?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Pembuli lahir dari rumah

SEORANG pelajar gred tiga di Virginia, Amerika Syarikat (AS) dilaporkan membunuh diri akibat tidak tahan dibuli pelajar satu sekolahnya baru-baru ini.

Pelajar berusia sembilan tahun itu ditemukan di dalam bilik tidur oleh kakaknya.


Kejadian buli berlaku di mana-mana sahaja. GAMBAR HIASAN

Dia kemudian dikesan mengalami tekanan perasaan akibat dibuli pelajar sekolah selama berbulan-bulan sebelum mengakhiri hayatnya sendiri.

Membunuh diri akibat tekanan perasaan kerana dibuli merupakan kesan yang terburuk boleh berlaku dalam isu buli.

Kejadian di AS itu merupakan satu bukti bahawa perbuatan membuli dalam kalangan kanak-kanak dan remaja tidak seharusnya dibiarkan berleluasa.

Orang dewasa mungkin mampu mempertahankan diri sekiranya dibuli fizikal atau mental, namun keupayaan itu terbatas apabila berlaku ke atas kanak-kanak mahupun remaja.

Kes buli yang melibatkan kematian mangsa juga pernah berlaku di Malaysia. Jadi, tidak hairan jika isu ini seperti tidak berkesudahan.

Faktor paling asas menyebabkan lahirnya seorang pembuli adalah bermula dari rumah dan keluarga.

Menurut Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad, kebiasaannya, pelajar yang menjadi pembuli datang daripada latar belakang kehidupan yang mencabar.

“Dia juga pernah dibuli dan pernah mengalami perasaan tertekan akibat dibuli. Ketika di rumah, dia sering dimarahi dan dipukul oleh keluarga.

“Atau dia ada persepsi bahawa untuk melepaskan kemarahan dirinya, dia perlu memukul kerana dia selalu melihat perkara itu berlaku di depan matanya. Itu antara punca lahirnya seorang pembuli,” katanya.

Menyentuh mengenai budaya buli dan ragging, Anuar berkata, ia sebenarnya membawa maksud yang sama namun berada dalam konteks berbeza.

Katanya, perbuatan buli yang berlaku lebih bersifat peribadi dan kerap berlaku secara individu dan kadangkala berkumpulan.

Sementara perbuatan ragging pula berlaku dalam ruang institusi melibatkan pelajar senior mendera pelajar baharu seperti di sekolah atau kolej.

Katanya, walaupun kini sudah tidak berlaku perbuatan ragging yang serius, namun kes buli pula sering dilaporkan sehingga ada yang terpaksa terlantar di hospital kerana kecederaan akibat dipukul dan sebagainya.

Malah lebih menyayat hati, ada mangsa dibuli mengalami kecacatan seumur hidup atau lebih teruk, kehilangan nyawa akibat perbuatan pembuli.

Pembuli manusia yang tidak gembira

APAKAH yang berada di dalam minda seorang pembuli?


Pelajar perempuan juga tidak terlepas daripada perbuatan buli. GAMBAR HIASAN

Apa yang jelas, seorang pembuli terutamanya remaja membesar menjadi individu yang tidak gembira. Cara mereka berhubung dengan dunia sekeliling pada kebiasaannya tidak berlaku dengan lancar sehingga mereka dewasa.

Jelas, seorang pembuli biasanya tidak akan digemari oleh masyarakat sekeliling kerana tindak-tanduk golongan ini selalunya tidak menyenangkan orang ramai.

Menurut laman web masters in psychology guide, pembuli akan mengalami beberapa kesukaran dalam menjalani kehidupan.

“Mereka mungkin menghadapi kesukaran mendapat pekerjaan apabila dewasa, mengekalkan persahabatan ataupun hidup berkeluarga yang bahagia,” kata laman web itu.

Malah, percaya atau tidak, seorang pembuli juga berisiko untuk mengalami gejala membunuh diri, lebih-lebih lagi apabila mereka sendiri pernah dibuli.

“Tidak dinafikan lagi, pembuli sebenarnya berisiko tinggi mengalami gangguan personaliti termasuk bersikap anti sosial,” kata laman web itu.

Lebih buruk, seseorang yang pernah mengalami kedua-dua perkara iaitu dibuli dan menjadi pembuli dikesan akan menghadapi risiko kesan psikologi yang lebih teruk, malah kesan tersebut boleh dikategorikan sebagai kecacatan emosi.

Membuli merupakan sikap yang diajar dan sikap itu diperoleh, bukan diwarisi. Adakalanya, pembuli dibesarkan dalam kalangan orang sekeliling yang pernah melakukan perbuatan mendera.

Apabila dewasa, mereka berubah menjadi seorang pembuli. Kesan ke atas golongan ini lebih berpanjangan kerana pernah dibuli dan kemudian, bertukar menjadi pembuli.

Menurut laman web itu lagi, seseorang yang pernah dibuli dan kemudian menjadi pembuli mempunyai risiko untuk mengalami pelbagai gangguan jiwa termasuk mencederakan atau membunuh diri, berbanding dengan individu yang hanya menjadi mangsa buli.

Tags:

Posts from This Journal by “bullying” Tag

Latest Month

September 2019
S M T W T F S
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930     

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow