kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Elak kehamilan tidak dirancang

MEMPUNYAI cahaya mata sendiri merupakan impian bagi setiap individu yang telah berkahwin. Pun begitu, setiap keluarga perlulah merancang kehamilan supaya dapat mengelak kehamilan yang tidak dimahukan.

Walaupun setiap anak ada rezekinya yang sudah ditentukan oleh Tuhan, namun sebagai ibu bapa, anda masih tetap perlu merancang. Ini kerana kesihatan seorang wanita mempengaruhi keadaan tubuhnya kala hamil. Misalnya menjarakkan kehamilan selama dua tahun bagi wanita yang pernah melahirkan secara pembedahan.



Kelahiran anak yang membahagiakan.

Setiap wanita berhak mengetahui pelbagai kaedah untuk mencegah dirinya hamil. Terdapat pelbagai akses untuk mendapatkan informasi mengenai hubungan seksual dan kaedah mencegah kehamilan bagi suami isteri. Justeru usah biarkan diri anda tenggelam dan tidak peka terhadap kaedah ini sekali gus menjerumuskan diri anda kepada kehamilan tidak dirancang.

Profesor dan Pengerusi Jabatan Sakit Puan dan Gynecologi, Western University of Health Science, Los Angeles, Dr Anita Nelson berkata, dengan pelbagai kaedah kontraseptif di pasaran dengan mekanisme pengambilan berbeza, seseorang wanita itu perlu peka terhadap manfaat dan risiko mengenai setiap kaedah. Mereka juga perlu sedar mengenai keberkesanan kaedah bergantung kepada gaya hidup dan latar belakang seseorang itu termasuklah cara penggunaan yang betul.

Bukan hanya kondom

Lazimnya, seseorang wanita dan pasangannya lebih biasa menggunakan kaedah kondom untuk mencegah kehamilan. Sebenarnya terdapat pelbagai lagi kaedah yang moden bagi tujuan tersebut.

“Wanita selalunya pasrah apabila mendapati dirinya hamil sedangkan tidak merancang untuk hamil pun. Apabila datang berjumpa saya, dan saya bertanya hal ini, jawapan mereka selalunya ia berlaku tanpa dirancang. Ini menunjukkan bahawa kebanyakan pasangan kurang berpengetahuan mengenai kaedah kontrasepsi yang lebih berkesan berbanding penggunaan kondom yang dikhuatiri mudah terkoyak,” ujar Dr Anita Nelson.

Kekurangan pengetahuan mengenai hal ini menyebabkan ramai wanita tidak mengambil sebarang kaedah mencegah kehamilan. Lantas terkeliru dengan kesan sampingan penggunaan kaedah mencegah kehamilan yang selalunya hanya mitos. Ramai wanita bimbang pengambilan kaedah mencegah kehamilan jenis hormon akan mengganggu proses kesuburan semula jadi mereka sedangkan ini tidak benar sama sekali.

Penggunaan kaedah mencegah kehamilan ini sebenarnya penting supaya seseorang wanita itu tidak hamil walaupun melakukan hubungan seks. Kehamilan yang tidak dirancang akan menjurus kepada proses menggugurkan bayi iaitu satu jalan yang kurang beretika.

Kaedah

Antara kaedah mencegah kehamilan adalah pil perancang keluarga, pelekat (patch), gegelang (ring), IUD, IUS, implan dan suntikan. Ada juga kaedah yang biasa misalnya penggunaan kondom dan kaedah tradisional misalnya pengiraan waktu subur berdasarkan kitaran haid dan kaedah withrawal (memancutkan air mani di luar faraj)

Setiap kaedah yang digunakan mempunyai keberkesanan yang tersendiri. Setiap wanita perlu bertemu dengan doktor yang bertauliah untuk mengenal pasti kaedah yang sesuai dengan dirinya. Ketahui pilihan yang ada dan buatlah pilihan yang tepat.

Guttmacher Institute melaporkan 22 peratus daripada seluruh wanita berusia reproduktif di Asia tidak mengamalkan sebarang kaedah mencegah kehamilan atau menggunakan kaedah yang kurang berkesan (kaedah tradisional). Wanita sebegini membawa kepada 77 peratus kehamilan tidak dirancang.

“Saya bimbang dengan keadaan wanita yang kurang pendedahan terhadap perancangan keluarga. Wanita sepatutnya lebih terbuka dan rajin berbincang dengan pakar sakit puan mengenai hal mencegah kehamilan. Mereka berhak memilih kaedah terbaik berdasarkan gaya hidup dan bukannya berdepan dengan risiko hamil tanpa dirancang,” kata Penasihat Sakit Puan dan Gynecologi, Dr Tang Boon Nee.

Untuk maklumat lanjut mengenai kaedah mencegah kehamilan dan aktiviti seksual yang lebih sihat, Bayer Malaysia memperkenalkan laman sesawang berinformasi lengkap. Boleh layari www.howuknow.com.

Tags: anak
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments