kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mengenali KPN kedua

Salam sejahtera dan selamat bertemu kembali. Seperti dijanjikan, saya kembali minggu ini untuk berkongsi bicara mengenai sejarah perkhidmatan dan sumbangan Ketua Polis Negara yang kedua iaitu Tun Mohamed Salleh Ismael.

Mohamed Salleh dilahirkan pada 7 Julai 1917 di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, dan memulakan kerjayanya di dalam Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu sebagai konstabel pada 25 September 1935. Beliau adalah anak Melayu pertama menjawat jawatan tertinggi dalam PDRM apabila dilantik sebagai Ketua Polis Negara bagi menggantikan Tan Sri Claude Harry Fenner pada 1 Mac 1966.



Tun Mohamed Salleh Ismael

Ancaman komunis, konfrontasi dan jenayah

Sewaktu menjadi Pesuruhjaya Polis Persekutuan Tanah Melayu, Mohamed Salleh turut bersama-sama Fenner pada ketika itu, menggembleng tenaga menentang ancaman komunis dan konfrontasi. Walaupun ancaman konfrontasi berjaya ditamatkan dengan termeterainya perjanjian persahabatan di antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia pada 11 Ogos 1966, namun negara ketika itu masih berhadapan dengan ancaman komunis. Pada 17 Jun 1968, pengganas komunis membuat serangan hendap terhadap konvoi batalion pertama Pasukan Polis Hutan (PPH) dalam perjalanan di antara Kroh-Betong, Perak semasa menjalankan tugas ‘Ops Sawade Salam’. Dalam serangan itu, 16 anggota PPH terbunuh dan 17 tercedera manakala 11 lagi terselamat. Pengganas komunis juga merampas 2 laras Brengun LMG, 19 laras SLR, 2 pucuk Revolver, sepucuk pistol jenis Flare Gun, 4 butir bom tangan dan 3 laras Sterling. Serangan ini menyemarakkan lagi semangat dan iltizam Mohamed Salleh untuk menghadapi tentangan pengganas komunis dengan lebih giat lagi.

Belum pun reda dengan ancaman pengganas komunis, pasukan polis sekali lagi berhadapan dengan rusuhan kaum 13 Mei 1969. Mohamed Salleh selaku KPN pada ketika itu, bertindak bersama jabatan lain untuk memastikan ketenteraman awam kekal terkawal. Dalam menyelesaikan masalah yang membabitkan perkauman dan pergeseran kaum, Mohamed Salleh menggunakan kaedah rundingan serta nasihat dan seterusnya menggunakan pendekatan undang-undang untuk memastikan bahawa sesuatu krisis yang bercorak perkauman dapat diselesaikan dengan berkesan.

Pada 1 Januari 1957, Mohamed Salleh menubuhkan Pasukan Sukarelawan Polis bagi menggantikan ‘Auxilliary Police’ (AP) atau Polis Bantuan yang ditubuhkan semasa Darurat pada 1948. AP pada asalnya ditubuhkan untuk membantu pasukan polis mengekalkan dan menguatkuasakan undang-undang melalui peranannya sebagai mata dan telinga kerajaan di samping mengadakan kawalan di kampung, ladang dan kawasan pedalaman. Namun, setelah keadaan semakin aman, pasukan berkenaan dibubarkan, sehinggalah apabila Mohamed Salleh mengambil alih jawatan sebagai KPN. Beliau menubuhkan semula unit berkenaan, tetapi dengan nama Pasukan Sukarelawan Polis (SP). Ia bertujuan memberikan perkhidmatan di bandar bagi menampung kekurangan pegawai dan anggota polis, di samping menjadi mata dan telinga pasukan serta memupuk kerjasama antara pasukan polis dan orang ramai.

Perkembangan dan Permodenan Pasukan

Sebagai KPN, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk meningkatkan tahap kecekapan dan mutu perkhidmatan pasukan polis sejajar dengan keperluan masyarakat pada ketika itu. Salah satu usaha beliau ialah mewujudkan program Kerjasama Malaysia-Australia dalam bidang kepolisan, di mana melaluinya, tertubuh sebuah sekolah teknik berasaskan teknologi pembuatan dan teknikal bertujuan untuk melatih anggota teknik bagi keperluan Cawangan Pengangkutan, Marin, Komunikasi, dan Persenjataan Pasukan. Sekolah teknik tersebut dirasmikan pembukaannya pada 2 Mac 1977 dan bagi mengenangkan jasa beliau, ia dinamakan Sekolah Teknik Tun Salleh.

Mohamed Salleh juga memperkenalkan unsur pemikiran baru sesuai dengan kehendak dan keperluan semasa. Melihatkan kepada kejadian jenayah yang semakin meningkat, beliau merangka satu pelan tindakan bagi mengatasi ancaman berkenaan. Usaha gigih beliau telah melahirkan Sistem Salleh iaitu satu konsep yang bertujuan meningkatkan keberkesanan tindakan membasmi jenayah dengan membabitkan orang ramai secara langsung. Konsep ini lahir apabila beliau merasakan bahawa sistem pencegahan jenayah sebelum ini tidak begitu berkesan berikutan peningkatan kejadian jenayah pada 1960-an.

Pada bulan Februari 1968, sistem baru yang diilhamkan Mohamed Salleh telah diuji di Petaling Jaya. Hasil kejayaannya, sistem berkenaan diperluaskan pelaksanaannya di seluruh negara mulai Jun 1968. Melalui Sistem Salleh ini, pondok polis didirikan di seluruh negara bagi memberikan perkhidmatan kepada masyarakat, di samping bertujuan menjalin hubungan erat dan kerjasama antara polis dan orang ramai.

Bagi meningkatkan keberkesanan operasi menentang pengganas komunis dan lain-lain ancaman yang menggugat keselamatan negara, Mohamed Salleh menubuhkan satu unit elit Pasukan Polis Hutan (PPH) yang lebih dikenali dengan Unit 69 Komando pada 25 Oktober 1969. Penubuhan pasukan ini juga selaras dengan penyusunan dan pembentukan semula PPH selepas darurat pada akhir 1960-an hingga 1970-an.

Bagi memperkasakan PPH, beliau menubuhkan Unit Kereta Perisai pada 28 Julai 1971 dengan pembelian sebanyak 22 kereta perisai jenis Ferret Scout Car (yang pernah digunakan oleh Kerajaan British semasa Darurat) bagi membantu dan memberikan perlindungan berperisai kepada pergerakan unit PPH ketika operasi. Penggunaan kereta perisai dalam tugas meninjau, meronda dan membedil kedudukan pengganas komunis dapat menambahkan kekuatan di samping memperkasakan pasukan keselamatan dalam mengekalkan keamanan negara.

Mohamed Salleh menubuhkan Pasukan Polis Kadet yang membabitkan 2,000 pelajar daripada 56 sekolah menengah dari seluruh negara. Penubuhan yang diluluskan oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) itu dilancarkan sepenuhnya pada 2 Mac 1970, bertujuan melahirkan generasi pelapis yang cintakan negara dan celik undang-undang. Ia juga bertujuan memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dan memupuk kerjasama erat antara polis dengan orang ramai.

Sebagai anak tempatan pertama dilantik sebagai KPN, Mohamed Salleh membuktikan anak watan juga mampu memimpin dan mentadbir sebuah pasukan polis dengan cemerlang.

Kita akan bertemu lagi di minggu hadapan untuk menelusuri sejarah kegemilangan PDRM di bawah teraju Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Ketua Polis Negara Ketiga. Insya-Allah.



Tags: polis, sejarah, tokoh
Subscribe

Posts from This Journal “polis” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments