Serangan pemberontak Syiah Houthi yang melancarkan peluru berpandu balistik ke Arab Saudi pada 29 Oktober 2016 telah menarik perhatian masyarakat dunia khususnya dunia Islam terhadap konflik di Asia Barat. Serangan peluru berpandu balistik jenis Scud yang dianggarkan mencecah 700 kilometer (km) di luar sempadan Yaman yang berjaya dipintas oleh Arab Saudi telah menimbulkan kemarahan dan kebimbangan masyarakat Islam yang hanya 65 km dari bandar suci Mekah.
Namun persoalan yang timbul adalah bagaimana dan dari manakah sesebuah kumpulan pemberontak atau pengganas boleh mendapatkan kelengkapan ketenteraan yang besar dan strategik? Malah sekiranya mengambil kira kemampuan, kedudukan dan keadaan ekonomi negara Yaman ia semakin menjadi tanda tanya bagaimana hanya sebuah kumpulan pemberontak mampu memiliki senjata yang dapat membawa kemusnahan besar yang tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan negara di dunia?
![]() KEMAMPUAN kumpulan pengganas mengggugat dunia akibat dari kegiatan penjualan senjata WMD yang terlalu murah dan mudah. |
Kebimbangan terhadap fenomena kumpulan pemberontak atau pengganas memiliki senjata yang diklasifikasikan startegik ini pernah dinyatakan oleh Malaysia yang menjadi negara pengerusi pada 24 Ogos 2016 dalam sesi Perbahasan Terbuka Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) yang membabitkan lebih 60 buah negara anggota PBB, organisasi serantau termasuk Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Kesatuan Eropah mengenai masalah kawalan dan percambahan Senjata Pemusnah Besar-besaran (WMD).
Pemilikan senjata strategik oleh kumpulan pemberontak atau pengganas bukan hanya membabitkan pemberontak Syiah Houthi sahaja. Sebaliknya terdapat pelbagai kumpulan pemberontak dan pengganas yang telah memiliki senjata dan kelengkapan strategik seperti Pasukan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC) yang memiliki senjata konvensional dan strategik, kemudahan tentera berteknologi tinggi dan kapal selam.
Begitu juga dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang memiliki kelengkapan ketenteraan strategik termasuk peluru berpandu permukaan ke permukaan (SSM) dan permukaan ke udara (SAM), kapal selam, peluru berpandu, jet pejuang dan sebagainya.
Kumpulan Mujahidin Afghanistan juga mampu memiliki senjata dan peluru berpandu Stinger. Kumpulan pemberontak Parti Pekerja Kurdistan (PKK) di Turki yang disyaki mempunyai peluru berpandu dan senjata berat Rusia, kumpulan Hizbullah di Lebanon yang telah berjaya melancarkan serangan peluru berpandu ke Israel. Malah serangan peluru berpandu BUK ke atas pesawat MH 17 pada 17 Julai 2014 yang disyaki dilakukan oleh kumpulan pemberontak pro-Rusia di Ukraine. Senario ini menunjukan persenjataan strategik telahpun merebak kepada entiti bukan negara.
Percambahan senjata strategik termasuk WMD berkembang melalui dua kaedah iaitu melalui kaedah yang dibenarkan dalam perundangan iaitu melalui urusan eksport dan import membabitkan negara ke negara dan blok/pakatan negara yang boleh berlaku dalam bentuk urusan jual beli, tajaan, kerjasama, sokongan dan sebagainya.
Kaedah kedua adalah melalui pembelian haram senjata strategik dari pasaran gelap. Keruntuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1991 telah mempengaruhi percambahan senjata strategik dan WMD dan menyebabkan negara-negara seperti Armenia, Azerbaijan, Belarus, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Moldova, Tajikistan, Turkmenistan, Ukraine dan sebagainya yang pernah bertindak sebagai negara yang membantu menghasil persenjataan Soviet.
Sehingga tahun 1991, Kesatuan Soviet dianggarkan memiliki antara 25,000-30,000 buah senjata nuklear dan walaupun senjata nuklear Soviet dikembalikan kepada Rusia, namun terdapat laporan negara bekas Kesatuan Soviet masih memiliki stok senjata strategik dan WMD. Walaupun terdapat usaha untuk mengurangkan jumlah senjata nuklear antara Rusia dan Amerika Syarikat (AS) telah dirintis semenjak tahun 1969 melalui Strategic Arms Limitation Talks (SALT) dan Strategic Arms Reduction Treaties (START) semenjak tahun 1991 namun ia masih mudah di dapati dalam pasaran gelap
Kegiatan penjualan senjata strategik dan WMD di pasaran gelap mula mendapat perhatian dengan kejayaan pihak berkuasa Jerman merampas plutonium-239 yang telah diperkayakan gred senjata di stesen keretapi Munich pada Ogos 1994. Kejayaan ini telah mendedahkan pelbagai kegiatan penjualan senjata strategik dalam pasaran gelap di Eropah dan dipercayai telah membabitkan pelbagai negara termasuk Asia yang cuba mendapatkannya memalui jalan pintas.
Keruntuhan Kesatuan Soviet telah membuka ruang kepada negara, pemimpin elit dan tentera bekas kesatuan Soviet untuk membuat keuntungan dalam pasaran kapitalis. Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) turut melaporkan mengenai lebih dari 100 kes penyeludupan senjata nuklear dan strategik di pasaran gelap semenjak tahun 1993 yang membabitkan pelbagai jenis kes.
Kesan kegiatan penjualan senjata WMD di pasaran gelap adalah dunia akan berhadapan dengan ancaman Dirty Bomb yang menggunakan bahan radioaktif lower-grade. Kebimbangan percambahan senjata strategik dan WMD kepada golongan pengganas turut diperkatakan apabila terdapat laporan yang mengaitkan percubaan al-Qaeda untuk mendapatkan persenjataan strategik ini daripada Rusia pada tahun 1999.
Keadaan semakin buruk apabila wujudnya pasaran gelap yang bukan hanya menyediakan penawaran persenjataan dan kelengkapan ketenteraan biasa tetapi juga kelengkapan dan persenjataan strategik. Kemampuan kumpulan pengganas Islamic State (IS) yang berjaya mendapatkan persenjataan berat buatan Rusia seperti raifal Kalashnikov, AS M16A4 dan M4 dan China jenis CQ 5.56 menunjukan akses mendapatkan senjata kepada kumpulan pengganas adalah mudah.
Kekurangan penguatkuasaan dan pengawalan penjualan senjata ringan, berat dan strategik seperti Pakistan, dan Rusia adalah contoh betapa mudahnya untuk masyarakat mendapatkan persenjataan.