?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Melahirkan graduan sebagai insan

September adalah antara bulan paling sibuk dalam kalendar akademik universiti awam (UA) di negara ini. Kemasukan pelajar baharu dan bermulanya sesi akademik baharu menyaksikan kampus kembali sibuk dan meriah.

Pada sesi akademik 2016/17, seramai 39,862 calon ditawarkan untuk kemasukan peringkat ijazah sarjana muda di 20 UA. Mulai 19 September ini pula, kemasukan pelajar baharu pengambilan kedua akan bermula.

Bagi pelajar baharu, saat melangkah ke kampus adalah episod yang mungkin tidak dapat dilupakan dalam kehidupan mereka. Mereka bukan sahaja berpisah daripada ibu bapa, tetapi menggalas amanah untuk hidup secara mandiri.

Di universiti, mereka tidak hanya menuntut ilmu melalui sesi pembelajaran formal dalam dewan kuliah, tetapi belajar mengenai kehidupan sebenar. Kehidupan kampus selama tiga atau empat tahun yang bakal ditempuhi pelajar baharu akan membentuk sahsiah dan keperibadian insan kelak.

Hal ini penting kerana universiti tidak lagi menjana modal insan semata-mata, tetapi insan untuk negara.

Ia adalah konsep yang komprehensif dan menyeluruh seperti digariskan dalam Lonjakan Pertama, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT), iaitu mengeluarkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.

Pelajar baharu mendaftar ini pastinya mempunyai latar belakang kehidupan berbeza.

Ada yang berasal dari golongan berada dan tidak kurang datang daripada keluarga tidak berkemampuan.

Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan universiti awam di negara ini sentiasa peka dengan mempelbagaikan cara atau mod kemasukan pelajar agar mereka yang kurang bernasib baik tidak terhalang melanjutkan pengajian di universiti.

Bagi merancakkan lagi usaha pendemokrasian pendidikan, khususnya di universiti awam, pengambilan melalui laluan khas diperkenalkan.

Laluan khas ini menawarkan peluang kepada calon yang tidak berjaya mendapat pengajian di mana-mana IPTA selepas pengumuman tawaran diumumkan oleh Unit Pusat Universiti (UPU).

Dalam konteks di Universiti Putra Malaysia (UPM), misalnya, kriteria asas pemilihan calon yang diguna pakai dalam laluan khas ini adalah seperti pendapatan isi rumah kurang daripada RM 1,500 sebulan, bilangan tanggungan melebihi lima orang, status ibu atau bapa calon (tunggal), status anak yatim, status kesihatan atau kecacatan calon, status kesihatan atau kecacatan ibu bapa atau penjaga calon, dan lokasi tempat tinggal calon (luar bandar).

Kita percaya melalui pengambilan laluan khas ini, hasrat menempatkan pelajar kurang bernasib baik melanjutkan pengajian tercapai.

Kita tidak mahu hanya disebabkan faktor kemiskinan dan kurang upaya, anak muda terhalang menuntut ilmu di universiti. Mereka perlu diberikan keadilan dan peluang sama seperti kumpulan yang lebih bernasib baik. Ini selaras dengan hasrat kerajaan memberi tumpuan kepada golongan sasar ter-utama kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Kualiti universiti awam

Keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu menjadikan belajar dalam negara sebagai pilihan utama berbanding luar negara. Pengumuman QS World University Ranking 2016 baru-baru ini menunjukkan beberapa universiti awam berjaya memperbaiki kedudukan berbanding tahun lalu.

Dalam senarai ranking itu, Universiti Malaya (UM) berada di tangga 133, UPM di kedudukan 270 (melonjak 61 tangga), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) - 288, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) - 302 dan Universiti Sains Malaysia (USM) - 330.

Keputusan ranking ini pastinya akan memberi impak kepada pengajaran dan pembelajaran pelajar. Pencapaian universiti yang cemerlang adalah hasil dedikasi dan sumbangan ahli akademik atau tenaga pensyarah yang berkualiti tinggi.

Ahli akademik inilah yang akan mendidik pelajar dengan penuh dedikasi, komitmen dan integriti selari dengan konsep ihsan yang dituntut Islam.

Penting dinyatakan di sini bahawa belajar di universiti bukanlah hanya berkisar mengenai mencari ilmu, tetapi menyumbang dan berbakti. Seperti moto keramat UPM, 'Berilmu, Berbakti.' Di universitilah, setiap pelajar ditekankan mengenai kepentingan menyumbang bakti kepada kesejahteraan masyarakat dan kemanusiaan.

Usaha ini sebenarnya menyokong hasrat KPT melahirkan graduan sebagai insan (human being) dan bukan modal insan semata-mata.

Membentuk insan

Membentuk insan bukanlah usaha mudah dan boleh berlaku sekelip mata. Ia adalah proses panjang dan tidak boleh hanya diserahkan kepada universiti semata-mata.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna universiti perlu berpeluk tubuh. Sebaliknya, universiti mempunyai amanah dan tanggungjawab tersendiri untuk memastikan graduan dikeluarkan adalah graduan bercirikan keinsanan yang luhur. Insan yang luhur inilah yang akan keluar ke pangkuan masyarakat dan seterusnya menjadi ahli masyarakat yang menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.

Mereka bukan sahaja menjadi tenaga kerja mahir yang berperanan kepada pertumbuhan ekonomi negara, tetapi pemangkin kepada kebahagiaan negara dalam erti kata sebenar.

Kepada pelajar baharu yang telah mendaftarkan diri di universiti masing-masing, manfaatkan keberadaan anda di kampus untuk mencapai kecemerlangan akademik.

Pada masa sama, kecemerlangan akademik yang dikejar ini mestilah seiring dengan kecemerlangan sahsiah dan keperibadian tinggi. Jangan sia-siakan amanah ilmu ini.

Latest Month

September 2019
S M T W T F S
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930     

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow