PERSIDANGAN RAJA-RAJA yang memilih Tuanku Muhammad V, Sultan Kelantan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 14 Oktober kelmarin merupakan penerusan tradisi Raja Berperlembagaan di Malaysia yang beroperasi di sisi Perlembagaan Persekutuan Malaysia (Perlembagaan) semenjak 1957. Pemilihan Sultan Perak Tuanku Raja Nazrin sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong juga sedemikian.
Konsep dan institusi Raja Berperlembagaan diwujudkan melalui syor Suruhanjaya Reid sebelum merdeka 1957 dan seterusnya melalui Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Konsep Raja Berperlembagaan membawa pengertian bahawa setiap orang Raja yang dipilih dan dimahkotakan sebagai Yang di-Pertuan Agong itu hendaklah menjalankan tugas di-Rajanya mengikut undang-undang Perlembagaan Persekutuan dan Negeri yang berkenaan.
Zaman Beredar, Mahkota Bergilir |
Terpenting dalam konsep itu ialah Raja menjalankan pemerintahan negara mengikut nasihat Kabinet atau Perdana Menteri (Perkara 40) kecuali beberapa perkara yang dikhaskan seperti budi bicara melantik Perdana Menteri, berkenan atau tidak berkenan membubarkan Parlimen, pengadaan mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) berkaitan kedudukan, keistimewaan dan kedaulatan di-Raja atau berkaitan hal ehwal adat istiadat Melayu dan agama Islam.
Yang di-Pertuan Agong merupakan mercu pihak berkuasa negara, piagam utama Perlembagaan dan simbol kenegaraan tertinggi bagi Malaysia. Hal ehwal perundangannya meliputi 35 perkara utama pentadbiran negara di sisi Perlembagaan Persekutuan. Kuasa, fungsi dan budi bicara di-Raja Yang di-Pertuan Agong meliputi Perkara 32 hingga Perkara 44 Perlembagaan.
Baginda selaku Yang di-Pertuan Agong ialah eksekutif utama negara dan semua urusan Kerajaan Persekutuan dijalankan atas nama ‘Seri Paduka Baginda’, satu-satunya ungkapan bahasa di-Raja klasik.
Baginda melantik Perdana Menteri (PM), para Menteri dan Timbalan Menteri (walaupun tidak berkuasa memecat mereka kecuali atas nasihat PM); baginda sebahagian daripada entiti legislatif Parlimen Malaysia dan menandatangani semua Akta Parlimen yang diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Baginda juga boleh menangguhkan kuat kuasa sesuatu Rang Undang-Undang selama 30 hari.
Tugas rasmi Yang di-Pertuan Agong begitu banyak di sisi Perlembagaan Persekutuan: Baginda bertanggungjawab di atas jaminan hak-hak istimewa orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak di samping hak-hak sisian warganegara Malaysia yang lain di bawah Perkara 153 Perlembagaan.
Sebagai Pemerintah Angkatan Tertinggi Tentera Persekutuan (Perkara 41) Baginda juga melantik Ketua Angkatan Tentera. Di bawah Perkara 150 Perlembagaan, Perisytiharan darurat tidak sah jika tanpa persetujuan bertulis Baginda sekalipun atas nasihat Jemaah Menteri atau PM.
Baginda merupakan kuasa pengampun, kuasa menunda hukum dan melegakan hukum kesalahan jenayah dan penganugerah bintang-bintang kebesaran negara. Baginda adalah pihak berkuasa melantik para hakim, Ketua Polis Negara, Ketua Audit Negara dan berbagai kuasa lantikan lain.
Yang di-Pertuan Agong ialah simbol perpaduan, kehormatan dan kedaulatan negara justeru mempersenda, mengeluarkan kata-kata hasutan terhadap Baginda merupakan kesalahan di sisi undang-undang. Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Malaysia juga menjadi instisari patriotisme. Ini ternyata khasnya melalui lagu kebangsaan Negaraku apatah lagi dalam kata-kata prinsip Rukunegara.
Menghormati Yang di-Pertuan Agong bermakna menghormati Kerajaan Baginda dan Malaysia.
Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Raja-Raja dalam persidangan rasmi Majlis Raja-raja setiap lima tahun sekali di bawah kuat kuasa Perkara 32(3) Perlembagaan. Tempoh lima tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong itu tidak boleh disambung tetapi seseorang Yang di-Pertuan Agong boleh meletakkan jawatan sedemikian dengan menulis surat kepada Majlis Raja-Raja jika itu merupakan kehendak peribadi Baginda.
Yang di-Pertuan Agong ke-14 yang bersemayam sekarang, Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah akan habis tempoh persemayamannya pada 13 Disember 2016. Baginda merupakan Raja pertama berpeluang bersemayam dua kali sebagai Yang di-Pertuan Agong di samping yang paling berusia tinggi ke jawatan itu, yakni pada harakat usia 88 tahun.
Pertama kali Baginda bersemayam ialah bagi tempoh 1970–1975 sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-5, semasa Allahyarham Tun Abdul Razak berkhidmat sebagai Perdana Menteri (1970-1974).
Mengikut tradisi, sekitar 2 bulan sebelum habis tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengelolakan mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara. Pemilihan Yang di-Pertuan Agong dijalankan mengikut lunas Perlembagaan dan undian pemilihan secara undi sulit.
Semua Raja dari sembilan negeri Tanah Melayu berhak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong kecuali seseorang Raja itu menolak pencalonannya. Para Yang Dipertua atau Gubenur negeri-negeri tidak terlibat dalam proses ini. Banyak perkara dan prosedur kena dipatuhi dalam urusan memilih seseorang Raja untuk menduduki takhta Yang di-Pertuan Agong. Yang paling utama ialah peruntukan Bahagian I dan III Jadual Ketiga Perlembagaan.
Tuanku Sultan Muhammad V yang dipilih Majlis Raja-Raja baru-baru ini telah melepasi syarat-syarat pemilihan seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 2 Bahagian 1 Jadual Ketiga Perlembagaan. Seksyen 3 dari Bahagian sama memperuntukkan:
Apabila Raja yang telah ditawarkan kepadanya jawatan Yang di-Pertuan Agong mengikut seksyen 2 menerima jawatan itu, Majlis Raja-Raja hendaklah mengisytiharkan Raja itu sebagai dipilih dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hendaklah memberitahu keputusan pemilihan itu secara bertulis kepada kedua-dua Majlis Parlimen.
Menurut undang-undang yang terkandung di dalam Bahagian 1 Jadual Ketiga Perlembagaan, seseorang Raja yang ditawarkan kepadanya jawatan Yang di-Pertuan Agong berhak menolak atau menerima tawaran sebagai Yang di-Pertuan Agong. Sultan Kelantan telah ditakrif sebagai menerima tawaran Majlis Raja-Raja. Sekiranya Baginda, sebagai hipotisis, menolak tawaran itu maka Raja negeri selepas Kelantan, yakni Pahang berhak menerima tawaran itu. Selepas Pahang, Johor dan seterusnya Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Perlis. Namun demikian, sebilangan pengkaji Perlembagaan Persekutuan berasa terkeliru dengan susunan bahasa Perlembagaan yang digunakan pada seksyen 4, Bahagian 1 Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai rumusan mudah, setakat ini telah selesai senarai pertama giliran jawatan Yang di-Pertuan Agong yang melibatkan semua sembilan negeri ber-Raja. Senarai pertama ini sepatutnya melibatkan 45 tahun (lima tahun setiap seorang Yang di-Pertuan Agong). Tetapi tiga Tuanku Yang di-Pertuan Agong bersemayam kurang daripada lima tahun tiap-tiap seorang lantaran mangkat dalam persemayaman – Yang di-Pertuan Agong Pertama Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad (Negeri Sembilan: 31 Ogos 1957–1 April 1960), Tuanku Hisamuddin Alam Shah ibni Almarhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah (Selangor: 14 April 1960 – 1 Sept. 1960) dan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj (Selangor di bawah Giliran Senarai Kedua 26 April 1999 - 21 November 2001).
Pemilihan Sultan Kelantan Tuanku Muhammad V pada 14 Oktober kelmarin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dan sekali gus sebagai Ketua Utama Negara merupakan giliran kedua bagi negeri itu setelah memenuhi giliran dalam senarai pertama (Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim; 21 September 1975 - 30 Mac 1979). Mungkin yang akan ditunggu-tunggu ialah Raja Permaisuri Agong bagi melengkapkan kehendak Perkara 32(2) Perlembagaan.
Kedaulatan Raja-Raja dikurangkan melalui pindaan Perlembagaan 1993-1994 semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi PM. Selepas 1994 Raja boleh dihadapkan di mahkamah atas apa-apa kesalahan yang didakwa Pendakwa Raya. Baginda juga boleh disaman sivil jika Peguam Negara membenarkan proses itu.
Ramai berpendapat dalam tempoh pentadbiran itulah Raja berada dalam persekitaran yang boleh dikatakan aib kerana diasak dengan pelbagai sindiran dan cabaran.
Semoga zaman sedemikian tidak berulang. Sekali air bah, sekali tepian berubah.
DIRGAHAYU TUANKU
JUMAAT lalu Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-242 di Istana Negara yang dipengerusikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah berkenan melantik Sultan Kelantan, Sultan Muhamad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Baginda Tuanku Abdul Halim yang memegang tampuk itu sejak 13 Disember 2011 dan akan berakhir pada 12 Disember ini. Baginda yang juga merupakan Sultan Kedah sebelum ini pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-5 iaitu dari 21 September 1970 hingga 20 September 1975.
Sementara itu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pula telah dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong mulai 13 Disember untuk tempoh lima tahun.
Berdasarkan sistem penggiliran yang telah ditetapkan Majlis Raja-Raja, Sultan Muhamad V berada pada giliran sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15. Beberapa faktor diambil kira oleh Majlis Raja-Raja melalui undi rahsia untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong termasuk tidak mengalami ketidakupayaan mental.
Selain itu, baginda yang dilantik juga mesti berada di kedudukan teratas, mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima raja lain dan bukan menyandang jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal berturut-turut.
Mengikut kebiasaan sebelum proses pemilihan berlangsung Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja terlebih dahulu akan menanyakan raja yang seterusnya dalam senarai giliran mengenai kesediaan baginda untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong seterusnya. Proses yang sama diulangi bagi memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang akan memangku Yang di-Pertuan Agong sewaktu ketiadaan baginda di dalam negara atau uzur.
Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja menurut kaedah dan cara yang telah ditetapkan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-Peraturan Majlis Raja-Raja.
Sultan Kelantan dekat di hati rakyat
BERJUBAH gumbang dan berkopiah putih, susuk ini sering kelihatan di Masjid Muhammadi, Kota Bharu.
Dari jauh kelihatan tiada apa yang istimewanya sama seperti orang kebiasaan tetapi jika dihampiri ramai yang terkejut dan tidak menyangkakan bahawa itu adalah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Tengku Muhammad Faris Petra yang dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 dengan menggunakan gelaran Sultan Muhammad V pada 13 September 2010 itu amat jarang menggunakan protokol ketika bertemu dengan rakyat.
Malah Putera sulung kepada yang Sultan Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid itu lebih senang membahasakan dirinya sebagai 'ambo’ (saya).
Dan telah menjadi kebiasaan bagi baginda yang ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Oktober 1985 itu menjelajah ke seluruh pelosok negeri ini sehingga kawasan pedalaman untuk melihat sendiri keadaan rakyatnya.
Hari ini, baginda mencipta sejarah apabila dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dalam Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Biarpun sebagai Sultan yang termuda di negara ini namun Sultan Muhammad V yang diputerakan pada 6 Oktober 1969 mempunyai pendekatan tersendiri untuk berdamping dengan rakyat terutama dari sudut agama.
Baginda sendiri telah menjadi imam solat hajat kepada ribuan rakyat Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV bagi mendoakan kesejahteraan ayahanda baginda dan juga negeri ini.
Masjid Muhammadi adalah masjid pilihan baginda untuk menunaikan solat berjemaah. Sejak tahun 2011, baginda mengadakan program khusus pada bulan Ramadan yang dinamakan 'Qiam with Me'.
Program tersebut yang diadakan pada pukul 10 malam selepas solat isyak dan tarawih, diikuti kuliah agama oleh penceramah jemputan, disusuli qiamullail sehingga sahur dan solat subuh berjemaah bersama baginda. Menerusi program itu, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat kepada asnaf dan golongan kurang bernasib baik.
Untuk lebih mendekatkan diri dengan rakyat, Sultan Muhammad V turut mencetuskan idea mengadakan program ‘Walk with Me' atau Berjalan Bersama Saya.
Menerusi program itu, ribuan rakyat Kelantan daripada pelbagai peringkat umur berpeluang berjalan bersama-sama Sultan Muhammad V dan beberapa kerabat diraja lain sejauh 10 kilometer di sekitar bandar Kota Bharu.
Sambutan yang diterima daripada rakyat luar biasa sehingga acara tersebut dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai acara Walkathon Diraja Malaysia yang terbesar apabila berjaya mengumpul sebanyak 21,111 peserta pada tahun 2011.
Program amal anjuran Pertubuhan Kerabat D'Raja Kelantan Al-Muhammadi itu diadakan khusus bagi mendekatkan baginda dengan rakyat, menggalakkan amalan gaya hidup sihat selain menjadi ikon tarikan pelancongan Kelantan.
Dalam masa sama, Sultan Muhammad V menunjukkan contoh kepada rakyat negeri ini apabila baginda mencemar duli mengutip sampah dalam program gotong royong yang diadakan di Pantai Sri Tujoh pada 23 Julai 2011. Tanpa rasa kekok, baginda mengutip dan menyapu sampah di sekitar pantai itu dan menegur sikap rakyat negeri:
“Rakyat Kelantan dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan, masjid tidak dibersihkan, tandas tidak dicuci, semua ini kena jaga sebab kebersihan sebahagian daripada iman,” titah baginda.
Baginda sentiasa bergerak di sekitar negeri ini dalam diam untuk melihat sendiri kehidupan rakyat malah tindakan tersebut menjadi viral di laman sosial apabila baginda kelihatan memandu pacuan empat roda seorang diri untuk membantu mangsa banjir pada tahun 2014.
Dalam aspek pendidikan, Sultan Muhammad V mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail I di sini, sebelum melanjutkan pelajaran ke Alice Smith School Association, di Kuala Lumur.
Baginda kemudian ke Oakham School Rutland, England, sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kajian diplomatik di St. Cross College, Oxford serta di Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.
Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu gemar membaca buku, memelihara haiwan, menembak, memburu dan sukan yang paling diminati baginda adalah bola sepak, memburu, berkuda dan go-kart.
Baginda mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr. Muhammad Faiz Petra, 42, Tengku Muhammad Fakhry Petra, 38, dan Tengku Amalin A'ishah Putri, 32.
Justeru, pemilihan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong amat tepat untuk memayungi seluruh rakyat negara ini dengan Islam menjadi tunjangnya. Sultan Muhammad V, raja berjiwa rakyat dan amat dekat di hati penduduk negeri ini.