk manfaat masyarakat.

Ahli Falsafah Barat tersohor, Rene Descartes mengatakan: “Membaca buku yang hebat ibarat mengadakan dialog dengan para cendekiawan yang paling cemerlang dari masa lampau, pemikiran mereka terus hidup dan berpengaruh sehingga kini. Mereka (penulis) menuangkan gagasan mereka yang terbaik semata-mata.”

Saidina Ali bin Abi Talib berpesan kepada kita semua yang katanya: “Ikatlah ilmu dengan menuliskannya.” Jadi, jelaslah bahawa aktiviti penghasilan buku sangat memberi makna kepada sesebuah masyarakat dan negara.

Justeru, kita sangat berharap golongan ilmuwan di IPT, politeknik atau institusi apa sekali pun akan menjadikan kegiatan menulis buku sebagai tugas sosial untuk kemanfaatan masyarakat dan negara. - Mohd Rizal Azman Rifin Utusan Malaysia Rencana 14 September 2016 6:15 PM

Posts from This Journal by “karya” Tag

Latest Month

September 2019
S M T W T F S
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930     

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow