?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Di mana Melayu selepas merdeka?

SEBELUM era penjajahan, tiada siapa boleh menyangkal bahawa bangsa Melayu pernah mengecapi satu tingkat peradaban yang cukup tinggi di Alam Melayu. Kerajaan Melayu-Islam bertaraf empayar yang muncul sekitar kurun ke-14 dan ke-15 se­perti Melaka, Johor, Patani, Brunei, Sulu sudah tentu terbayang di minda kita akan hebatnya ta­madun dan peradaban yang pernah ditonjolkan oleh bangsa Melayu yang hidup di zaman itu.

Jika ditelusuri ke masa silam, sekitar kurun pertama Masihi, telah muncul kerajaan Melayu seperti Funan, diikuti Champa dan Langkasuka (kurun kedua) dan Srivijaya (abad keenam) yang nyata bertaraf empayar yang amat besar dan gah. Tidak mungkin digambarkan kerajaan-kerajaan empayar ini dibina oleh sebuah bangsa yang tidak memiliki peradaban dan tatasusila yang tinggi dalam mengatur kehidupan.

Penguasaan gemilang bangsa Melayu dalam ilmu kelautan, teknologi perkapalan dan pertanian serta pelbagai bidang kehidupan yang lain membuktikan bahawa bangsa ini telah mencapai status peradaban yang amat tinggi.

Profesor de Silva dalam bukunya, A History of Sri Lanka menyatakan bahawa kawasan yang dihuni oleh bangsa Melayu sudah wujud lebih 17,000 tahun lalu. Orang Melayu antara manusia terawal yang mengasaskan teknologi penanaman untuk pertanian. Orang Melayu juga telah memperkenalkan beberapa jenis tanaman domestik penting di timur Afrika.

Pencapaian bangsa Melayu dalam bidang seni dan teknologi juga amat mengagumkan. Sebelum abad kelima Masihi sudah terkenal sebagai bangsa mahir dalam teknik peleburan besi yang dilihat berdasarkan alat batu yang dijumpai di Sungai Batu, Kedah. Orang Melayu juga menguasai perdagangan menggunakan jalan laut yang amat hebat, terutamanya manik, emas, timah dan sumber hutan sejak tahun 500 Sebelum Masihi (SM) lagi. Perdagangan ini melibatkan orang Melayu dengan pedagang dari India, Timur Tengah dan Eropah.

Peradaban Melayu turut menguasai ilmu dan teknologi perkapalan. Orang Melayu bermula 4000 tahun SM telah mencipta perahu bersayap yang dilengkapi kanu yang sangat stabil, untuk merentas lautan luas. Kehebatan teknologi perkapalan menjadikan orang Melayu menguasai perhubungan laut sejauh Taiwan dan Jepun sekitar 4000 SM lagi. Orang Melayu juga sampai sejauh Laut Merah dan sehingga timur benua Afrika sekurang-kurangnya pada 100 SM yang dibuktikan melalui kewujudan komuniti rumpun Melayu di Pulau Madagascar.

Catatan sejarawan Portugis, Gasper Correla yang ikut sama menyertai armada Portugis untuk menawan Melaka pada awal abad ke-16 menyatakan perbandingan di antara kapal Melayu Melaka yang jauh lebih besar berbanding kapal Portugis, Flor De La Mar. Kapal Melayu Melaka langsung tidak mampu ditandingi oleh kapal milik Portugis, apabila memiliki empat lapisan dinding yang langsung tidak mampu ditembusi peluru meriam Portugis.

Tradisi keilmuan dan kebudayaan yang berkembang pesat terutamanya setelah kedatangan Islam juga telah membentuk sebahagian besar daripada peradaban bangsa Melayu. Pengenalan tulisan Jawi yang didasarkan kepada aksara Arab telah menjadikan bahasa Melayu mempunyai tulisan yang benar-benar meluas penggunaannya dalam pelbagai bidang kehidupan sehingga muncul tradisi bahasa Melayu persuratan yang menjadi asas bahasa Melayu baku.

Pengaruh Islam juga telah menjadikan penggunaan bahasa Melayu lebih meluas, terutamanya dalam pertambahan perbendaharaan kata yang diadaptasi daripada bahasa Arab. Ini antara faktor terpenting yang menyebabkan bahasa Melayu berperanan sebagai lingua franca pada satu masa dahulu. Tradisi persuratan Melayu juga melahirkan khazanah penting dalam aspek agama Islam dan berkembang sehingga melahirkan pengarang-pengarang Melayu tersohor seperti Hamzah Fansuri, Shamsudin al-Sumaterani dan ‘Abdul Rauf Singkel.

Peradaban Melayu Era Penjajahan dan kegemilangan tamadun yang dimiliki oleh bangsa Melayu ranap dimusnahkan oleh penjajah bangsa Eropah. Jika dilihat dalam konteks Semenanjung Tanah Melayu, kejatuhan kerajaan Melaka di tangan Portugis pada 1511, diikuti kedatangan Belanda dan seterusnya British telah memakan masa hampir 446 tahun. Penjajahan yang amat panjang ini memberi kesan buruk kepada bangsa Melayu dari aspek fizikal, pemikiran, penciptaan, jati diri dan yang lebih penting, aspek peradaban. Kapal-kapal Melayu bersaiz besar dan gah seperti digambarkan oleh Correla ketika kejatuhan Melaka, telah berubah dan berevolusi sekadar menjadi perahu atau tongkang kecil yang hanya boleh digunakan untuk aktiviti penangkapan hasil laut.

Orang Melayu yang dahulunya menguasai perdagangan dunia sehingga disebut bahawa pelabuhan Melaka jauh lebih gah berbanding Venice di Eropah, berubah profesion sekadar menjadi pekebun kecil dan hanya mampu menyara diri dan keluarga. Malah, paling malang ialah hilangnya kedaulatan dan kuasa untuk menentukan hala tuju dan nasib bangsa Melayu selepas dirampas hak itu oleh penjajah. Bahasa Melayu turut kehilangan fungsinya sebagai lingua franca dan digantikan oleh bahasa Inggeris yang dituturkan oleh penjajah.

Dari aspek politik, dunia Melayu yang dahulunya berada di bawah sistem pemerintahan yang berdaulat, bebas dan merdeka. Kesan daripada penjajahan, orang Melayu yang diperintah bangsa Eropah menerusi kaedah ‘Pecah dan Perintah’ terus ketinggalan dari sudut ekonomi, sosial, pendidikan. Penjajah telah menghina bangsa Melayu, mencabut kemuliaan diri mereka, hilang keyakinan diri, buta sejarah dan memandang kerdil keupayaan bangsanya sendiri. Malah, sehingga difahami bahawa bangsa Melayu hanya bangsa yang kerdil, tidak mampu berdikari, mundur.

Perjuangan untuk menebus kembali maruah dan kedaulatan bangsa berterusan sejak awal kedatangan Portugis di Melaka sehinggalah kepada tarikh keramat, 31 Ogos 1957. Terlalu ramai pejuang dan gerakan jihad bangsa Melayu ini jika hendak disebutkan satu persatu. Nama pejuang bangsa dan agama, antaranya, Raja Ali Haji, Dol Said, Tokku Paloh, Abdul Rahman Limbong, Dato’ Bahaman, Tok Janggut dan Dato’ Maharajalela akan terus mekar dan diingati sebagai pejuang Melayu yang sanggup berkorban demi tanah tercinta ini.

Sebagai bangsa yang bertamadun, merdeka, dan terhormat di mata dunia, bangsa Melayu sentiasa bangkit berjuang menentang penjajah. Perjuangan bangsa di­semarakkan lagi dengan inspirasi semangat jihad.

Kini, kita telah merdeka. Persoalan yang masih belum mampu dijawab, adakah kita di landasan betul ke arah mengembalikan ta­madun dan peradaban bangsa yang hilang?

Adakah generasi kini akan mengikut pejuang-pejuang bangsa dan agama ini berkorban dan berjuang mengembalikan peradaban Melayu yang hilang dirampas penjajah?

Orang Melayu seharusnya bangkit dengan semangat juang yang paling kuat untuk menjulang panji-panji perjuangan kemerdekaan. Merekalah yang sepatutnya menjadi komponen utama yang membentuk acuan negara. Memperjuangkan sebuah kemerdekaan yang benar-benar bermakna kepada bangsa merdeka. Merekalah yang dijajah, tanah air merekalah yang dirampas, merekalah yang memperjuangkan kemerdekaan dan merekalah yang benar-benar sedar dan berjuang untuk bangkit daripada kejatuhan.

Orang Melayu tidak harus lupa sejarah kegemilangan bangsa yang panjang. Mereka tidak patut menjual perjuangan yang suci ini dengan manfaat sedikit, dan membiarkan masa depan mereka ditentukan oleh pihak yang berkepentingan. - Abdullah Zaik Abdul Rahman Utusan Malaysia Rencana 19 September 2016 6:05 PM

Tags:

Posts from This Journal by “melayu” Tag

Comments

Latest Month

September 2019
S M T W T F S
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930     

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow