kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Isu rumah selesai jika semua jujur

Ibarat ayah yang sedang menderita sakit tenat, ubat yang paling mujarab perlu dicari bagi menyembuhkannya. Semua ahli keluarga ingin membantu.

Ada yang mencadangkan segala bentuk ubat tradisional, termasuk akar, bunga, pucuk dan ulam, buah dan sebagainya. Bukan setakat perubatan moden, pelbagai pawang dan bomoh diusahakan, tidak kurang juga yang mencadangkan ayah diberi minum pelbagai jenama air penawar.

Namun, ayah tetap tidak sembuh. Malah, kaki semakin membengkak. Batuk semakin menjadi-jadi. Demam masih belum kebah. Ayah terlantar kesakitan. Ubat paling mujarab perlu dicari segera.

Maka datang seorang pemuda, hatinya mulia, mencadangkan ayah perlu dibawa berjumpa pakar yang berpengalaman dan berkelayakan.

Sama juga dengan isu perumahan di negara kita.


ANTARA projek perumahan yang gagal diusahakan oleh pemaju. - Gambar hiasan
Sudah pelbagai pandangan dikemukakan untuk menangani isu perumahan.

Semua mereka sangat prihatin untuk membantu menyelesaikan masalah perumahan di negara kita.

Ada yang menyarankan supaya pihak bank memudahkan dan membuka kemudahsampaian yang lebih luas kepada pinjaman akhir untuk pembeli yang layak.

Tidak kurang juga yang menyarankan ibu bapa menjadi penjamin apabila anak ingin membeli rumah pertama.

Begitu juga, ada yang memberi cadangan supaya pihak kerajaan membenarkan pemaju menyediakan deposit atau bayaran pendahuluan untuk membeli rumah.

Ada juga yang mencadangkan supaya ditubuhkan Bank Tanah Negara. Nampaknya, isu perumahan sudah menjadi isu negara.

Maka, jalan penyelesaian perlu dicari untuk menyelesaikannya.

Ramai mengetahui Karl Marx hanya sebagai pelopor fahaman komunis, bukan sebagai 'Bapa Kapitalis'. Kurang pula yang mengenalinya sebagai seorang yang mendalami bidang pembangunan ekonomi.

Sebenarnya Karl Marx menyiapkan tesis kedoktorannya dalam bidang pembangunan dengan menumpu pada peranan modal. Tajuk tesis kedoktorannya ialah Das Capital atau Modal yang disiapkan di Universiti Jena pada 1841.

Kaut untung maksimum

Beliau membukukannya. Menurut beliau, pihak yang berkepentingan dalam rangkaian modal sering berebut mengaut untung maksimum demi kepentingan perniagaan masing-masing.

Benar, lihat pada hari ini, kebanyakan pihak dalam industri perumahan berebut-rebut mencari ruang dan peluang untuk mengaut keuntungan. Tidak kurang juga yang mengeluarkan cadangan demi kepentingan masing-masing. Di manakah kejujuran?

Kita masih tercari-cari pakar yang mampu menyelesaikan isu perumahan dengan ubat yang paling mujarab iaitu kejujuran dan keikhlasan melalui kepakaran yang bernilai tinggi.

Seorang lagi pakar dalam bidang pembangunan hartanah ialah Prof Patsy Healey dari Universiti New Castle, England. Beliau banyak mengkaji impak minyak dan gas terhadap pembangunan ekonomi dan perumahan di Venezuela.

Katanya, pihak yang terbabit dalam industri pembangunan perumahan, akan mencari jalan untuk memanfaatkan semua peraturan yang ada bagi kepentingan masing-masing.

Dalam hal ini, tidak semua peraturan (bertulis dan yang tidak bertulis) dapat difahami dan dilaksanakan dengan mudah dan murah. Selalunya, undang-undang lebih cenderung untuk mengawal dan menyekat, bukan memudah dan membolehkan.

Undang-undang memerlukan kos untuk dilaksanakan. Inilah yang dinamakan kos transaksi dalam pendekatan ekonomi analisis institusi.

Masalah kewangan pembeli

Nampaknya, isu perumahan banyak berlegar sekitar modal dan kemampuan kewangan. Menurut Bank Negara Malaysia, isunya bukan kemudahsampaian pinjaman bank, tetapi ketidakmampuan kewangan pembeli disebabkan kos sara hidup yang melambung tinggi di luar jangkauan rakyat kebanyakan.

Lagipun, bilangan rumah dengan harga pada julat kemampuan pembeli kurang di pasaran. Pada satu seminar di Kuala Lumpur, Profesor M A Mannan yang tersohor dalam bidang ekonomi perbankan Islam menyarankan ditubuhkan Bank Wakaf Sedunia.

Modal boleh disalurkan melalui pelbagai sumber. Wang yang dibekukan dan tidak dituntut sahaja hampir RM60 bilion di negara kita. Melalui dana sumbangan negara Islam dan korporat Islam, tidak mustahil Bank Wakaf Sedunia boleh ditubuhkan.

Bank ini sudah tentu dapat menyalurkan bantuan untuk membina dan membeli rumah kepada pembeli yang memerlukan dan berkelayakan dengan syarat yang mampu dipenuhi rakyat.

Dalam konteks ini, sudah tentu Bank Wakaf Sedunia bergerak dengan asas keimanan, keikhlasan dan kejujuran sejati demi kesejahteraan ummah seantero dunia.

Lantaran, semua pihak perlu bekerjasama melahirkan pandangan bernas, ikhlas dan berpaksi kejujuran dalam menyelesaikan isu dan masalah perumahan ini.

Dalam perkara ini, kelihatan pihak Majlis Profesor Negara adalah satu agensi yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan. Mereka adalah pemikir negara.

Badan ini mempunyai beratus-ratus profesor dan pemikir yang berpengalaman dan berkelayakan dalam bidang berkaitan perumahan dan pembangunan ekonomi.

Sesungguhnya, mereka mempunyai banyak idea praktikal yang diperkasa melalui penyelidikan dan perundingan dalam dan luar negara. Sudah tentu pandangan mereka berdasarkan 'amalan terbaik' yang boleh dijadikan teladan untuk menyelesaikan masalah perumahan di negara kita.

Tentu sekali, mereka mempunyai tanggungjawab sosial kepada masyarakat kerana dari masyarakat mereka datang dan kepada masyarakat mereka harus kembali.

Dengarnya, mereka sudah mengorak langkah demi menghulur bantuan untuk menyelesaikan masalah perumahan rakyat. Barangkali, melalui kepakaran dan kebitaraan demi berjuang untuk rakyat, semakan Dasar Perumahan Negara (DRN) boleh dilakukan dengan jujur dan cermat.

Begitu juga dengan pembentukan Pelan Induk Transformasi Perumahan Negara yang perlu dikaji dengan teliti dan profesional. Apalah gunanya pokok yang besar kalau tidak ada buahnya.

Tidak juga boleh dijadikan tempat berteduh. Apalah gunanya ilmu yang tinggi sekiranya tidak dapat dimanfaatkan dek rakyat yang memerlukan.

Itulah pakar yang perlu ditemui untuk mendapatkan ubat paling mujarab bagi mengubati penyakit perumahan yang memerlukan bantuan segera.
Tags: ekonomi, kapitalisme, komunis, rumah
Subscribe

Posts from This Journal “komunis” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments