kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Hak kebebasan berhimpun

DALAM masyarakat demokratik, rakyat memainkan peranan penting menyemak dan mengimbangi (check and balance) cabang-cabang kerajaan supaya tidak berlakunya penyalahgunaan kuasa. Artikel 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan digubal demi mengambil kira peranan ini.

Artikel itu mengiktiraf hak rakyat berhimpun secara aman, dengan syarat perhimpunan itu dilangsungkan tanpa senjata. Hak berhimpun memberi peluang kepada masyarakat untuk menyatakan pandangan mereka terhadap apa-apa keputusan ataupun dasar kerajaan.

Hak ini penting kerana melalui perhimpunan tersebut, kerajaan mampu mengukur sentimen awam terhadap sesuatu keputusan atau dasar. Tindakan dan langkah-langkah sewajarnya kemudian dapat di ambil untuk menangani isu tersebut.

Keberkesanan hak berhimpun ini dapat dilihat apabila pihak British terpaksa membatalkan rancangan mereka untuk menubuhkan Malayan Union ekoran bantahan masyarakat Melayu ketika itu.

Walaupun contoh ini adalah sebelum termeterainya Perlembagaan Persekutuan, namun ini contoh baik yang menunjukkan hak berhimpun memainkan peranan amat penting dalam membentuk sejarah Tanah Melayu.

Bagaimanapun, hak berhimpun di bawah Perlembagaan Persekutuan bukan suatu hak yang mutlak. Perhimpunan yang bertujuan mengganggu-gugat ketenteraman awam tidak diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan.

Di dalam kes Meor Safizal Meor Mohamed Amin & Yang Lain lwn. PP [2015] 4 CLJ 709, Hakim Mahkamah Rayuan menyatakan bahawa: “Berhimpun secara aman bukanlah satu kesalahan, malah satu hak yang dijamin oleh per.10 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Namun, seperti juga hak-hak kebebasan yang lain, hak ini bukanlah satu hak yang mutlak tanpa batasan atau sekatan. Perkataan ‘aman’ itu sendiri membawa maksud bebas daripada keadaan kacau-bilau, gangguan atau suasana yang tidak menyenangkan: lihat Kamus Dewan Edisi keempat.

Bukan sahaja perlu diadakan secara aman, per.10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan juga mengandungi syarat tersirat bahawa peserta perhimpunan tidak dibenarkan membawa apa-apa senjata semasa berhimpun. Justeru, perhimpunan yang menimbulkan keadaan kacau-bilau, gangguan atau suasana yang tidak menyenangkan bukanlah satu perhimpunan aman dalam erti kata per.10 Perlembagaan Persekutuan.

Begitu juga sekiranya ada dalam kalangan peserta yang membawa senjata. Mana-mana orang yang menyertai atau te­rus menyertai perhimpunan yang mempunyai unsur-unsur tersebut tidak boleh berselindung di sebalik per.10 Perlembagaan Persekutuan untuk melepaskan diri daripada tindakan undang-undang.”

Di samping itu, Artikel 10(2)(b) Perlembagaan Persekutuan juga memberi kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang mengekang kebebasan berhimpun bagi kepentingan keselamatan negara atau ketenteraman awam. Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah salah satu contoh akta yang mengawal perhimpunan di negara ini.

Sebelum itu, perhimpunan awam di Malaysia dikawal selia oleh Seksyen 27 hingga 27 C Akta Polis 1967. Tanpa permit polis, satu perhimpunan atau perarakan lebih daripada tiga orang dianggap tidak sah dan menyalahi undang-undang di bawah Akta Polis 1967.

Akan tetapi, hak Parlimen untuk mengekang kebebasan berhimpun menurut Artikel 10(2)(b) Perlembagaan Persekutuan mestilah munasabah. Dalam kes Nik Nazmi Nik Ahmad v. PP [2014] 4 CLJ 944, Hakim Mahkamah Rayuan menyatakan bahawa: “I have earlier referred to the decisions of our courts in Sivarasa Rasiah v. Badan Peguam Malaysia, supra, and Dr. Mohd. Nasir Hashim v. Menteri Dalam Negeri, supra, as requiring laws passed imposing fetters on the right of peaceable assembly under art. 10 to satisfy the test of “reasonable restrictions.” Sesuatu undang-undang yang tidak munasabah boleh diputuskan oleh Mahkamah sebagai tidak menurut Perlembagaan dan tidak sah.

Pada hemat penulis, bagi memastikan sesuatu perhimpunan itu dijalankan mengikut lunas undang-undang, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing. Bagi pihak yang berhimpun, mereka bertanggungjawab mematuhi peraturan dan mengikut arahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa manakala bagi pihak berkuasa pula, mereka bertanggungjawab memastikan ketenteraman awam kekal terjamin.

Salah satu contoh terbaik perhimpunan yang berjaya dijalankan dengan aman adalah perhimpunan Bersih yang diadakan di Dataran Merdeka pada Ogos tahun lepas dan perhimpunan baju merah yang diadakan di Padang Merbok pada September tahun lepas.

Kedua-dua perhimpunan ini mempamerkan kerjasama baik di antara pihak penganjur dan polis bagi memastikan tidak ada sebarang keadaan yang tidak diingini berlaku.

Tetapi, pada pandangan penulis, penghargaan utama seharusnya diberi kepada kerajaan kerana membenarkan perhimpunan-perhimpunan ini berjalan dengan lancar.

Keprihatinan kerajaan terhadap hak ini jelas mempamerkan suatu pengalihan dasar yang ketara yang pada suatu masa dahulu perhimpunan seumpama ini akan disekat.

Kita masih ingat sebarang perhimpunan dahulu akan dikerumuni oleh Pasukan Simpanan Persekutuan atau Federal Reserve Unit (FRU), walaupun perhimpunan itu dilangsungkan dengan aman.

Pelbagai rang undang-undang digunakan untuk menyekat perhimpunan-perhimpunan ini daripada dilangsungkan, termasuklah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

Kita seharusnya memberi pujian kepada pihak-pihak yang berkenaan kerana akta ini telah dimansuhkan pada 2012. Jelas pengalihan dasar ini adalah suatu langkah yang amat bijak serta positif, selaras dengan dasar kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara maju.

Adalah menjadi harapan penulis agar mana-mana pihak yang berniat untuk menganjurkan perhimpunan memastikan penganjurannya berdasarkan lunas undang-undang. Ini bagi memastikan perhimpunan itu berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Jadikan kekacauan yang berlaku di Asia Barat akibat perhimpunan tanpa sekatan sebagai pedoman. Jangan sampai nasi menjadi bubur barulah kita menyesal kerana pada masa itu kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi.

Renung-renunglah... - M Reza Hassan Utusan Malaysia Rencana 07 Oktober 2016 6:00 PM

Tags: akta, perlembagaan, undang-undang
Subscribe

Posts from This Journal “perlembagaan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments