HARI ini satu Malaysia bersukan sempena sambutan Hari Sukan Negara 2016 yang diraikan pada Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun. Tahun ini sambutannya sangat bermakna kerana lebih tujuh juta orang mengambil bahagian secara serentak di seluruh negara. Kira-kira 22,500 aktiviti sukan dan riadah disusun di pelbagai peringkat. Ini tidak termasuk aktiviti bersukan yang bersifat kecil-kecilan, persendirian dan secara diam-diam.
Program tahun ini juga tambah bermakna di tengah-tengah ‘demam’ kejayaan atlet-atlet negara di Sukan Olimpik dan Paralimpik Rio 2016. Kejayaan mereka terutama atlet paralimpik mencetuskan fenomena luar biasa. Mereka menjadi pendorong dan pencetus semangat kepada rakyat Malaysia untuk bersukan dan berjaya dalam bidang sukan. Kejayaan mereka juga menjadi pemangkin kepada atlet-atlet lain untuk mencipta kejayaan yang sama di peringkat antarabangsa. Para pelajar sekolah menjadikan ikon-ikon sukan ini sebagai idola masing-masing.
Hari Sukan Negara menjadi program penting dalam usaha berterusan kerajaan menggalakkan rakyat menerapkan budaya hidup sihat, cergas dan aktif.
Dalam keadaan rakyat Malaysia diancam dengan macam-macam jenis ‘penyakit jadian sendiri’ yang berpunca daripada pemilihan gaya hidup kurang bersenam, pemakanan tidak sihat ditambah dengan terlalu banyak tekanan hidup, program ini dilihat sebagai satu kempen kesedaran peri pentingnya menjaga kesihatan, hidup aktif dan sentiasa cergas.
Budaya bersukan dan riadah mengeluarkan peluh ini sangat membantu menurunkan kadar penyakit kronik dalam kalangan penduduk.
Umum mengetahui budaya hidup bersukan dalam kalangan rakyat di negara ini masih rendah iaitu pada kadar 40 peratus sahaja berbanding dengan 50 hingga 60 peratus di negara-negara maju.
Dengan tinggal tidak sampai empat tahun sahaja lagi Malaysia akan memasuki tahun 2020, kesedaran ini perlu digerakkan secara agresif. Malaysia perlu mempunyai penduduk yang sihat dan tinggi kesedaran tentang penjagaan kesihatan dalam memasuki era negara maju.
Satu perkara yang menarik berhubung program yang dicetuskan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ini ialah konsep bersukan dan beriadah yang ‘murah, mudah dan menarik.’ Konsep ini sangat bertepatan dengan moto Sukan Untuk Semua.
Sesiapa sahaja boleh memilih untuk menceburi bidang sukan mana yang mereka rasa bersesuaian mengikut kemampuan masing-masing. Pendekatan terbuka seperti ini sudah tentunya dapat menggalakkan dan menarik sesiapa sahaja untuk bersukan dan beriadah kerana tidak membebankan dan memerlukan kos yang tinggi.
Mereka boleh melakukan aktiviti sukan dan beriadah pada bila-bila masa dan secara konsisten kerana kemudahan atau kelengkapan sukan yang berkonsepkan mudah, murah dan menarik itu ada di persekitaran tempat tinggal mereka. Sekurang-kurangnya di taman-taman awam atau padang permainan kanak-kanak.
Bagi memastikan konsep bersukan sedemikian dapat diperluaskan semua yang terlibat termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memastikan kemudahan untuk tujuan bersukan itu ada. Maksudnya peralatan dan kemudahan sedia ada di taman-taman awam, padang permainan, taman rekreasi atau pusat-pusat sukan untuk orang ramai diganti, ditambah dan diselenggara dengan baik.
Tidak keterlaluan dikatakan sebahagian besar kemudahan dan peralatan bersukan percuma di taman-taman awam berada dalam keadaan daif, rosak, terbiar dan membahayakan.
Gimnasium rakyat yang banyak berjasa melahirkan atlet-atlet negara sebelum ini selain perlu diselenggara dengan lebih sempurna, diperbanyak serta diperluaskan terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar. Sebahagian peralatan yang sudah terlalu lama, rosak atau hilang perlu diganti dengan peralatan yang lebih terkini dan sesuai dengan perkembangan sukan semasa.
Dengan kos sara hidup yang begitu tinggi di bandar-bandar besar, bukan semua penduduk bandar mampu mendaftar menjadi ahli gimnasium atau pusat-pusat kecergasan komersial. Sementelah lagi kebanyakan gimnasium komersial ini mengenakan yuran tahunan yang tinggi dan terletak di pusat-pusat perniagaan tertentu sahaja.
Kemudahan ini secara tidak langsung akan menggalakkan lebih ramai penduduk atau kumpulan kurang berkemampuan mengambil bahagian dalam aktiviti ini. Syarikat-syarikat swasta yang kaya-raya boleh mengambil bahagian dalam membina atau menyediakan kemudahan sedemikian dengan menjadikannya sebagai satu daripada program tanggungjawab sosial korporat masing-masing.
Bukan tidak ada yang sudah berbuat demikian tetapi jumlahnya amat kecil. Maaf cakaplah, syarikat-syarikat besar ini sebenarnya lebih gemar menaja program-program hiburan yang mencecah jutaan ringgit daripada menaja menubuhkan sebuah gimnasium di perumahan rakyat yang menempatkan golongan miskin bandar!
Dengan lima objektif utama program ini iaitu menerapkan budaya sukan dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat, membangunkan ekonomi negara melalui industri sukan, meningkatkan pengetahuan sukan untuk rakyat serta mengiktiraf rakyat Malaysia yang terlibat dalam aktiviti membangunkan sukan di peringkat akar umbi, usaha ini mesti diberi sokongan.
Kementerian Belia dan Sukan tidak seharusnya dibiarkan bersendirian menjayakan satu program yang banyak memberi faedah kepada perkembangan sukan negara dan melahirkan rakyat yang sihat menerusi aktiviti bersukan. Semua pihak mesti sama-sama menyahut seruan murni ini.