kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kemahiran tinggi jana pendapatan lumayan

SEBAGAI anak jati Perak yang bermastautin selama 20 tahun di Kedah Darul Aman, banyak perubahan yang jelas kelihatan di negeri itu. Terutamanya di Lembah Sintok yang mana dahulu kawasan ini dikenali sebagai kawasan hitam ekoran ‘dikuasai’ komunis. Kini, kawasan ini cukup membangun dengan tertubuhnya Universiti Utara Malaysia (UUM) yang banyak me­ng­ubah persekitaran kawasan Lembah Sintok ini. Sebagai salah sebuah universiti terbaik di Malaysia dan diiktiraf di peringkat dunia, UUM telah melahirkan ramai graduan yang cemerlang dalam kerjaya masing-masing.

Antara mereka ada yang bergelar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikat dan organisasi terkemuka di Malaysia. Salah seorang daripadanya ialah Mohd. Nazri Zakaria yang kebetulan menabur bakti juga di Lembah Sintok sebagai COO, Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara. Dengan kata lain, selain UUM yang terlebih dahulu di­tubuhkan, Lembah Sintok juga memiliki satu lagi pusat latihan ­untuk sesiapa sahaja yang ingin memiliki kemahiran tinggi dalam industri pembinaan.

Baru-baru ini saya berkesempatan bertemu dengan beliau untuk bertanyakan khabar dan pada masa sama ingin mengetahui tentang ABM Wilayah Utara. ABM Wilayah Utara ini melaksanakan program latihan dan penilaian Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia melibatkan belia, personel binaan dan kontraktor.

Sebagai pusat latihan, ABM ini telah dan sedang me­latih belia-belia yang berumur 18 sehingga 35 tahun agar mereka mahir dalam industri pembinaan. Sayugia diingatkan ABM hanya melatih belia dalam bidang pembinaan semata-mata dan tidak melibatkan bidang-bidang lain. Dalam hal ini, industri pembinaan amat bergantung kepada pekerja yang berkemahiran tinggi.

Ini kerana tanpa kemahiran tinggi, hasil kerja pembinaan sudah tentulah tidak berkualiti dan akan memberi kesan yang besar pada masa akan datang. Misalnya, rumah atau bangunan akan mudah rosak sehingga boleh mendatangkan kerugian besar kepada pemilik rumah dan bangunan tersebut.

Tragedi kren mobil (mobile crane) yang dikatakan melibatkan pekerja warga asing baru-baru ini menunjukkan betapa pentingnya kemahiran tinggi dalam kalangan pekerja tempatan yang terlibat dalam industri pembinaan ini. Industri pembinaan sememangnya membuka peluang besar kepada belia Malaysia untuk menceburinya. Siapa kata industri ini tidak menjamin ganjaran pendapatan yang lumayan kepada pekerja Malaysia?

Menurut Mohd. Nazri, terdapat bekas pelajar ABM Wilayah Utara yang berkemahiran tinggi dalam me­ngendalikan kren mobil mampu memperoleh pendapa­t­an mencecahkan RM10,000 sebulan selepas hanya dua tahun tamat belajar di ABM tersebut.

Dengan kata lain, melalui kemahiran yang cukup tinggi, sesiapa sahaja mampu memperoleh pendapatan tinggi dalam industri pembinaan mengatasi pekerjaan-pekerjaan dalam bidang lain. Malah, pendapatan yang diperoleh melebihi pendapatan kebanyakan mereka yang bergelar graduan selepas dua tahun tamat belajar di menara gading.

Namun, hal ini jarang diperkatakan kepada belia tempatan. Mereka berasakan pekerjaan ini cukup berbahaya, sukar dan kotor (3D). Walhal, di negara-negara maju, kemahiran tinggi adalah tunjang pembangunan dan kemajuan ekonomi negara.

Apa yang berlaku di negara kita, generasi muda atau belia tempatan sering kali dimomokkan kononnya jika tidak dapat memasuki menara gading, maka gelaplah masa depan. Pandangan seperti inilah yang menyebabkan dunia pekerjaan Malaysia dalam bidang kemahiran tinggi terutamanya pembinaan mengalami kekurangan pekerja tempatan.

Bukannya kita tidak mampu mengeluarkan pekerja yang berkemahiran tinggi tetapi faktor kurang berminat disebabkan momokkan sebegini yang merugikan ekonomi negara. Pada masa sama, tidak ramai ibu bapa yang menggalakkan anak-anak mereka menceburi bidang pembinaan ini. Sedangkan jika anak-anak mereka dilatih oleh akademi latihan seperti ABM, 80 peratus sukatan pelajarannya berbentuk amali dan hanya 20 peratus sahaja melibatkan teori semata-mata.

Dalam hal ini, jelas menunjukkan sukatan pelajaran ABM mampu melahirkan ramai para pekerja tempatan yang memiliki kualiti kemahiran yang cukup tinggi. Malah, kursus-kursus yang ditawarkan oleh ABM diiktiraf oleh industri. Tiada siapa boleh menyangkal kualiti pekerja dalam industri pembinaan yang sebelum ini dilatih ABM. Mereka ini bukan setakat dilatih dengan kemahiran tinggi tetapi juga modul latihan yang dipelajari semasa di ABM memenuhi keperluan industri.

Jadi, tiada sebab belia tempatan mahupun ibu bapa perlu ragu-ragu dengan masa depan industri pembinaan terutamanya kerajaan sentiasa memberi penekanan terhadap industri pembinaan. Misalnya, dalam Ranca­ngan Malaysia ke-11 (RMK-11), kerajaan menyasarkan industri pembinaan berkembang pada kadar 10.3 peratus setahun. Industri ini juga dijangka me­nyumbang seba­nyak 5.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2020.

Ini membayangkan betapa industri ini cukup pen­ting buat negara untuk merealisasikan negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Malah, sudah tentulah industri ini akan sentiasa menjadi antara penyumbang utama kepada KDNK Malaysia selepas negara bergelar negara maju berpendapatan tinggi. Di sinilah peranan besar ABM dalam memajukan industri pembinaan negara. Hal ini berlaku sedemikian kerana industri pembinaan memerlukan pekerja tempatan yang berkemahiran tinggi dalam merangsang ekonomi negara pada tahap terbaik.

Industri pembinaan berpotensi besar membuka peluang kerjaya yang cukup cerah kepada warga tempatan yang berkemahiran tinggi dalam menjana pendapatan lumayan untuk masa depan mereka. Cuma apa yang penting di sini, rakyat Malaysia terutamanya generasi muda perlu berkeyakinan tinggi bahawa kerjaya sebegini mampu membina masa depan yang cemerlang buat mereka. - Dr Rohami Shafie Utusan Malaysia Rencana 21 September 2016 6:30 PM

Tags: pendapatan
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments