?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

PERJALANAN seorang mahasiswa, bukanlah ibarat berjalan di atas permaidani merah, sebaliknya ibarat berjalan di atas jalan yang berliku, penuh onak duri, demi menggenggam segulung ijazah.

Namun, di sebalik liku-liku hidup mahasiswa, baru-baru ini kita digemparkan dengan isu mahasiswa yang terjebak dengan budaya 4K iaitu Kuliah, Katil, Kafe dan Komputer.

Mahasiswa hari ini seolah-olah kaku dan lesu. Sebagai mahasiswa, saya akui di dalam kelas ada yang gemar bermain telefon bimbit daripada menumpukan perhatian dalam kuliah, berjam-jam di kafe sambil bersembang dan menonton televisyen, malas keluar dan lebih suka berehat-rehat di katil bilik dan asyik menelaah permainan komputer berbanding buku dan pelajaran.

Hatta WiFi perpustakaan pun mereka gunakan untuk memuat turun permainan terbaru dan episod terkini drama pujaan hati. Masa ibarat dibuang sia-sia, akhirnya apabila minggu menghantar tugasan tiba, baharu bersemangat nak buat kerja, menyebabkan hasilnya tak berkualiti.

Pensyarah pun hadir ke kelas dengan penuh kekeluhan dan kekecewaan.

MENYERTAI aktiviti persatuan dalam atau luar universiti dapat membentuk mahasiswa cemerlang dan mampu berbakti kepada masyarakat.

Apabila tiba masa bergraduasi, genggamlah mereka segulung ijazah, namun sedihnya tatkala melihat, keputusannya tidaklah cemerlang mana. Cukup makan untuk layak bergraduasi. Adakah mahasiswa sebegini yang kita mahukan?

Punca kelayuan

Melihatkan fenomena ini, saya makin tertanya-tanya, apa sebenarnya asbab kelayuan mahasiswa kita pada hari ini?

Selepas saya mencari dan meneliti realiti ini, antara punca yang menjangkitkan mahasiswa dengan fenomena 4K ini adalah kurangnya rasa tanggungjawab dalam memahami erti menjadi mahasiswa.

Ramai di antara sahabat saya yang hadir ke universiti dengan harapan ingin bebas jauh daripada kongkongan keluarga, daripada apa-apa tanggungjawab yang membebankan diri.

Namun, kebebasan mereka yang dipandu nafsu akhirnya terbabas jatuh dalam kancah kelalaian.

Mereka tidak menjiwai erti menjadi mahasiswa, tidak punya rasa tanggungjawab dan kesungguhan untuk cemerlang di medan universiti.

Minda mereka hanya mahu melakukan apa yang mereka suka, mencari jalan mudah dalam setiap perkara dan bersenang lenang berlibur bersama-sama. Hasilnya? Mahasiswa kita hari ini bergraduat dengan penyakit 4K yang saya amat khuatiri akan berjangkit di alam pekerjaan nanti. Apakah tiada harapan buat sang mahasiswa untuk merawat diri daripada terus terjerumus dalam dunia 4K ini?

Penyelesaiannya, pertama, mahasiswa sendiri hendaklah memahami dan menjiwai tanggungjawab sebagai penuntut ilmu. Saya masih ingat ketika di sekolah rendah, guru saya selalu pesan: "Amalina, tuntutlah ilmu sampai ke menara gading."

Bukan masa bersukaria

Hai sahabat, sedarlah, dalam beribu-ribu sahabat kita yang lain memohon untuk menyambung pelajaran melalui UPU, kita telah Allah rezekikan dengan peluang ke menara gading.

Hadirnya kita ke universiti ini bukanlah untuk bersenang lenang, bersuka ria, tetapi kita hadir dengan menggalas tanggungjawab untuk menuntut ilmu.

Kitalah pewaris tampuk pimpinan yang akan menerajui negara. Saidina Umar pernah berkata: "Pemuda hari ini adalah cerminan pemuda akan datang."

Mahukah kita melihat generasi anak bangsa akan datang semakin lalai dan layu atas kealpaan kita? Mahukah kita lihat kemunduran negara sendiri akibat kita tidak serius dalam menuntut ilmu?

Sedarlah mahasiswa, kaulah harapan yang akan memimpin negara. Selain itu, mahasiswa juga harus sedar masa itu sangat berharga buat kita. 24 jam yang kita ada, jika diurus dengan betul, macam-macam yang dapat kita lakukan. Pepatah Arab ada berbunyi 'waktu itu ibarat pedang, jika kita tak potong dia, dia akan potong kita.'

Jika majoriti masa kita hanyalah diluangkan untuk komputer (gajet, permainan komputer, menonton filem), bila masanya untuk kita melunaskan tugasan kita, mengulangkaji pelajaran? Sedarlah mahasiswa, kita ini dah mulai menjengah usia 20-an, ayuh sibukkan masa kita dengan perkara berfaedah, antaranya adalah dengan menyertai aktiviti bersama mana-mana persatuan dalam mahupun luar universiti.

Ikuti aktiviti berfaedah

Saya adalah aktivis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) di UNIMAS. Sepanjang menjadi aktivis persatuan ini, pelbagai pengalaman dikutip, program ilmu dan kerohanian yang saya anjurkan dan sertai memberikan saya pelbagai pengalaman dalam bidang kepemimpinan selain mengubah persepsi saya serta membakar semangat untuk menjadi mahasiswa yang cemerlang dan mampu berbakti kepada masyarakat.

Walau sibuk beraktiviti, pelajaran tidak pernah saya abaikan. Keputusan peperiksaan saya juga masih berada pada tahap yang memuaskan.

Maka, beraktivisme juga mampu menjadi wadah untuk kita menyalurkan tenaga dan semangat kita ke arah perkara yang lebih bermanfaat, bukan membazir masa semata-mata.

Pada pandangan saya, sebenarnya, kunci kepada permasalahan mahasiswa 4K ini adalah apabila mahasiswa mulai hidup beragenda. Mahasiswa yang beragenda adalah mahasiswa yang sedar akan tanggungjawab dan kewajipannya menuntut ilmu, maka dia akan bersungguh agar menggapai keputusan yang cemerlang.

Dia juga sedar dan tahu, dia punya tanggungjawab yang harus dipikul di bahu, kerana suatu hari nanti dialah yang bakal mengorak langkah mendidik anak bangsa.

Apabila mahasiswa jelas dengan agenda dan tujuan hidupnya, maka, tiada lagi penyakit 4K yang melemahkan mereka, melainkan apabila mahasiswa itu mulai futur, kembali alpa dan leka.

Mahasiswa hari ini sebenarnya mampu untuk cemerlang seandainya mereka keluar daripada penindasan 4K yang sangat membazirkan tenaga dan masa mereka.

Mahasiswa ini sebenarnya aset penting negara kerana merekalah anak bangsa yang akan mencorakkan generasi akan datang.

Jika kita tidak berusaha untuk mengubah diri kita ke arah kebaikan, masih tidak mahu berganjak melakukan perubahan, apalah nasib negara kita pada masa hadapan? Tepuk dada, tanya selera.

Tags:

Posts from This Journal by “siswa” Tag

  • Nikmati zaman siswa sepenuhnya

    SEBILANGAN daripada anda pasti akan mengakui masa pengajian di kolej atau universiti adalah detik kehidupan yang paling signifikan. Ini tidak pula…

  • Kompeten berdepan dunia sebenar

    Ada pihak melemparkan kritikan terhadap kepentingan siswa menyertai kegiatan kokurikulum sebagai membuang masa. Mereka beranggapan siswa seharusnya…

Latest Month

July 2018
S M T W T F S
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
293031    

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow