kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mahu 'Nampak Baik' atau 'Jadi Baik'?

Dalam hidup ini mana yang lebih senang, hendak me­ne­­rima nasihat atau hendak memberi nasihat? Sebenarnya, memberi nasihat lebih mudah daripada me­nerima nasihat. Apatah lagi apabila kita yang memberi nasihat itu berasa dirinya lebih baik, lebih bijak, lebih berpengalaman, dan lebih mulia daripada orang lain.

Orang yang baik/positif, suka memberi nasihat dan ber­sedia menerima nasihat – terbuka menegur dan ditegur. Sebaliknya untuk menerima teguran bukanlah sesuatu yang mudah. Terutama bagi orang yang menerima nasihat dan selepas itu hendak berubah, sebenarnya bukan mudah, kecuali orang yang baik/positif dan ada kekuatan untuk berubah.

Antara dua situasi ini, ada perbezaan daripada segi konsep, iaitu “nampak baik” dan “hendak jadi baik”. Yang mana satu bagus? Orang yang memberi nasihat besar kemungkinan hendak “nampak baik” di mata orang, bukan mendapat reda Allah SWT. Tetapi, orang yang suka terima nasihat lebih suka “hendak jadi baik” dan ikhlas mencari reda Allah untuk berubah. Sesungguhnya, bahaya kalau kita hendak “nampak baik”.

Sebelum memberi nasihat kepada orang, pertama betulkan sikap, perangai, tingkah laku dan amal ibadah kita dahulu. Jangan risau dan sibuk hendak nasihatkan orang, tetapi nasihatkan diri dan betulkan diri sendiri dahulu, barulah hendak nasihatkan orang lain. Contoh, jika kita hendak menegur orang tidak bersolat, tentukan akhlak kita yang bersolat ini baik sama ada di dalam atau di luar solat.

Kedua, apabila kita memberi nasihat, dengar maklum balas daripada orang, terima kritikan dan teguran, jangan sesekali berasa kita hebat dan lebih baik daripada orang, buang ego kita. Ingatlah, kalau kita seronok apabila orang memuji kita, dan kita sedih apabila orang mengeji, ia merupakan sifat yang sangat bahaya dan melemahkan. Kita perlu belajar daripada musuh kerana musuh akan memberitahu kelemahan kita, berbanding dengan kawan yang akan memberitahu yang baik sahaja, dan tidak akan memberitahu kelemahan kerana untuk menjaga hati kita.

Ketiga, sebelum hendak memberi nasihat tambat hati orang yang kita hendak nasihatkan itu dengan kasih sayang, keyakinan dan kepercayaan. Hal ini amat penting, kerana manusia hanya menerima kata-kata nasihat daripada orang yang dia sayang, yakin, percaya dan hormati. Audit diri sebelum nasihatkan orang. Ingat, pastikan kita buat apa-apa yang kita nasihatkan orang melakukannya? Jangan jadi macam kata orang, “cakap tidak serupa bikin”.

Keempat, kalau hendak memberi nasihat, lihat situasi dan masa, sesuai atau tidak. Jangan ketika kita berjumpa keluarga beramai-ramai, masa itulah kita hendak menasihati orang. Nanti orang rimas dan tertekan, hilang keseronokan sesekali dapat bertemu sanak-saudara. Cari tempat dan keadaan yang sesuai dan jangan sibuk hendak nasihat tanpa diminta.

Usahakan cari masa yang sesuai untuk nasihatkan anak, jangan salah gunakan waktu keseronokan kita. Waktu bercuti gunakan masa bercuti untuk berkasih sayang, jangan cerewet sangat, masa itulah hendak marah anak-anak, control sana-sini, hingga anak berasa tertekan dan hilang keseronokan bercuti.

Kelima, jangan terus marah, mengkritik, mengeji dan merendah-rendahkan kedudukan orang yang kita hendak memberi nasihat. Sebut kebaikan dan kehebatan dia dahulu, barulah sebut kelemahan, kesilapan dan kekurangannya yang kita hendak dia perbetulkan. Setiap kali kita jumpa orang, bina akaun emosi yang baik, hargai dia, sebut kebaikannya, jangan kritik dia. Apabila sudah baik dan rapat baru kita beri nasihat dengan contohnya sekali, seperti bercakap dalam nada yang lembut serta tunjuk dan jalani akhlak yang baik.

Keenam, alternatif fokus. Kepada ibu bapa yang anak-anak tidak cemerlang dalam pelajaran misalnya, apa kata kita fokus perkara lain yang nampak kelebihan anak-anak kita. Kita fokus kepada keceriaannya, kesihatannya dan kebaikannya serta kerajinannya membantu kita, ibu bapanya. Kita berikan imej positif kepada anak-anak dan kita didik anak-anak keyakinan diri. Anak-anak yang dikritik keyakinan dirinya rendah, berasa dirinya tidak pandai dan kekurangan berbanding rakan sebaya atau adik-beradiknya.

Audit diri kita, sebagai ibu bapa. Kalau kita ibu bapa yang suka mengkritik, mencari salah orang, mengutuk orang, memarahi orang dan seumpamanya, cuba renung kembali macam mana kita dibesarkan. Tentu kita sering dimarahi, dikritik semasa kecil, (hidup atau dibesarkan dalam suasana keluarga atau ibu bapa yang tidak bahagia.

Lupakan kisah silam kita yang suram itu, jangan dipersalahkan ibu bapa kita, terimalah hakikat bahawa mereka ada ilmu setakat itu aje, dan mungkin mereka pun sudah meninggalkan kita untuk selama-lamanya. Yang penting hentikan “kitaran ganas” ini, hentikan layanan buruk terhadap anak-anak, macam mana yang ibu bapa kita layan kita. Belajar daripada kesilapan itu. Ingatlah, anak ialah cermin diri kita, kalau anak tidak elok perangai bermakna ibu bapa pun sama, tidak elok perangai.

Berikan penghargaan dan contoh yang baik kepada anak-anak. Setiap hari bagi tahu anak-anak, ibu atau ayah bangga dapat anak seperti anak ibu dan ayah ini, yang baik, lemah lembut sikapnya, dan menghormati orang tua, serta menjaga ibadahnya. Fokuskan kepada yang kita hendak ada pada sikap anak kita. Kalau kita fokus kepada perkara yang salah, akan lebih banyak salah yang anak kita tunjukkan kepada kita. Kita “tangkap” anak kita buat perkara yang betul, baru dia bangga dan gembira dan berusaha untuk mengekalkan sikap yang betul.

Tetapi, yang kerap kita lakukan, kita suka “tangkap” anak kita buat yang salah. Maka anak kita akan malu dan berasa bersalah dan lebih malang lagi apabila anak kita tidak lagi boleh menerima nasihat yang kita beri, kerana dia menganggap dirinya tidak berguna dan memalukan keluarga. Ingatlah cemerlang dalam akademik tidak semestinya menjamin kecemerlangan masa hadapan anak-anak, kerana kecemerlangan akademik tidak sepenting kecemerlangan akhlak, akidah dan ibadah.

Hakikatnya memang mudah untuk memberi nasihat, tetapi untuk menerima nasihat bukan mudah. Orang yang baik/positif, suka menerima nasihat daripada memberi nasihat. Ingat, kita hendak “jadi baik” bukan hendak “nampak baik”. Kita hanya akan memperlihatkan apa yang ada dalam diri kita. Apa yang kita percaya itu yang kita akan lihat. Kalau kita banyak kebaikan dalam diri, kita akan dapat melihat kebaikan dalam diri oran lain. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”. - Dr. Muhaya Muhamad Utusan Malaysia Rencana 6 November 2016 5:45 PM

Tags: baik
Subscribe

Posts from This Journal “baik” Tag

  • Mengapa kita menghina usaha baik orang lain

    Mengapa orang mengkritik dan menghina niat usaha hebat orang lain – kita tidak dapat menghargai kerja dan perbuatan baik orang lain kerana…

  • Baik, hebat pemimpin

    Sejak Covid-19 dan bahang pilihanraya yang sedang berlangsung; ramai para pemimpin kelihatan menonjolkan diri mereka sebagai ‘baik’ dan ‘terlalu…

  • Andakah ‘the chosen one’ ?

    Sebilangan orang benar-benar berfikir bahawa mereka adalah lebih baik daripada yang lain. Mereka itu tidak hanya menganggap mereka baik tetapi…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments