kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Memperkasa kerjaya pensyarah UA

SABAN tahun dalam pembentangan belanjawan negara, sekitar 20 peratus daripadanya diperuntukkan untuk sektor pendidik­an. Peruntukan yang besar ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk terus memba­ngunkan modal insan negara me­lalui perancangan dasar dan strategi pendidikan yang pelbagai dan berterusan. Pelbagai inisiatif dilakukan untuk memartabatkan profesion berkaitan pendidikan, namun persoalannya adakah semua pihak berkepentingan menerima manfaat yang seimbang dan setara?

Kerjaya golongan pendidik di peringkat pengajian tinggi yang lazimnya disebut sebagai pensyarah universiti, adalah satu profesion penting yang sangat kritikal dalam menyediakan modal insan berkualiti untuk memacu pembangunan negara pada masa hadapan. Dalam konteks tempatan, populasi pensyarah universiti awam (UA) semasa adalah sekitar 28,000 orang dalam pelbagai pe­ringkat gred perkhidmatan.



DALAM usaha memperkasa profesion pensyarah universiti awam yang dilihat semakin kurang menarik berbanding profesion perguruan sejak akhir-akhir ini, pendekatan atau model yang serupa wajar dipertimbangkan. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Dengan senario ekonomi semasa yang semakin meruncing, bilangan cendekiawan dan sarjana di UA negara dijangka semakin berkurangan apabila sebahagian besar daripada mereka yang menghampiri umur persaraan wajib tidak lagi ditawarkan kontrak perkhidmatan. Dalam erti kata lain, ilmuwan yang banyak menyumbang bakti dalam mendidik anak bangsa selama ini akan menempuh alam persaraan yang kurang produktif sepertimana kebanyakan rakan penjawat awam lain.

Hakikat yang tidak disedari umum, skim perkhidmatan pensyarah universiti, dalam banyak keadaan, adalah sangat berbeza dengan skim-skim perkhidma­t­an awam lain. Status badan berkanun menjadikan setiap UA memiliki kelebihan untuk me­laksanakan aktiviti urus tadbir­nya secara bebas dengan pemantauan dilakukan oleh organisasi Lembaga Pengurusan Universiti (LPU) masing-masing.

Aspek kawal selia oleh kerajaan masih wujud terutama dalam aktiviti seperti penetapan hala tuju dan dasar, pelantikan keahlian pengurusan tertinggi, penetapan yuran pengajian, dan sebagainya. Namun, di sebalik sedikit kuasa autonomi yang dinikmati, status badan berkanun menjadikan golongan pensyarah universiti tidak memegang taraf penjawat awam sepenuhnya; justeru, mereka tidak berpeluang menikmati semua manfaat yang diperoleh penjawat awam dalam skim-skim perkhidmatan lain.

Sebagai contoh, faedah kemudahan perubatan dan rawatan selepas persaraan bagi golongan ini bukanlah automatik seperti pesara penjawat awam yang bernaung secara langsung di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Selain itu, kemudahan lain semasa dalam perkhidmatan seperti elaun dan kelayakan peng­angkutan udara juga tidak sewenang-wenangnya boleh di­samakan dengan penjawat awam lain kerana ketetapan yang dibuat harus mendapat kelulusan LPU.

Secara perbandingan mudah, elemen pengurusan sesebuah UA dilihat menyamai ciri-ciri pengurusan organisasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Berbanding UA yang ditadbir urus oleh LPU masing-masing, ATM pula ditad­bir urus oleh Majlis Angkatan Tentera (MAT) yang memainkan peranan untuk membuat sesuatu ketetapan dan memberi kelulusan dalam perkara-perkara melibatkan skim perkhidmatan, gaji, kenaikan pangkat dan sebagai­nya.

Dek kerana konsistennya MAT memperjuangkan nasib pegawai dan anggotanya, maka beberapa tahun kebelakangan ini mereka telah memperoleh pelbagai manfaat dalam bentuk pelarasan gaji, penambahan vot perjawatan, penambahbaikan skim perkhidmatan, dan sebagainya. Isu-isu salah tafsir serta ketidakfahaman pihak pengurusan JPA tentang keperluan perkhidmatan ATM turut dapat diselesaikan secara beransur-ansur.

Sehubungan itu, bagi memperkasa profesion pensyarah UA yang semakin dilihat kurang menarik berbanding profesion perguruan akhir-akhir ini, pendekatan atau model yang serupa wajar dipertimbangkan. Kerajaan, menerusi JPA, sewajarnya mengiktiraf kepakaran serta sumbangan pensyarah universiti awam setara dengan sumbangan pasukan ke­selamatan yang mempertahankan kedaulatan negara.

Para ilmuwan yang memerah keringat sejak usia muda untuk mendidik dan membangunkan potensi generasi muda ini, tidak sewajarnya dilupakan terus apabila mereka telah bersara. Pelbagai inisiatif boleh difikir dan digerakkan bagi memastikan kesarjanaan dan ilmu yang mereka miliki terus dikembangkan untuk kemaslahatan masyarakat umum.

Di pihak pengurusan UA pula, inisiatif tersendiri untuk me­ng­angkat martabat profesion ini harus diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan, bukannya di atas kertas semata-mata. Falsafah kerjasama berpasukan, setiakawan, dan saling menyokong antara ahli akademik harus kembali menjadi asas kepada pembuatan sesuatu keputusan. Ketelusan dalam membuat sesuatu keputusan tanpa diba­yangi apa-apa agenda tersembunyi harus menjadi aspirasi pihak pengurusan di semua peringkat.

Semua saranan yang digariskan sememangnya bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan dalam tempoh yang singkat, kerana ia menuntut ‘political will’ dan komitmen jitu daripada pihak kerajaan dan pengurusan tertinggi semua UA, serta anjakan paradigma dan sikap yang drastik dalam diri pensyarah sendiri, namun ia perlu dilakukan bagi menjamin kelangsungan profesion ini serta kecemerlangan pemba­ngunan modal insan negara akan terus terpelihara.

Jika cendekiawan seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Albert Einstein, dan Stephen Hawking terus diingati lama selepas ‘persaraan’ sebenar mereka dari dunia akademik, profesion pensyarah universiti awam harus terus diperkasa agar sumbangan mereka kepada negara juga akan terus mekar sepanjang zaman, insya-Allah.

Tags: pensyarah, perkasa, universiti
Subscribe

Posts from This Journal “perkasa” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments