Ranking bukanlah segala-galanya. Ranking universiti adalah satu perniagaan besar bersifat global.
Kerana itu, ketika pengumuman tentang kedudukan ranking terbaharu universiti dibuat baru-baru ini dinyatakan dengan jelas, "ranking pada tahun ini bergantung kepada berapa banyak pelaburan yang dibuat yang akan menentukan naik atau turun kedudukan sesebuah institusi.
Universiti di negara yang menyediakan jumlah yang besar terhadap sasarannya sama ada dari endowment atau dana awam akan meningkat kedudukannya.'
Malah dalam satu penerangan tentang ranking oleh QS World University Rankings (QSWUR) di sebuah universiti awam, disebutkan dengan jelas bahawa ranking adalah satu bentuk perniagaan dengan kenyataan misi yang jelas.
Naib Canselor Universiti Malaya Tan Sri Profesor Dr. Mohd. Amin Jalaludin dalam responnya terhadap pencapaian cemerlang dalam ranking seperti yang dilaporkan BH, universiti itu hilang momentum yang dibinanya dalam usaha pengantarabangsaan dan pengambilan pelajar yang punca utamanya bersebab dengan pengurangan dana yang dihadapinya sejak dua tahun lalu susulan masalah ekonomi.
UNIVERSITI di negara ini perlu kembali kepada roh ilmu dan fundamental penubuhannya. - Foto hiasan |
Kayu ukur universiti
Berapa banyak kos yang terbabit untuk memastikan sesebuah universiti boleh berada pada kedudukan dalam ranking yang baik?
QSWUR menawarkan pelbagai pakej dari harga AS$30,400 hingga AS$42,000 untuk pelbagai perkara yang jika dikira keseluruhannya dalam mata wang Malaysia mencecah jutaan ringgit.
Maknanya setiap setiap universiti perlu memperuntukkan tidak kurang dari RM1 juta hanya untuk membeli pakej-pakej yang ditawarkan bagi memastikan kedudukannya meningkat saban tahun.
Apakah kayu ukur yang dibuat untuk meletakkan kedudukan sesebuah universiti?
Pertama ialah Reputasi Akademik yang diambil daripada kaji selidik tahunan yang dibuat untuk menilai persepsi akademik seluruh dunia. Markah yang diberi ialah 40 peratus.
Ini diikuti oleh Reputasi Majikan yang juga diambil dari kaji selidik oleh QS untuk melihat persepsi dan pandangan majikan seluruh dunia yang dikatakan membabitkan profesional dengan markah 20 peratus.
Kriteria lain ialah pelajar Fakulti yang melihat kepada nisbah di antara jumlah ahli akademik dengan pelajar.
Bilangan pensyarah yang lebih besar berbanding pelajar dikatakan indikator utama yang menunjukkan komitmen kualiti oleh sesebuah institusi. Kriteria ini memberi markah 20 peratus.
Sementara itu, yang juga dianggap penting ialah Sitasi per Fakulti yang memerlukan data tentang jumlah nisbah purata sitasi untuk setiap ahli fakulti dengan anggaran impak dan kualiti kerja-kerja saintifik oleh universiti.
Data ini diambil dari Scopus yang diterima pakai oleh universiti seluruh dunia. Kriteria ini diberikan pemberatan 20 peratus dalam penilaian.
Turut diukur ialah Fakulti Antarabangsa iaitu pengukuran indeks yang berdasarkan nisbah staf akademik antarabangsa dengan tempatan dengan kemampuan menarik lebih ramai ahli akademik luar negara untuk berkhidmat di universiti berkenaan berdasarkan lokasi dan tarikan yang ada. Ini membabitkan lima peratus markahnya.
Yang terakhir ialah jumlah Pelajar Antarabangsa yang diberikan pemberatan lima peratus yang mengambil kira jumlah pelajar antarabangsa yang berjaya diambil oleh sesebuah universiti.
Berdasarkan enam kriteria, hanya Sitasi per Fakulti yang sebenarnya dianggap diterima sebagai satu gambaran kerja saintifik universiti dengan data yang khusus dan diterima pakai.
Yang lain-lainnya boleh diubahsuai data mengikut tafsiran institusi, manakala dua pengukuran lain adalah berdasarkan kepada persepsi.
Lihat ranking pelbagai aspek
Yang akan menentukan bilangan pensyarah luar pula adalah bergantung kepada tarikan yang ada dan kemampuan ganjaran yang ditawarkan serta tafsiran yang diberi kepada mereka yang datang untuk memberi syarahan di universiti berkenaan sama ada misalnya pensyarah kunjungan yang datang seketika turut tersenarai dan jika pula diambil secara tetap, bagaimana pula hasrat untuk memastikan ahli-ahli akademik dalam kalangan anak tempatan dengan kos besar diberi untuk menghasilkan kepakaran tidak pula diketepikan.
Begitu juga dengan pengambilan pelajar luar negara. Sejauh mana kualiti mereka yang diambil itu dijaga mengikut ketetapan Senat dengan ukuran syarat yang dianggap berkualiti perlu juga diambil kira.
Kita boleh melihat ranking dari pelbagai aspek, namun dalam keadaan ekonomi sekarang dan dana yang ada di universiti semakin kecil, mampukah atau perlukan universiti kita terus membuat pelaburan yang besar semata-mata untuk dikatakan hebat dalam ukuran ranking yang diberi.
Malah jika pun kita mempunyai dana yang besar untuk tujuan itu, perlukan kita melakukannya dengan meletakkannya sebagai satu keutamaan berbanding dengan keperluan untuk menyediakan lebih banyak kemudahan yang lebih baik di universiti awam termasuk untuk tujuan penyelidikan dan Inovasi.
Ironisnya, ada dalam kalangan kita yang satu ketika dahulu bermati-matian menganggap ranking sebagai sampah, malah sanggup untuk menyaman pihak berkenaan kerana menggunakan data yang tidak diberikan, hari ini menjadi antara yang terawal menghentam universiti yang jatuh kedudukannya.
Kadang-kadang agaknya kita semakin keliru dengan apa yang kita mahukan.
Pada akhirnya kita bertanya ranking itu untuk apa dan pada setiap tahun akan terus berada dalam kebimbangan untuk melihat adakah kita berada pada ranking yang tinggi atau rendah.
Ekosistem kita dan falsafah pendidikan kita, tujuan asas penubuhan universiti, tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara, tugas pembinaan negara bangsa serta kepentingan melahirkan siswazah miliki jati diri dan berdaya saing tentunya lebih penting dari segalanya.
Kita perlu kembali kepada fundamental dan membuat muhasabah dari mana kita bermula dan bagaimana untuk kekal relevan dan berupaya bersaing pada peringkat global dalam konteks keilmuan.
Tidakkah ranking sebahagian proses dekolonialisasi pemikiran dan perniagaan terhadap dunia akademik?