kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Transformasi kurikulum, pedagogi mampu rawat Sindrom 4K pelajar

JIKA kita melihat kepada landskap pendidikan terkini, rata-rata institusi pengajian tinggi cuba untuk menekankan nilai dan aspek kurikulum serta keperluan pasaran kerja.

Dalam aspek pembangunan kurikulum pengajian, aspek pandangan pemain industri, termasuk bakal majikan juga perlu diambil kira. Ketika ini, antara elemen penting dinilai bakal majikan adalah penyelesaian masalah kompleks.

Perkara ini tidak diajar dalam kelas, tetapi memerlukan kemahiran tambahan iaitu fleksibiliti kognitif pelajar. Maka, pelajar tidak harus hanya fokus untuk skor peperiksaan semata-mata. Pembabitan berpersatuan juga penting.

Proses ini akan melahirkan mahasiswa yang mampu menguasai pelbagai kemahiran insaniah seperti berupaya membuat hubung-kait, yakin berkomunikasi, daya berfikir aras tinggi, berkemahiran kritis, berintegriti dan mempunyai daya keusahawanan. Baru-baru ini kita turut dikejutkan dengan senario yang melanda negara.

Akhbar BH bertarikh 4 Oktober 2016 turut mengetengahkan isu panas mengenai mahasiswa yang diancam sindrom 4K, iaitu Kuliah (kononnya hanya hadir mendengar syarahan, itupun tidak fokus); Kafeteria (hanya duduk membuang masa dengan melepak), Katil (tidur melampau) dan Komputer (khayal melayan media sosial dan tidak mahu bercampur gaul.

Saling tuding jari

Lantaran itu, pelbagai pihak dilihat saling menuding jari menyalahkan satu sama lain.

Tidak kurang juga yang mencadangkan supaya universiti perlu memperbaharui semula kurikulum dan kokurikulum bagi memastikan sindrom 4K tidak terus memerangkap mahasiswa.

Pemimpin pelajar juga mahu kaedah pembelajaran di universiti awam diberi nafas baharu dan penilaian mahasiswa diteliti semula dengan mengambil kira semua kegiatan universiti.

Malah, ada juga yang berpandangan bahawa kaedah pengajaran yang bersifat tradisional, satu arah dan tidak interaktif menyebabkan pelajar gagal atau malas untuk hadir ke kelas atau kuliah.

Ini ditambah pula dengan fasiliti yang ada di universiti tidak mesra pelajar, sekali gus menjejaskan kualiti graduan tempatan.

Perlu difahami bahawa kaedah menyalahkan pihak tertentu tidak akan memberikan jalan keluar kepada permasalahan ini. Semua pihak, termasuk pensyarah dan mahasiswa perlu sama berganding bahu untuk memperhalusi perkara ini agar tidak berlarutan ke tahap yang lebih parah.

Mengikut kajian pakar teknologi pendidikan, kaedah pengajaran konvensional seperti chalk and talk semata-mata kurang berhasil menarik minat pelajar, sebaliknya memerlukan kaedah lebih dinamik dan kreatif dengan kandungan pengajaran yang relevan sesuai dengan perkembangan semasa.

Kemas kini pedagogi

Pensyarah perlu mengaplikasikan kaedah pembelajaran lebih dinamik. Selain itu, mereka juga disaran agar mengemas kini pengetahuan (kandungan kurikulum) dan kompetensi (pedagogi) serta memaksimumkan penggunaan pelbagai sumber sokongan teknologi dan maklumat bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang efektif dan berkualiti serta relevan dengan perkembangan semasa dan akan datang.

Mahasiswa pula harus mengambil langkah proaktif agar sindrom 4K ini dapat dirawat dengan sebaiknya. Adalah tidak wajar menyalahkan pihak lain sedangkan sindrom ini pastinya dapat diubati, sekiranya mahasiswa memikirkan semula tujuan dan misi mereka dihantar untuk menuntut ilmu di menara gading.

Adakan dialog

Pelbagai kaedah dan saluran boleh digunakan di universiti untuk berbincang serta mengadakan dialog bersama pentadbir dan pengurusan universiti agar terhasilnya jalan keluar.

Ketahuilah bahawa ibu bapa dan masyarakat meletakkan harapan yang tinggi kepada mahasiswa. Anda yang diharapkan untuk mewarisi tampuk kepemimpinan negara. Maka, kualiti mahasiswa perlu digarap untuk menjamin kesejahteraan Malaysia pada masa akan datang.
Tags: kurikulum, learning, pedagogy, pelajar
Subscribe

Posts from This Journal “kurikulum” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments