KEMANGKATAN Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej pada 13 Oktober 2016 telah menjadi peristiwa yang memberikan kesan kepada rakyat Thailand. Raja Bhumibol adalah pemerintah tertinggi Thailand yang memerintah selama 70 tahun semenjak memegang takhta pada tahun 1946 hingga 2016. Dengan kemangkatan Raja Bhumibol, pewaris takhta yang dijangka mengambil alih bagi menggantikan Raja Bhumibol adalah Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn yang merupakan satu-satunya putera lelaki dalam keluarga diraja itu.
Kemangkatan dan penggantian takhta Raja Thailand ini telah menimbulkan pelbagai persoalan yang berkisar mengenai apakah kesan ke atas politik, dasar, bentuk pemerintahan, pengaruh tentera, rakyat di selatan Thailand dan hala tuju negara itu?
Perkembangan sistem demokrasi dan politik Thailand banyak dipengaruhi oleh sistem monarki yang mana pengaruh raja diberi keutamaan dalam segala pembentukan dasar dan tindakan kerajaan. Senario ini dapat dilihat melalui keutamaan rakyat dan pemerintahan negara yang meletakan kekuatan pengaruh raja dan monarki yang kuat dalam urusan dan sistem kehidupan rakyat Thailand.
Dengan latar belakang dan pengaruh Raja Bhumibol yang mesra rakyat dan menjadi ikon ketaatan dalam sistem kehidupan rakyat selama 70 tahun, ia secara tidak langsung menunjukan Raja Bhumibol telah berjaya mewujudkan sekurang-kurang “satu generasi” di bawah pemerintahan beliau.
Justeru, jangka masa 70 tahun adalah tempoh lama yang mempengaruhi sistem kehidupan dan penyatuan rakyat Thailand dan bukan hanya terdiri daripada etnik Thai tetapi juga membabitkan pelbagai etnik. Justeru, adakah Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn yang berusia 64 tahun mampu meneruskan legasi kecemerlangan Raja Bhumibol?
Berdasarkan latar belakang baginda yang banyak memiliki pendidikan dan pengalaman di Barat seperti Australia, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom, Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn dilihat akan memperkukuhkan hubungan Thailand dengan negara Barat khususnya AS yang selama ini telah memiliki hubungan baik serta pengaruh kuat dalam ekonomi Thailand.
Bagaimana pula pengaruh dan peranan tentera dalam politik Thailand dalam era pasca Raja Bhumibol? Pelantikan Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn dijangka akan mengekalkan pengaruh dan peranan tentera dalam sistem politik Thailand seperti mana yang telah diamalkan Thailand sejak 1932, iaitu sebelum Raja Bhumibol mengambil alih tampok pemerintahan lagi.
Peranan tentera dalam sistem politik Thailand telah menjadi entiti yang diterima pakai dalam amalan demokrasi Thailand sebagai “entiti penstabil” dalam politik, pemerintahan dan demokrasi di Thailand. Golongan tentera memiliki kuasa dan status besar yang mewakili kuasa raja (istana) dalam pengamalan demokrasi di Thailand. Ini dapat dilihat dengan lebih daripada 15 kali rampasan kuasa (kudeta) oleh golongan tentera semenjak tahun 1932.
Di sini menunjukan terdapat tiga entiti utama yang mencorakkan politik dan kestabilan Thailand iaitu rakyat, parti dan sistem politik dan golongan tentera (Istana). Timbul isu adakah pengaruh tentera semakin dikurangkan dengan pemerintahan Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn?
Pengaruh
Namun pengaruh tentera dijangka semakin kukuh kerana beliau sendiri merupakan putera raja berlatarbelakangkan tentera yang pernah mendapat pendidikan di Kolej Tentera Diraja Duntroon, Canberra, Australia dan merupakan bekas pegawai tentera pada tahun 1970-an dalam angkatan tentera Thailand.
Peranan tentera yang membawa agenda monarki dalam politik Thailand dijangka akan diperkukuhkan dengan perlantikan baru Raja Thailand kerana Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn memerlukan peranan tentera dalam membentuk dan memastikan peningkatan imej baru Raja Thailand pasca Raja Bhumibol sebagai pemerintah baru.
Ini bermaksud elemen tentera amat diperlukan dalam memastikan aspek ketaatan rakyat dan kelangsungan hidup institusi monarki terus kekal dan kukuh di Thailand. Kaedah ini telah pun dilaksanakan oleh bapa beliau semenjak memegang tampuk pemerintahan pada tahun 1946 dengan memperluaskan kuasa dan “merestui” campur tangan tentera dalam politik Thailand.
Penggunaan tentera juga adalah kaedah dalam membentuk satu imej, ketaatan dan kedaulatan raja di mata dan di hati rakyat. Raja Bhumibol telah berjaya menggunakan kaedah ini selama 70 tahun dan ternyata ia berjaya mempengaruhi sistem politik dan membentuk pengaruh monarki yang besar dalam demokrasi Thailand. Justeru, Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn juga turut dijangka mengambil langkah mengekal dan mempertingkatkan peranan dan pengaruh tentera dalam landskap politik Thailand.
Apakah pula kesan ke atas penduduk Islam di selatan Thailand? Dasar kerajaan Thailand untuk menyelesaikan konflik di selatan Thailand dilihat akan dikekalkan berdasarkan kesediaan kerajaan untuk memberikan laluan perjanjian damai. Ini kerana 'kesediaan' kerajaan Thailand yang dipimpin tentera melalui Perdana Menteri, Jeneral Prayut Chan-o-cha untuk mengadakan rundingan di Kuala Lumpur pada April 2016 adalah ruang kepada penyelesaian konflik.
Konflik ini melibatkan kerajaan Thailand dengan MARA Patani yang dianggotai oleh Kumpulan Bertindak BRN, Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP), Pertubuhan Persatuan Pembebasan Patani (PULO-P4), Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO-dspp), Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO-mkp) dan Gerakan Mujahidin Islam Patani (GMIP). Manakala Malaysia bertindak sebagai negara fasilitator dalam rundingan.
Gerakan kemerdekaan di selatan Thailand yang meletus semenjak tahun 1970-an telah memberikan kesan yang besar kepada pembangunan fizikal dan mental di selatan Thailand selain telah menyebabkan proses pembangunan di Yala, Patani dan Narathiwat terabai. Malah kesediaan rakyat di selatan Thailand untuk membawa ke meja rundingan juga menunjukkan kesediaan mereka untuk menerima kedaulatan pemerintahan Thailand ke atas wilayah Selatan.
Selain itu, dengan pengukuhan ekonomi di wilayah Selatan yang semakin hari menunjukkan peningkatan, ia telah memberikan kesedaran kepada kerajaan Thailand dalam membuka ruang kepada rundingan damai yang secara langsung membuka laluan masuk dan meningkatkan pelaburan dari Malaysia dan Singapura yang dapat meningkatkan pendapatan Thailand.
Pemerintahan baru Thailand oleh Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn juga dijangka akan memberikan penumpuan untuk menjayakan penyelesaian konflik yang telah diatur semenjak pemerintahan Raja Bhumibol. Dr. Mohamad Faisol Keling Utusan Malaysia Rencana 16 Oktober 2016 6:25 PM