kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kolej kediaman bukan sekadar tempat tidur

MELETAKKAN iltizam melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang sebagai lonjakan pertama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Pengajian Tinggi (PPPM-PT) menzahirkan pentingnya peranan mahasiswa untuk masa depan negara.

Bagi merealisasikan lonjakan ini, semua pihak perlu berperanan secara kolektif dan melakukan penambahbaikan berterusan supaya usaha ini tidak terhenti di pertengahan jalan.

Menyedari hakikat ini, selain fakulti yang lazimnya berperanan sepanjang pengajian mahasiswa di universiti, watak kolej kediaman jangan sesekali dikesampingkan.

Melihat kolej kediaman hanya sebagai tempat tidur, mandi atau menukar pakaian adalah sangat keterlaluan. Kolej kediaman sebagai pusat pembelajaran kedua adalah pelengkap kepada fakulti.

Seawal menjejaki tangga menara gading, mahasiswa menjadi warga kolej kediaman pada dua semester pertama dan ada juga universiti menetapkan pada sepanjang tempoh pengajian.

Ini menjadikannya umpama rumah kedua pelajar. Terkini, apabila sindrom 4K (Kuliah, Kafeteria, Katil dan Komputer) dibincang pada segenap peringkat, kolej kediaman mesti melakukan transformasi agar laungan semangat 'Soaring Upwards' (peningkatan berterusan) dicetuskan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, terus direalisasi.

Perkukuh fungsi

Sebagai pusat pembelajaran kedua, kolej kediaman perlu mengukuhkan fungsinya menerusi tiga peranan utama berikut: Kolej kediaman perlu berperanan sebagai pemangkin kecemerlangan pelajar bagi pasaran kerjaya.

Tugas melatih bakal graduan universiti awam (UA) agar boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah setanding dengan dengan graduan lulusan luar negara memerlukan kerjasama semua pihak.

Jika program CEO@Faculty, iaitu usaha positif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memberi pendedahan dunia sebenar pekerjaan melalui sudut pandangan CEO/tokoh industri, kolej kediaman juga mesti melakukan sesuatu.

Selain bengkel kemahiran dan persediaan kerjaya pada peringkat universiti oleh Jabatan Kerjaya, kolej kediaman boleh memainkan peranan berfokus kepada tiga elemen, iaitu kemahiran kepemimpinan, kerja berpasukan dan kebolehan menyesuaikan diri. Semua ini diperlukan oleh bakal majikan.

Tiga elemen ini tidak akan tajam jika hanya menunggu pada saat akhir, iaitu tahun akhir pengajian, sebaliknya perlu diasah seawal tahun pertama.

Hari ini, majikan mempunyai jangkaan lebih tinggi iaitu mahukan bakal pekerja yang bukan sahaja cemerlang akademiknya, tetapi juga mereka yang boleh menjadi ketua, berintegriti tinggi, hebat berkomunikasi, ada elemen humor dan boleh menjadi ahli pasukan yang baik. Kolej kediaman perlu merealisasikan cabaran melahirkan graduan seimbang ilmu dan akhlak.

Selain elemen kemahiran insaniah (KI) yang digariskan, PPPM (PT) juga menjelaskan keberhasilan diinginkan semua pihak, merangkumi etika dan kerohanian, kemahiran memimpin, identiti nasional, kemahiran bahasa, kemahiran berfikir dan pengetahuan.

Aspirasi melahirkan graduan seimbang antara akhlak dan ilmu, sangat mencabar. Bagi menyahut cabaran sebagai pusat pembelajaran kedua, Kolej Kediaman Perwira Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), merintis jalan menerusi Pelan Transformasi Mahasiswa Holistik, bermula September 2013 dengan menampilkan tiga polisi iaitu 1Penghuni Muslim 1Al-Quran, 1Penghuni 1Sukan dan 1Penghuni 1Kemahiran.

Pembentukan sahsiah

Al-Quran, sukan dan kemahiran diletakkan sebagai kerangka pembentukan diri mahasiswa. Mendekatkan diri dengan al-Quran, masjid dan aktiviti kerohanian membantu mereka menangani kejutan budaya dan meningkatkan kematangan.

Isu rasuah yang hangat mutakhir ini juga adalah duri dalam daging kesan kegagalan mengangkat paradigma tauhid. Ini menjadi isyarat agar semua mahasiswa mesti dididik menjunjung tinggi integriti setiap masa.

Sukan membentuk mahasiswa seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek. Kemahiran pula adalah faktor 'wow' yang mesti dimiliki untuk menyaingi cabaran globalisasi yang begitu menekan.

Kolej kediaman perlu berperanan merapatkan jurang polarisasi kaum. Hidup sebagai rakyat Malaysia dengan pelbagai agama dan kaum memerlukan pengetahuan, kefahaman dan toleransi tinggi.

Walaupun jurang polarisasi kaum semakin surut, ia perlu sentiasa dicanai kesepakatannya. Anasir negatif perkauman seperti suka memandang rendah peranan dan sumbangan bangsa dan agama lain, perlu dibuang jauh.

Menyelami falsafah kolej kediaman sebagai pusat pembelajaran kedua, pelbagai aktiviti bagi meraikan kepelbagaian perlu digiatkan. Bengkel Silang Budaya yang menceritakan falsafah khusus berkaitan sesuatu agama, bangsa dan tradisi perlu dilaksanakan secara terpimpin merentasi pelbagai bangsa agar kita lebih faham dan terdidik.

Salah faham banyak didorong oleh anggapan dan bukanlah didasari ilmu.

Rumusannya, lonjakan pertama PPPM (PT) seiring bersama aspirasi pelajar yang dihasratkan iaitu seimbang ilmu dan akhlak adalah sasaran jelas KPT bagi menyediakan generasi Malaysia yang bukan sahaja hebat mindanya, kuat fizikalnya malah luhur pekertinya.

Peranan kolej kediaman mestilah dihargai dan diperkasakan agar kekal relevan dan dihormati, seiring dengan keperluan semasa selain menjadi pemangkin kepada kecemerlangan mahasiswa.

Pastinya, hasil tarbiah kolej kediaman sebagai pusat pembelajaran kedua akan memberi impak maksimum dalam membangunkan pemimpin negara, demi Malaysia yang kita cintai.
Tags: college
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments