kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Restu ibu bapa azimat kejayaan

“SUSAH tak cari duit?.” Kata-katanya ayahnya itu masih terngiang-ngiang di telinga seperti masih baru sedangkan ia telah berlalu lebih dari 30 tahun lalu.

Hayat Mohd. Nazir, 42, atau dikenali dengan panggilan Ustaz Hayat menjawabnya dengan perlahan, “susah ayah,”. Lantas ayahnya menjawab, “belajarlah rajin-rajin!.”

Segala kesenangan hidup bukannya terjadi secara kebetulan tetapi ada jalan ceritanya. Hayat mula memahami erti hidup yang agak perit apabila ayahnya bersara selepas 20 tahun berkhidmat sebagai tentera.

Dari kem askar, mereka sekeluarga berpindah ke Kampung Sayong Tengah, Kuala Kangsar, Perak. Ketika itu usianya 11 tahun dan memandangkan abang-abangnya berada di asrama, maka dia menjadi harapan keluarga untuk membantu dalam kerja-kerja kampung. Kewangan mula terhad, pendapatan ayahnya hanya menoreh getah selain wang saraan yang diterima setiap bulan.

Ayahnya amat tegas, berdisiplin dan garang. Bab masa sangat ditekankan terutama berkaitan ibadah. Adalah perkara biasa untuk Hayat mengikuti ayahnya ke kebun getah setiap hujung minggu. Adakalanya, selepas habis waktu sekolah pagi, diminta ke kebun untuk menebas dan mencangkul batas.

“Sejujurnya kerja kampung ini amat memenatkan. Saya mengutip getah sekerap dengan baldi dari satu tirai pokok getah ke tirai berikutnya sebelum dimasukkan ke dalam guni. Ia akan dipikul ke bukit lain dengan terpaksa melalui paya. Selalu juga tersembam ke dalam paya. Pernah juga jatuh tergolek ketika menuruni bukit,” katanya.

Begitulah rutin hidupnya hampir setiap minggu hinggalah dihantar menyambung pengajian menengah ke Sekolah Menengah Ugama (Arab) Maahad Muhammadi Lelaki, Kota Bharu, Kelantan. Kerja-kerja kampung itu akan kembali berulang setiap kali cuti sekolah.

MENYAMBUNG PENGAJIAN KE PERINGKAT LEBIH TINGGI

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia melayakkannya memohon masuk ke universiti dalam dan luar negara. Beliau memilih belajar di Jordan dan diterima masuk ke University of Jordan pada September 1993.

“Rasa teruja tetapi turut disulam rasa bersalah. Mampukah ayah menanggung segalanya? Saya berbincang dengan ayah tentang kos berkaitan. Tegas ayah...kerja kamu adalah belajar. Tentang duit itu, urusan ayah!,” katanya lega tetapi jauh dalam hati rasa sebak dengan pengorbanan ayahnya.

Ayahnya menerima upah membersihkan hutan untuk dibuat kebun dengan upah sebanyak RM2,500 bagi digunakan untuk membiayai perjalanan dan pembelajarannya.

“Namun untuk duit sebanyak itu, ayah perlu menebas, menebang pokok dan menjadikan hutan tebal seluas kira-kira 1 hektar itu menjadi kebun.

“Allahuakbar! Berat kaki melangkah meninggalkan kampung halaman, sama berat memikirkan tanggungan kerja ayah untuk menyempurnakan hasrat itu. Saya masih teringat pada suatu petang, pernah opah berpesan kepada ayah agar membatalkan niatnya menghantar saya ke Jordan.

“Opah tahu sangat kewangan anaknya itu. Ayah tidak mengiyakan pesan dan nasihat ibunya. Ayah hanya diam tunduk melihat lantai. Namun, ia sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk menjadikan saya insan berguna,” kata Hayat.

MEMASUKI ALAM PEKERJAAN

Setelah pulang ke tanah air, Hayat bekerja sebagai editor di sebuah syarikat swasta di Kajang, Selangor yang mendapat projek membekalkan buku teks untuk Kelas Agama dan Fardu Ain seluruh Malaysia, buku teks sekolah agama rendah seluruh Johor, buku-buku Kementerian Pendidikan dan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dengan gaji asas RM1,000, beliau mengambil keputusan berkahwin selepas lima bulan bertugas sebagai editor. Dengan gaji sebesar itu, beliau hanya mampu memiliki motosikal honda EX5 yang digunakan untuk berulang alik ke tempat kerja.

Tahun 1999 dan 2000 dikurniakan dua orang puteri penyeri hidup dan kegembiraan itu pastinya datang bersama kos hidup yang semakin bertambah. Alternatifnya, Hayat mengajar al-Quran kepada anak-anak kampung berhampiran, dapatlah menambah pendapatan bulanan sekitar RM200 ke RM250.

“Selepas hampir tiga tahun bekerja, saya mulai sedar yang saya terlupa menghargai kedua ibu bapa. Seolah-olah lupa segala pengorbanan mereka terutama ketika memastikan saya menjejaki bumi Jordan dan belajar di sana.

“Saya sedar, ijazah yang diperoleh masih belum mampu membantu ayah yang masih meneruskan kerja-kerja kampung. Walaupun ayah tak pernah meminta, namun dirasakan dalam sudut hatinya rasa lelah dengan kehidupannya yang masih belum berubah.

“Apalah salahnya untuk saya memberikan sedikit kegembiraan dengan sedikit wang hasil pekerjaan saya. Saya menangis dalam diam. Terasa diri ini bukanlah anak soleh. Yang sepatutnya membahagiakan kedua ibu bapanya.

“Sejak itu saya mula berdoa agar Allah bukakan jalan untuk menambah sumber pendapatan selain gaji sebagai editor. Saya mula melihat dan mengintai peluang di mana sahaja,” katanya. - Utusan Malaysia Rencana 21 September 2016 6:00 PM

Tags: ibubapa
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments