KITA semua tahu bahawa Pas ada mengemukakan satu usul di Parlimen untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355). Daripada carian saya, sehingga ke hari ini belum ada rang undang-undang dibuat untuk tujuan itu. Yang ada hanyalah usul Pas yang ringkas itu. Jadi, segala perbincangan mengenainya hanyalah berdasarkan usul itu. Itu pun saya percaya banyak orang, termasuk ahli politik yang membuat kenyataan mengenainya, tidak membacanya.
Pindaan itu bertujuan menggantikan seksyen 2 Akta berkenaan dengan seksyen 2 dan 2A baharu.
Seksyen 2 baharu memperuntukkan:
“2. Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Undang-Undang Persekutuan.”
Seksyen 2A baharu memperuntukkan:
“2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas, selain hukuman mati.”
Jelas sekali bahawa seksyen 2 baharu itu tidak memperuntukkan apa-apa perkara baharu, hanya mengulangi undang-undang yang sedia ada.
Tetapi, yang lebih penting ialah seksyen 2A baharu yang dicadangkan itu. Perbezaan paling ketara antara pindaan yang dicadangkan dengan seksyen 2 yang ada sekarang ialah bahawa undang-undang yang ada sekarang mengandungi syarat (proviso) seperti berikut:
“Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima RM5,000 atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman tersebut.”
Kesan pemansuhan syarat dalam seksyen 2 yang ada sekarang ialah bahawa tidak ada lagi sekatan mengenai jenis dan had hukuman yang Dewan undangan negeri boleh peruntukkan kepada Mahkamah Syariah. Dewan undangan negeri (DUN) boleh membuat undang-undang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan semua hukuman yang dibenarkan oleh hukum syarak (dan fiqh) termasuk hukuman hudud dan qisas, kecuali hukuman mati.
Itulah kesannya. Tetapi, setakat mana DUN boleh mewujudkan kesalahan-kesalahan untuk dikenakan hukuman-hukuman itu adalah satu perkara lain.
Dalam hal ini, Pas mengatakan bahawa pindaan itu hanyalah untuk menaikkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan tidak kena-mengena dengan agenda hududnya. Kenyataan seperti itu boleh berbangkit daripada dua sebab. Pertama, pemimpin-pemimpin Pas sendiri tidak faham kesan pindaan yang dicadangkan oleh mereka. Kedua, mereka faham dan tahu kesan yang sebenar, tetapi mereka berkata demikian (kepada bukan ahli Pas) kerana tujuan politik: untuk mengelirukan orang-orang yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud (Islam dan bukan Islam) dan memudahkan UMNO menyokongnya. Kepada ahli Pas, semestinya mereka akan mengatakan tujuan sebenar pindaan itu dan kesannya.
Saya yakin, sebenarnya pemimpin-pemimpin Pas faham dan tahu kesan pindaan yang dicadangkan oleh mereka itu. Mereka bukan bodoh, malah dalam isu hudud itu, dari segi politik, Pas lebih cerdik daripada UMNO. Maka, saya menolak alasan pertama. Oleh itu, alasan Pas berkata demikian adalah alasan kedua.
Nampaknya pemimpin-pemimpin UMNO turut melaungkan (echoing) apa yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpin Pas itu. Saya percaya mereka berbuat demikian atas sebab atau sebab-sebab yang saya sebutkan di atas. Di sini, saya percaya, ada pemimpin UMNO itu yang tidak faham dan turut mengulangi apa yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpin Pas kerana mereka tidak mahu UMNO dilihat sebagai “menentang hudud”, satu lagi salah anggapan. Maka, mereka termasuk ke dalam perangkap Pas sekali lagi.
Saya juga percaya ada pemimpin UMNO yang faham kesannya yang sebenar, tetapi mereka ingin berada dalam arus utama. Maka, mereka juga turut melaungkan kenyataan yang sama dengan harapan akan memuaskan semua pihak yang, bagi saya, adalah satu anggapan yang meleset.
Selain itu, ada pula yang mengatakan bahawa pindaan itu hanya melibatkan negeri Kelantan. Ini juga tidak betul. Akta 355 adalah undang-undang Persekutuan. Maka akta ini terpakai di seluruh Malaysia. Usul tersebut tidak berkata akan terpakai di Kelantan sahaja.
Satu perkara lagi yang dikatakan ialah akta ini hanya mempunyai kesan terhadap orang Islam. Itu betul kerana kesalahan-kesalahan di bawah Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan hanya terpakai kepada orang Islam dan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam sahaja.
Apa yang Pas boleh buat jika pindaan itu diluluskan? Jawabnya, Kerajaan Pas Kelantan bolehlah menggerakkan DUN Kelantan untuk meluluskan undang-undang memperuntukkan hukuman hudud kepada kesalahan-kesalahan hudud yang termasuk di bawah Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan seperti berzina, menuduh perempuan berzina, meminum minuman yang memabukkan dan murtad. (Saya tidak mahu berhujah sama ada kesalahan-kesalahan itu kesalahan hudud atau tidak. Untuk tujuan rencana ini, saya terima bahawa ini adalah kesalahan hudud).
Undang-undang itu hanya terpakai kepada orang Islam. Memanjangkannya kepada kesalahan undang-undang jenayah yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan dan juga kepada orang bukan Islam akan menjadikan peruntukan-peruntukan berkenaan tak keperlembagaan, tak sah dan batal. (Perlu diingatkan bahawa, negeri-negeri lain juga boleh melakukan perkara yang sama)
Saya ulangi bahawa saya tidak mahu mengulas mengenai pendirian yang diambil oleh Pas dan UMNO berhubung pindaan itu dan pelaksanaan hudud. Saya serahkan hal itu kepada parti berkenaan. Itu soal dasar parti masing-masing.
Saya cuma mahu melihat pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas memahami kesannya yang sebenar, membuat keputusan berdasarkan pemahaman yang betul, menceritakan kepada orang ramai pendirian masing-masing yang sebenar dan tidak terkeliru dan mengelirukan orang ramai.
Tidak kurang pentingnya juga, ahli-ahli akademik yang membentang kertas kerja di seminar-seminar perlulah memahami isu perundangan dan keperlembagaan dalam perkara ini dan tidak membawa peserta-peserta seminar dan menyesatkan mereka dalam hutan belantara ilmu.
Akhirnya, terserahlah kepada orang ramai untuk menilainya dan mengambil pendirian masing-masing. - Tun Abdul Hamid Muhamad Utusan Malaysia Rencana 07 Oktober 2016 6:00 PM