kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Adat Perpatih perlukan rawatan

DUA tahun berlalu. Pemilihan Undang Luak Jelebu yang ke-16 masih belum selesai. Kumpulan-kumpulan yang menuntut jawatan ini masih bertelingkah dalam menguta­rakan kesahihan calon masing-masing.

Calon Undang pertama, Muhamad Azafean Muhamad Fahmi, 39, pengurus jualan di Nilai di sokong oleh Dato’ Tarmizi Selamat, bekas Dato’ Menteri Mang­ku Sah Alam Raja Sari serta penyokongnya. Encik Muhamad Azafean ialah anak buah isteri Dato’ Tarmizi Selamat justeru melibatkan pelanggaran petua adat pua condong ke perut.

Calon kedua, Maarof bin Mat Resat, 55, pegawai Pendidikan Jelebu-Jempol yang disokong oleh Ismail Md. Zin, Dato’ Menteri Mangku Sah Alam Raja Sari yang baharu. Encik Maarof dan Lembaga Delapannya juga mewakili Perut dan Jurai Kemin.

DATO’ MUSA WAHAB (1980-2014), Undang Luak ke-15

Kini ada beberapa calon lagi yang tampil mewakili “Perut Kemin”, salah satu daripada tiga “perut” Undang Jelebu. Dua “perut” yang lain ialah Ulu Jelebu dan Sarin.

Seseorang calon Undang hendaklah dari keturunan suku Biduanda menurut nisab ibu. Beliau harus mempunyai beberapa ciri peribadi mengikut kriteria adat semenjak 1775 lagi, dua tahun selepas Raja Melewa dari Pagaruyung ditabalkan sebagai Yang Di Patuan Basa di Penajis, Rembau pada tahun 1773.

Istilah Undang hanya dirasmikan selepas British memulakan pemerintahan mereka di NS pada tahun 1887. Sebelum itu Undang dipanggil Pangulu Luak.

Perlembagaan adat di Jelebu, seperti di tiga luak ‘berUndang’ yang lain (Sungai Ujong, Johol dan Rembau) tidak pernah dikanunkan sebagai Perlembagaan bertulis.

Ini merupakan salah satu sebab kenapa pertelingkahan berlaku apabila meninggal seseorang Undang yang di bawah Pelembagaan NS diiktiraf sebagai Di Raja Bersama (Co-Ruler).

Jawatan Undang di NS dikhaskan kepada empat Luak atau Daerah beradat – Sungai Ujong (Seremban sekarang), Jelebu, Johol dan Rembau. Tunku Besar Tampin, diiktiraf di bawah Fasal 14(2) Perlembagaan NS, berasal daripada pengaruh Arab pimpinan Tengku Syed Shaban semenjak awal abad ke-19. Sebagai Tunku Besar Tampin, beliau tidak terlibat dalam penentuan Di Raja Yang Di Pertuan Besar.

DATO’ ABDULLAH PANGLIMA MUDA (1912-1944), Undang Luak ke-12.

Di bawah setiap Dato’ Undang ada jawatankuasa adatnya sendiri–Lembaga Delapan. Seseorang Dato’ Lembaga pula dipilih oleh “Buapak” atau tua-tua adat, “anak buah” termasuk “soko” atau kumpulan adat kaum ibu di bawah perut berkenaan.

Ketua Lembaga Delapan di Je­lebu ialah Dato’ Menteri Mangku Sah Alam Rajo Sari yang semenjak zaman Moyang Salleh lagi (1775) dipilih dari keluarga campuran Biduanda-Minangkabau seperti mana halnya dengan Allahyarham Dato’ Menteri Osman Bagindo Labieh (1964–1989).

Dato’ Menteri berkuasa me­lantik seseorang calon Undang setelah disyorkan oleh Dato’ Umbi yang menerima calon-calon. Dato’ Cincang, salah seorang Dato’ Lembaga kanan meneliti kewibawaan seseorang calon Undang. Ketiga-tiga Dato’ Lembaga tersebut – Menteri, Umbi dan Cincang harus bermuafakat sebagai ‘talitigo sepilin’ dalam semua hal ehwal adat di luak mereka, khasnya menentukan siapa layak menjadi Undang.

Penapisan ini telah tidak dipatuhi dalam beberapa proses penentuan setakat ini, menyebabkan ramai meluahkan rasa kecewa.

Fasal 14 Perlembagaan NS hanya memperuntukkan bahawa Undang Yang Empat “hendaklah daripada orang yang dipilih mengikut adat-istiadat di luak masing-masing”.

Dengan tiadanya prosedur dan syarat-syarat bertulis amat mudah bagi advokat adat di luak-masing-masing membelakangi peraturan-peraturan lisan zaman silam. Ketua-ketua adat semasa pula tiada latihan atau pengalaman untuk meneruskan tuntutan bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Bahasa beradat juga sudah tidak diketahui lagi oleh kebanyakan Dato’ Lembaga Delapan.

Perkembangan mutakhir di Luak Jelebu ini boleh dianggap sebagai perkembangan yang mencabul institusi adat; ia merosot dari sudut membelakangkan tradisi dan jahil dari segi implementasi Perkara 16 Perlembagaan Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan 1959.

Mengikut adat, Undang baru mesti diumumkan dalam tempoh satu hari selepas kematian atas prinsip “patah tumbuh, hilang berganti”.

Sebab itulah Dato’ Menteri Mangku Sah Alam diberi gelaran Rajo Sari untuk memikul tanggungjawab Penghulu Luak atau Undang selama sehari sebelum diumumkan Undang yang baharu. Menurut piagam adat, pengumuman atau pemasyhuran boleh dibuat dalam tempoh satu ming­gu atau tempoh yang tidak melebihi 3 bulan purnama selepas kematian Undang.

Ini bukan kali pertama krisis adat berlaku. Boleh dikatakan setiap luak ‘berundang’ di NS pernah mengalami krisis adatnya masing-masing. Setiap kali seseorang Undang atau Dato’ Shahbandar Sungai Ujong meninggal dunia setiap kali pula ‘rebutan jawatan’ berlaku.

Di Sungai Ujong kes Dato’ Shahbandar pernah menjadi rebutan sengit selama 11 tahun, di Rembau pertembungan adat antara Perut di Air dan Perut di Darat, di Johol sengketa ‘siapa jadi Tan Mas’, jawatan gantian Undang Luak Johol.

Di Jelebu sahaja semenjak 1967 tiga krisis ‘rebutan pusaka’ berlaku, termasuk kes Dato’ Musa Wahab 1981 yang sampai ke Mahkamah Persekutuan. Nas kes ini menyebabkan Fasal 16 Perlembagaan NS 1959 dipinda untuk memberi kuasa kepada Dewan Keadilan bertindak meng­atasi sebarang masalah yang muncul berkaitan pemilihan, pelucutan atau apa-apa hal bersangkutan isu adat di luak ‘berundang’ di NS. Selepas kes ini mana-mana kekecohan adat tidak lagi dibenarkan jadi kes di mahkamah.

Di bawah Fasal 16(2) pula, Menteri Besar dibenarkan merujuk kepada Dewan apa-apa jua hal berkaitan adat Melayu di mana-mana kawasan di Negeri Sembilan termasuk soal pemilihan atau penggantian atau pemberhentian seseorang Undang.

Jika Fasal 16 berkenaan tidak dioperasikan, krisis adat di Je­lebu akan terus memberi gambaran negatif kepada adat di ne­geri berkenaan. Adat yang begitu luhur dan penting di sisi orang Melayu apatah lagi di sisi Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan akan turut dipersenda.

Tiga isu harus di selesaikan: (a) setakat mana Dewan Keadilan berupaya “menjernihkan yang keruh” melalui Fasal 16 Perlembagaan NS; (b) kesediaan pihak-pihak berwajib meng­ada­kan kursus bimbingan adat di setiap luak, termasuk Lembaga Delapan, Ibubapak, anak buah, ketua-ketua kampung dan pentadbir kerajaan tertentu mengikut petua adat lisan ma­sing-masing; dan (c) kesediaan mengkanunkan undang-undang perlembagaan adat di setiap luak bagi sistem yang kekal dan tanpa keraguan.

Tags: sejarah
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments