?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Pertunangan: Adat vs. undang-undang

Gagah hulubalang memegang panji

Dayang menari bertingkah irama

Adat bertunang meterai janji

Menanti hari disanding bersama

Merisik, bertunang dan seterusnya bernikah. Secara umumnya, itu adalah fasa yang akan dilalui oleh setiap pasangan tidak kira bangsa mahupun agama. Penulis yakin bangsa-bangsa selain Melayu turut melalui hala tuju kehidupan yang sama; cuma caranya mungkin sedikit berbeza. Tidak kira betapa modennya sesebuah keluarga tersebut, adat istiadat yang diamalkan dari zaman nenek moyang kita tidak mungkin dilupakan begitu saja.

Pada entri kali ini, penulis ingin berkongsi mengenai pertunangan. Pertunangan adalah suatu perjanjian untuk melangsungkan perkahwinan di suatu masa akan datang.

Pasti ramai yang tidak tahu atau kurang peka bahawa sebenarnya, pertunangan itu sendiri diiktiraf dari sudut undang-undang. Apakah pandangan undang-undang terhadap pertunangan? Adakah anda terutamanya wani­ta tahu hak anda sekiranya pertunangan dibatalkan? Apakah yang boleh dituntut daripada pihak lelaki? Mari kita rungkaikan satu per satu.

Ramai yang beranggapan atau berpendapat bahawa pertunangan adalah adat semata-mata.

Di Malaysia, walaupun tiada undang-undang spesifik berkenaan tindakan yang boleh diambil oleh sesuatu pihak terhadap kemungkiran janji untuk berkahwin (breach of promise to marry), seseorang individu, tidak kira lelaki mahupun wanita, boleh mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Kontrak 1950. Dalam hal ini, sesuatu pihak itu perlu memenuhi tiga elemen iaitu tawaran (offer), penerimaan (acceptance), dan balasan (consideration).

Di sini, tawaran merujuk kepada janji untuk berkahwin, penerimaan merujuk kepada persetujuan untuk berkahwin dan balasan merujuk antara lainnya kepada tindakan yang menunjukkan persetujuan untuk berkahwin (sebagai contoh, bakal pengantin perempuan telah berhenti bekerja untuk mengikut bakal suaminya). Ele­men yang dinyatakan di atas tidak semestinya dalam bentuk tulisan, cukup sekadar lisan. Asalkan terdapat bukti yang cukup menunjukkan terdapat tawaran, penerimaan dan balasan, itu sudah memadai. Tindak-tanduk pasang­an tersebut juga boleh membentuk salah satu bukti material yang menunjukkan bahawa pasangan tersebut te­lah bersetuju untuk berkahwin (mutually agree to marry).

Selain kriteria yang dinyatakan di atas, sebelum seseorang individu berkenaan mengambil tindakan mahkamah, peruntukan undang-undang lain juga perlu diambil kira. Antaranya, sekiranya pasangan berkenaan beragama Islam, maka Seksyen 14(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 adalah terpakai. Peruntukan ini, antara lain, melarang wanita Islam yang sudah berkahwin memasuki perjanjian untuk berkahwin dengan lelaki yang lain.

Sekiranya pasangan berkenaan bukan beragama Islam, maka Seksyen 5(3) Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan Dan Penceraian) 1976 adalah terpakai. Seksyen ini memperuntukkan bahawa lelaki mahupun wanita bukan Islam tidak boleh berkahwin lebih daripada satu (monogamy).

Penulis telah menjelaskan elemen-elemen yang perlu dipenuhi sebelum tindakan boleh diambil untuk kemungkiran perjanjian berkahwin tadi. Sekarang mari kita lihat apa yang boleh dituntut oleh mangsa mungkir janji tersebut. Dalam bahasa mudah difahami, apa yang boleh dituntut dalam kes mungkir janji untuk berkahwin ini seakan-akan tuntutan kemungkiran kontrak.

Antaranya, tuntutan ganti rugi am dan ganti rugi khas. Ganti rugi am akan dinilai oleh mahkamah berdasarkan fakta sesuatu kes manakala ganti rugi khas adalah ganti rugi yang boleh dinilai. Contoh ganti rugi khas yang boleh dituntut ialah antaranya perbelanjaan persiapan perkahwinan. Sebagai tambahan kepada ganti rugi am dan ganti rugi khas di atas, pihak yang teraniaya juga boleh menuntut semula hadiah atau barang hantaran sewaktu majlis pertunang­an.

Di Malaysia, tindakan undang-undang berhubung kemungkiran janji untuk berkahwin bukanlah sesuatu perkara baharu. Ada pihak yang memfailkan tuntutan seumpama ini dan mereka telah berjaya, dan ada juga sebaliknya. Sebagai contoh, dalam kes Maria Tunku Sabri v. Datuk Wan Johani Wan Hussin [2011] 8 CLJ 859, plaintif (wanita) dalam kes ini menuntut daripada defendan ganti rugi kemungkiran janji untuk berkahwin. Bagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan plaintif kerana pada ketika itu, plaintif masih berada di dalam suatu perkahwinan yang sah. Ini bertentangan dengan Seksyen 14(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 yang memperuntukkan wanita yang telah berkahwin tidak boleh berkahwin dengan lelaki yang lain pada masa sama. Ekoran itu, sebarang janji untuk berkahwin yang telah diberi kepada wanita tersebut ketika tempoh perkahwinannya, adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Selanjutnya, dalam kes RS Thanalachimi v. Sundararaju Mattaya [2011] 7 CLJ 197, Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan plaintif (wanita) untuk kemungkiran janji untuk berkahwin dengan mengambil kira tindakan plaintif yang dengan rela hati meninggalkan rumah dan kerjayanya di London, England untuk mengikut defendan ke California, Amerika Syarikat selepas defendan berjanji untuk mengahwininya.

Berdasarkan kes-kes di atas, adalah jelas bahawa tuntutan suatu pihak yang teraniaya ekoran ‘putus tunang’ ataupun kemungkiran janji untuk berkahwin adalah suatu tuntutan yang diiktiraf dan sah di sisi undang-undang kita.

Cuma pada pandangan penulis, mungkin kita tidak peka dengan hak ini atau hak ini hanya dipandang enteng. Kita terlalu mengambil kira kata-kata yang dilontarkan oleh masyarakat. Secara amnya, kata-kata tersebut berbunyi; “Buat apa nak saman-saman ni? Dah la tanggung malu, tak jadi kahwin…”

Sepatutnya, ini bukanlah sikap yang harus dipilih. Undang-undang telah digubal untuk memberi remedi kepada individu yang teraniaya. Kita seharusnya mengambil kesempatan dalam mempertahankan hak kita di sisi undang-undang. Kata-kata kesat yang mungkin dilontar oleh masyarakat bukanlah menjadi suatu kriteria dalam mempertahankan hak kita di bawah undang-undang. - M Reza Hassan Utusan Malaysia Rencana30 September 2016 6:00 PM

Latest Month

September 2019
S M T W T F S
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930     

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow